Apa dia GST ni?

SHAHRIL ANUAR | .

Apa  dia  GST  ni?

 

"Apa  dia  GST  ni?"  Kak  Siti  bertanya  sendiri  sambil  merenung  pelanggannya  yang  baru  pergi.  Kasihan  anak  itu.  Dia  selalu  membeli  nasi  lemak  di  gerainya.  

"Alah  cik  biasa  seringgit  setengah  je  harga.?  Hari  ni  dah  jadi  dua  ringgit?  Saya  tak  cukup  duit  ni."  

"Barang  kat  pasar  semuanya  mahal  dik.  Acik  terpaksa  naikkan  harga  juga."  Kak  Siti  merenung  anak  itu  dengan  rasa  simpati.  "Tak  apalah,  hari  ni  Acik  bagi  diskaun.  Tapi  esok  harga  dah  naik  tau."  Selain  dari  kasihan,  Kak  Siti  juga  enggan  kehilangan  rezekinya  itu.

"Entalah  cik,  kalau  macam  ni,  belanja  sekolah  saya  pun  dah  tak  cukup."   Budak  itu  mengambil  bungkusannya.  "Terima  kasih  cik," seraya  terus  melangkah.

"Susahlah  kalau  macam  ni.  Barang  makin  mahal,  jualan  makin  merosot,  kerenah  pelanggan  macam-macam,"  gerutu  Kak  Siti  sendiri.

Semalam  seorang  pelanggan  memarahinya.

"Awak  tak  boleh  naikkan  harga  sesuka  hati.  Saya  boleh  buat  aduan!"  

Geram  juga  hatinya.  Tetapi  dia  cuba  juga  menjelaskan.  

Kak  Siti  membuka  flusk  nasi  lemaknya.  Dia  mengeluh.  Lebih  separuh  berbaki.  Dia  melihat  pula  bekas  lauk  pauk  dan  kuih  muihnya.  Masih  banyak.  Ada  juga  yang  masih  belum  disentuh.

Kak  Siti  duduk  semula.  Menoleh ke  kiri  dan  kanan.   Gerai  yang  menjual  di  tepi  jalan  kawasan  perumahan  itu  berceratuk.  Tidak  berapa  jauh  kedudukan  antara  satu  sama  lain.  Tetapi  hanya  beberapa  gerai  yang  menjual  sarapan.  Mereka  juga  sedang  duduk.  Tiada  pelanggan.

Sebuah  kereta  memberi  isyarat  ke  kiri.  Hati  Kak  Siti  berbunga  harapan.  Kereta  itu  perlahan  ke  bahu  jalan  menghampiri  gerai  Kak  Siti.  Baru  sahaja  mahu  berdiri,  kereta  itu  terus  melintasi  lalu  berhenti  di  gerai  berdekatan.  Kak  Siti  hampa.

Kak  Siti  melihat  jam  di  telefon  bimbitnya.  Sudah  menghampiri  jam  sepuluh.  Terik  mentari  semakin  menggigit.  Kak  Siti  mengipas  dirinya  dengan  majalah  yang  dibawanya.  Beberapa  ekor  lalat  hinggap  di  jualannya.  Hanya  dijeling,  tidak  dipedulikannya.  Waktu  yang  lambat  merangkak  ditambah  dengan  ketiadaan  pelanggan  membuat  hatinya  semakin  rungsing.

"Menteri  kata  GST  ni  bagus."  Kak  Siti  menggaru  kepala  yang  tidak  gatal.  Dia  cuba  mengingat  apa  yang  didengarinya  dalam  berita  televisyen.  Tangannya  mula  menghayun  penghalau  lalat.  Beberapa  ekor  bertempiaran.

"GST  akan  buat  harga  barang  lebih  murah.  Kalau  nak  beli  apa-apa,  beli  lepas  GST,"  kata  seorang  menteri.

"GST  baik  untuk  ekonomi  negara.  Rakyat  belum  nampak  hasilnya.  Kalau  sudah  rasa  nanti,  percayalah,  rakyat  akan  berterima  kasih  dengan  kerajaan,"  terang  seorang  menteri  lain.

"Sebelum  ini  cukai  perkhidmatan  sepuluh  peratus.  Dengan  GST  cuma  enam  peratus,  "  jelas  seorang  menteri  lain  pula.  

