Iktibar LDP untuk parti lama Malaysia

AWANG AZMAN AWANG PAWI | .

BEBERAPA tahun lalu, penulis bertemu bertemu dengan seorang  pelajar  pascasiswazah dari University  Kyoto. Pelajar ini mengambil jurusan kebudayaan Asia khususnya kebudayaan Melayu dan sedang membuat kajian lapangan di kawasan Borneo-Kalimantan. Pelajar ini suka bercakap bahasa Melayu malah  mengambil kursus bahasa tersebut. Sebelum itu, beliau pernah  belajar sendiri bahasa tersebut berdasarkan Kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka kerana minatnya untuk  menyelidiki dunia Melayu.

Universiti Kyoto merupakan antara universiti terbaik di Asia dan menghasilkan  tidak kurang 10 pemenang hadiah nobel. Universiti itu juga diiktiraf sebagai  universiti penyelidikan nombor  satu di negara Jepun oleh Thomson Reuter. Setiap tahun universiti  ini  menawarkan tempat penyelidikan  kepada sarjana tamu yang datang dari pelbagai negara di seluruh dunia.  Kesemua ini memberikan memberikan pengalaman dan pengetahuan segar kepada pelajar tersebut  tentang sejarah pelbagai negara  selain  daripada sumber kerja lapangan dan  penyelidikan perpustakaan.

“Sekiranya iklim politik Malaysia berterusan seperti ini sejak tahun  2008, tidak mustahil politik Malaysia  akan mengikut  jejak parti LDP di Jepun pada masa terdekat.  Parti politik Indonesia kini juga  berubah,“ katanya dengan sopan diseliputi wajah lembutnya sambil menunjukkan berita yang dibacanya dalam akhbar dalam talian.  Penulis terus  bertanya lanjut tentang  situasi politik negara matahari terbit tersebut.  

Sebenarnya, terdapat beberapa aspek menarik  yang  penulis peroleh daripada anak muda Jepun ini.  Diperturunkan  beberapa  aspek  untuk dikongsi bersama  khalayak pembaca. Semoga  pengetahuan, pengalaman dan iktibar ini dapat  memperkayakan  perspektif tentang  politik dunia dan semasa.

Parti LDP

Parti Liberal Demokratik (LDP) merupakan parti yang memerintah Jepun sejak  tahun penubuhannya pada tahun 1955.  Parti konservatif ini menjadi parti besar, digeruni parti lawan, mempunyai ramai pengikut dan pemuja.  Parti ini  memenangi   dengan majoriti setiap pilihan raya kecuali 1993 selama 11 bulan. Politik Jepun dikuasai parti LDP dalam segenap bidang meskipun mengamalkan dasar desentralisasi.  Hakikatnya,  parti politik ini mempunyai  kumpulan tertentu, perpecahan dalaman dan  kelemahan kepimpinan yang  disedari berlaku namun tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Parti ini dikenali sebagai parti taukeh kerana dikuasai   dan dikelilingi oleh golongan korporat  dan ahli birokrat.  Hubungan  politik naungan  dengan peniaga kecil, petani,  pekerja industri kecil juga diamalkan untuk memastikan  hegemoni kekuasaan terus berlangsung. Penyokong tegar yang memberikan undi kepada parti elit ini ialah penduduk luar bandar yang banyak terhutang budi atas usaha parti pemerintah ini  meningkatkan taraf hidup  mereka khususnya pada tahun-tahun 1960-an. Kebetulan zaman itu merupakan era selepas perang dunia dan banyak pembangunan perlu dilangsungkan.

Terdapat hubungan pimpinan parti LDP dengan pihak birokrat  yang membuat dasar. Seterusnya, projek-projek pembangunan ini  yang dirancangkan  ini  dikuasai oleh ahli perdagangan yang berkaitan dengan  orang dalam parti. Dana ini diperoleh daripada projek-projek besar inilah digunakan untuk menggerakkan parti. Inilah yang banyak membawa kepada  unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa, nepotisme dan kronisme dalam kerajaan  pimpinan LDP.

Dasar Pro Amerika

Kepimpinan LDP menjadikan  dasar negara sebagai pro Amerika dan anti komunis.  Hubungan dengan Amerikalah yang menjadikan dasar liberalisasi Jepun terserlah. LDP dicirikan sebagai parti yang mempunyai kumpulan-kumpulan tertentu dan pembentukan dasar tidak sepenuhnya berdasarkan sistem Westminster. Persaingan kuasa dan merebut jawatan penting dalam kerajaan  menyebabkan  kewujudan  pihak penentang dalam parti dan kurang  patuh kepada Perdana Menteri.  Seringkali apabila berlaku  dasar yang tidak popular maka  berlakulah penolakan rakyat.  Misalnya, pemimpin yang terlibat dalam skandal akan menyebabkan  pihak dalam parti sendiri mendesak agar Perdana Menteri mereka berundur.

Parti LDP pernah hilang majoriti pada tahun 1993 apabila berlakunya beberapa skandal dan  isu ekonomi. Namun LDP masih berkuasa kerana tidak ada parti yang  yang mendapat jumlah kerusi  yang lebih banyak dari LDP.  Sikap taat dan patuh masih lagi dipelihara dan dijadikan budaya politik Jepun. Hal ini diikuti pula dengan kemasukan dua parti pembangkang  yang menyertai  LDP bagi membentuk  kerajaan baru yang dikuasai oleh LDP. Dalam perjanjian tersebut, bekas parti pembangkang diberikan tempat sebagai Perdana Menteri untuk beberapa tahun sebelum dipulangkan kepada LDP.