Kak  Siti  bersumpah  di  dalam  hatinya,  bahawa  dia  sedikitpun  tidak  mengerti  apa  yang  didengarnya.  Tetapi  molek  benar  bunyinya.  Sudah  tentu  dia  mempercayainya.  Ini  ditambah  dengan  iklan  yang  turut  dilakonkan  oleh  pelawak  dan  pelakon  kesukaannya  yang  menjelaskan  tentang  kebaikan  GST.  Dia  semakin  yakin.

Pada  awalnya  dia  rasa  bertuah  kerana  telah  memangkah  kerajaan  yang  memerintah  sekarang.  Sudahlah  dia  diberi  BR1M  (telah  beberapa  kali  dia  menerimanya)  mereka  pula  akan  memperkenalkan  sesuatu  yang  kelak  akan  menyenangkan  rakyat  pula.

Tetapi  sekarang  hatinya  mula  goyah.  Realiti  adalah  sebaliknya.  Siapa  yang  tidak  memperkatakan  tentang  kenaikkan  harga  yang  mendadak  di  pasar  tempat  dia  membeli  barang  mentah.   Peniaga  mana  yang  tidak  mengeluh  jualannya  merosot.  Selain  itu,  kenyataan  menteri  juga  sudah  berubah  nadanya.

"Untuk  elak  GST  mahasiswa  dicadangkan  masak  sendiri."

"Peniaga  yang  pro-pembangkang  sengaja  menaikkan  harga  untuk  memburukkan  kerajaan."

"Beli  sayur  masak sendiri  di  rumah,  dapat  makan yang  segar.  Kenapa  makan  sardin?  Sudah  berbulan  duduk  dalam  tin."

'Kalau  dah  murah,  kenapa  perlu  berjimat?'  Detik  hatinya.  'Aku  peniaga,  aku  naikkan  harga.  Tapi  aku  bukannya  sokong  pembangkang. Sardin?   Apa  kena  mengena  menteri  dengan  sardin?'

"Kak  Siti!"

"Kus  semangat.  Kau  ni.  Terperanjat  akak.  Bagi  la  salam  dulu  Shida  oi..."  

Shida  geli  hati  melihat  Kak  Siti  yang  merah  mukanya.

"Assalamualaikum  kak."  Shida  masih  mengekek.

"Waalaikumsalam.  Bila  kau  sampai?  Aku  tak  perasan  pun.  Kau  nak  beli  nasi  lemak  ke?"  

"Akak  tu  berangan  sampai  tak  sedar.  Abang  Majid  hantar  saya."  

"Mana  Majidnya?"  Kak  Siti  masih  kebingungan.  Matanya  menyeluruhi  Shida.  Seperti  biasa,  Shida  sentiasa  bergaya  dan  wangi.  Mukanya  sentiasa  bersolek.  Perhiasannya  bertukar  ganti.

"Abang  Majid  pergi  kedai.  Sekejap  lagi  dia  datang  balik.  Saya  datang  ni  sebenarnya nak  ingatkan  akak  fasal  program  malam  ni."  Shida  memaniskan  mukanya.

"Program  apa?"  Hampa.  Shida  tidak  mahu  membeli  nasi  lemaknya.

"Program  pasal  nak  jelaskan  GST kak.  Hari  tu  kan  saya  ada  jemput?"  Shida  mengemaskan  rambutnya.  

"Macam-macam  fitnah  pembangkang  sekarang  ni  kak.  Dia  orang  banyak  sangat  bercakap.  Sekarang  kita  pula  nak  menyerang.  Datanglah  kak,"  sambungnya  lagi.

"Oh...  Tapi  ramai  ke  yang  datang?  Nanti  macam  hari  tu."  Kak  Siti  bimbang.  Dia  masih  ingat  program  yang  lepas.  Mereka  yang  hadir  tak  sampai  lima  belas  orang.  

"Sebab  tu  akak  kena  datang.  Akak  kan  ahli?  Nak ramaikan  lagi.  Lagipun  ada  jamuan.  Lepas  tu  ada  cabutan  bertuah  kak."  Shida  melembutkan  suaranya.  Nadanya  semakin  memujuk.

"Tengoklah  nanti.  Insya-Allah."

"Jangan  tak  datang  kak.  Ada  jamuan  dengan  cabutan  bertuah.  Mana  tahu  nasib  akak  baik.  Orang  tengah  gaduh  GST,  akak  dapat  hadiah,"  suara  Shida  bertambah  lunak.

Setelah  berbual  beberapa  ketika,  Majid  sampai.  Mereka  berlalu  meninggalkan  debu.  Kak  Siti  menghantar  mereka  dengan  pandangan  yang  bersungguh-sungguh  hingga  kereta  itu  hilang  di  simpang  hujung.

"Bertuahlah  kau  Shida,"  detik  hati  Kak  Siti.

Dalam  keadaan  begini,  orang  seperti  Shida  tentu  tidak  berapa  susahnya.  Suaminya  boleh  dikatakan  kaya.  Lapan  tahun  dahulu,   Shida  jirannya.  Pernah  juga  hidup  melarat.  Dalam  usia  sembilan  belas  tahun,  sudah  menjanda.    Kerana  kecantikannya,  tahun  yang  sama,  dia  mengahwini  Ketua  Bahagian  kawasan  itu  sebagai  isteri  ketiga.  Sesudah  itu,  hidupnya  berubah.  Melaram  ke  sana  sini,  berkereta.  Tinggal  di  rumah  baru.  Pakaian  sentiasa  cantik  dan  terkini.  Tubuh  badan  sarat  bersalut  perhiasan.

Kak  Siti  melihat  semula  telefon  bimbitnya.  Hampir  tengah  hari.  Dia  mesti  siap  berkemas.  Harus  membereskan  segala  kerja.  Malam  nanti  ada  acara.                                

×          ×           ×

Kak  Siti  gembira.  Hari  ini  jualannya  tinggal  sedikit  sahaja  lagi.  Tidak  seperti  semalam.  Tetapi  jumlah  jualannya  telah  menyusut  hampir  separuh.  Dia  tidak  lagi  memasak  sebanyak  selalu.

Dia  duduk.  Fikirannya  teringatkan   program  semalam.

"Jangan  dengar  tohmahan  pembangkang!  GST  ni  ambil  masa  untuk  kita  nikmati  hasilnya.  Tapi,  apa  yang  penting,  cuba  akak-akak,  adik-adik  dan  puan-puan  sekalian  bayangkan,  kalau  tak  ada  parti  kita  ini  bagaimana  nasibnya  bangsa  kita?  Sanggupkah  kita  biarkan  anak  cucu  kita  bangsat  merempat  di  bumi  sendiri?  Sanggupkah  kita  membiarkan  bangsa  asing  memerintah  kita?  Jika  tak  mahu,  saya  menyeru  demi  bangsa  dan  agama  supaya  kita  bersatu  menyokong  kepimpinan  kita  sekarang!"  Begitu  bersemangat  suami  Shida  memberikan  ucapan  walaupun  kehadiran  tidak  sampai  dua  puluh  orang.  Ucapannya  tetap  diiringi  tepukan  walaupun  tidak  gemuruh.

"Untung  juga  tak  ramai.  Dapat  aku  blender  baru."   Hatinya  terasa  bangga  dan  senang.

Kak  Siti  melihat  dua  orang  pemuda  menghampiri  gerainya.  Mereka  berdua  adalah  pelanggan  tetapnya  juga.  Cuma  sudah  beberapa  hari  tidak  membeli.

"Kak,  nasi  lemak  sotong  dua."

Tangan  Kak  Siti  cekap  menyiapkan  pesanan  pelanggannya.

"Sembilan  ringgit  dik."  

"Dah  naik  harga.  Kena  GST  juga   ke  kak?"  Nada  pemuda  itu  separuh  berseloroh. Wang  bertukar  tangan.

"Biasalah  dik,  harga  barang  makin  naik,"  jawap  Kak  Siti  acuh  tak  acuh.  Mula  muak  dengan  situasi  seperti  yang  dihadapi  sekarang.

"Huh,  makin  perit  hidup  macam  ni  kak.  Makan  minum  mahal,  tambang  mahal,  semualah  jadi  mahal.  Ni  GST  lagi,  tambah  mahal,"   rungut  pemuda  itu.

"Alah  dik,  dengan  GST  pun,  Insyaallah  kita  masih  boleh  hidup.   Sabar.  Kan menteri  cakap  harga  barang  akan  jadi  murah."

"Akak  percaya?"  Pemuda  yang  sedari  tadi  diam  bertanya.

"Dah  itu  katanya.  Dalam  surat khabar  pun  tulis  begitu.  Kamu  tak  percaya?"  Kak  Siti  kehairanan.  Kedua  pemuda  itu  mengekek  perlahan.

"Kami  bukan  sahaja tak  percaya  apa  yang  dia  orang  cakap  atau  tulis  kak.  Apa  yang  mereka  belum  cakap  dan  tulis  pun  kami  tak  akan  percaya."  Ketawa  mereka  meledak.  Hati  Kak  Siti  berbara  juga  jadinya.  Tetapi  tetap  tersenyum.