Pergolakan dalaman parti semacam satu ciri budaya politik LDP. Pada tahun 2001 misalnya, tokoh dianggap  pembawa pembaharuan, iaiatu Junichiro Koizumi menggantikan Perdana Menteri yang tidak popular, iaitu Yoshiro Mori.  Perdana Menteri baru ini  membawa kemenangan besar kerana berjaya menarik undi bandar dan muda yang selama ini  banyak menentang berbanding di luar bandar pada tahun 2005.

Tewas selepas 54 tahun Berkuasa

Kealpaan menyebabkan LDP tewas selepas 54 tahun  berkuasa.  Sebelum ini banyak dimitoskan bahawa mustahil parti LDP kalah pilihan raya. Apatah lagi, parti itu  suka mengungkit-ungkit merekalah banyak  berjasa kepada rakyat. Parti LDP tewas kepada parti pembangkang, iaitu Parti Demokratik Jepun (DPJ) yang dianggap  lemah dan  diperlecehkan kerana tidak ada pengalaman memerintah.  

Umpama sudah jatuh ditimpa tangga, Perdana Menteri yang sering dikritik rakyat dan oleh ahli parti LDP  kerana kalah teruk  ini kemudian berundur dengan cara terhormat dengan mengumumkan perletakan jawatan. Ia sebagai tanda  pemimpin berjiwa besar dan sanggup memikul tanggungjawab atas kekalahan  teruk parti pemerintah itu.

Rakyat berasa marah kerana  parti pemerintah dikatakan  sering mengutamakan golongan  taikun-taikun besar dan birokrat. Kempen mesra ‘perdagangan’  dilihat rakyat sebagai usaha pihak pemerintah untuk terus berkuasa dan memperoleh banyak dana untuk tujuan kepentingan politik dan kepentingan diri mereka sendiri. Pelbagai skandal dalam  kabinet menyebabkan rakyat  berasa muak dengan pemerintah.  Dasar pasaran bebas,  menyokong kenaikan cukai yang melampau-lampau dikenakan kepada rakyat,  berlaku jurang besar di antara rakyat miskin dan kaya menyebabkan rakyat bangkit dan membuat protes melalui kuasa undi rakyat.

Pihak pembangkang pula berkempen membawa kepada agenda  dan masalah rakyat, khususnya isu yang  membelenggu golongan penduduk luar bandar dan bandar akibat dasar terbuka dalam perdagangan. Pihak pembangkanng lebih melihat kepentingan Asia daripada mengutamakan kepentingan barat telah berjaya menarik sokongan luar biasa rakyat. Janji untuk mengurangkan pergantungan Jepun kepada Amerika dan akan lebih memberikan kerjasama untuk membentuk Komuniti Asia Timur yang diperjuangkan oleh negara ASEAN  memberikan harapan baharu kepada rakyat untuk keluar dari belenggu LDP.

Belajar dari Sejarah

Sebenarnya parti  DPJ bukanlah parti yang kuat dan boleh dipercayai sepenuhnya. Undi yang diberikan oleh rakyat lebih kerana akibat kemarahan rakyat kepada kepimpinan parti LDP yang dilihat mementingkan  pihak tertentu dalam parti.  Ditambahkan sikap dan sindrom anti penyandang jawatan berleluasa apabila banyak skandal  orang politik dalam LDP tersebar.   

Persaraan pemimpin yang berpengaruh besar seperti Junichiro Koizumi (Gambar atas) memberikan  kesan terhadap LDP. Selepas kepimpinan beliau, pengganti-penganti selepas itu hanya memegang jawatan dalam tempoh yang singkat sahaja.

Orang Jepun terkenal dengan imej sopan, setia dan patuh dan ini membudayakan watak mereka dalam budaya politik sehingga parti LDP boleh berkuasa selama 54 tahun. Namun apabila diasak dengan isu cukai tinggi ke atas rakyat, dasar pro Amerika, liberalisasi, skandal dan penyalahgunaan kuasa telah menyebabkan rakyat Jepun bangkit dan melanggar  budaya politik tradisional yang dipegang selama ini.  Hal ini berlaku juga kepada parti Golkar di Indonesia. Ternyata, undi dijadikan sebagai referendum rakyat kepada pemerintah yang selama ini mengecewakan mereka. Rakyat terpaksa menyelamat negara dengan  menukar kepimpinan yang selama ini dianggap menyimpang daripada landasan sebenar.

LDP bagaimanapun memenangi semula dalam pilihanraya 2012 selepas insaf  akibat tewas yang memalukan dalam sejarah pilihanraya 2009.  Parti yang insaf ini cuba membawa pemulihan ekonomi dan kesejahteraan kepada rakyat. LDP berjanji membaiki kesilapan dan kelemahan yang silam  seterusnya lebih tegas dalam isu antarabangsa.

Justeru, sejauhmanakah situasi politik ini  mungkin berlaku di Malaysia? Bak kata teman dari Kyoto pada awal tulisan ini,  tidak mustahil situasi  ini berlaku di Malaysia. Namun tambah beliau, kesemua ini dapat ditentukan  sendiri oleh situasi  dan gaya kepemimpinan parti pemerintah dan kata putus rakyat pula melalui pilihan raya. Sudah pasti sebagai rakyat, kita sentiasa inginkan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara untuk diwarisi kepada generasi akan datang. Apa pun, iktibar  seumpama ini penting untuk anak semua bangsa. – HARAKAHDAILY 29/4/2015

* Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik di Universiti Malaysia Sarawak, Kota Samarahan, Sarawak.