"Cuba  akak  fikir  logik,  kalau  barang  jadi  murah  itu  bukan  cukai.  Itu  diskaun  namanya.  Subsidi  pun  tak  nak  bagi,  nak  bagi  diskaun  pula?"  Mereka  berpandangan.  Tersengih  seolah  merasakan  kemenangan.  Kak  Siti  terpukul  juga  dengan  kata-kata  itu.

"Huih,  dasyat  kamu  berdua  ni.  Marah  sungguh  nampaknya.  Tapi  kita  orang  kebanyakkan  ni  boleh  buat  apa?"  Terpaksa  dilembutkan  pertuturannya.  Bimbang  pelanggannya  berkecil  hati.  

"Orang  banyak  la  boleh  bersuara.  Kita  boleh  bantah  kak.  Kalau  akak  tanya  kami  apa  yang  boleh  dibuat,  satu  haribulan  ni  turun  demonstrasi."  Ketawa  mereka  kembali  galak.

"Apa  tu?"  

"Perhimpunan  kak."

"Perhimpunan  haram?  Kamu  berdua  jangan  cari  susah,  kena  tangkap  malu  mak  ayah,"  Kak  Siti  menasihati.

"Tak  apalah  kak,  kami  tau  jaga  diri."  Keduanya  terus  pergi.

Kak  Siti  mahu  berkemas.  Nasinya  sudah  habis.  

Ketika  hampir  selesai  berkemas,  sebuah  trak  penguatkuasa  majlis  daerah  tiba-tiba  muncul.  Kak  Siti  cemas.  Berbelas  pegawai  penguatkuasa  turun.  Mereka  menyerbu  beberapa  gerai  yang  berhampiran.  Kak  Siti  mempercepatkan  kerjanya.  Hanya  tinggal  payungnya  sahaja  yang  belum  disimpan  di  dalam  van.  Ketika  sedang  menutup  payung,  seorang  pegawai  menghampirinya.

"Nanti  dulu  kak!  Biarkan  kat  situ."  Pegawai  itu  bersuara  agak  tegas.  "Dekat  sini  tak  boleh  niaga,  minta  IC,"  sambungnya  lagi.  

"Alah  dik,  tolonglah.  Akak  dah  bertahun  berniaga  kat  sini.  Kalau  tak  boleh  berniaga,  akak  sekeluarga  nak  makan  apa?"  Sayu  suaranya.  Kad  pengenalan  diserahkan.

"Saya  minta  maaf  kak,  kami  dapat  aduan  orang  ramai.  Saya  hanya  jalankan  tugas."  Pegawai  itu  kemudian  mencatatkan  sesuatu  pada  fail  yang  dibawanya.  "Payung  ni  terpaksa  kami  ambil  kak,"  lanjut  pegawai  itu  sambil  menyerahkan  sekeping  kertas  beserta  kad  pengenalan.
Kak  Siti  menerima  tanpa  melihat  apakah  isinya.

"Kasihanlah  akak  dik.  Kalau  adik  ambil,  macam  mana  akak  nak  berniaga?"  rayu  Kak  Siti.

"Maaf  kak.  Kami  kena  adil.  Mereka  semua  dirampas  barangnya  juga."  Pegawai  itu  menudingkan  jarinya.  Jiran-jirannya  juga  menerima  nasib  yang  sama.  Ada  juga  yang  barangkali  tidak  sempat  berkemas,  dirampas  hampir  kesemua  perkakasnya.  "Sekali  lagi,  saya  minta  maaf  kak."  Pegawai  itu  menarik  payung  yang  masih  di  tangan  Kak  Siti.  

"Tolonglah  dik,  sekarang  ni  berniaga  pun  kurang.  Kalau  adik  ambil  juga  payung  ni,  buat  masa  ni  akak  tak  mampu  nak  beli  lain.  Macam  mana  akak  nak  berniaga?"  Kak  Siti  masih  mencuba.

Pegawai  itu  merentap  payung  itu.  Kak  Siti  terpaksa  melepaskannya.  Tidak  berani  dia  membantah.
Beberapa  orang  lagi  datang  membantu  mengangkat  payung  itu.

"Kalau  akak  nak  balik  payung  ni  boleh,  datang  pejabat  kami.  Tapi  akak  kena  bayar  saman  tu  dulu. 

Pegawai  itu  terus  berlalu.  Beberapa  minit  kemudian,  tugas  mereka  selesai.

Kak  Siti  masih  di  tempatnya.  Mula  membelek  kertas  ditangannya.  Dia  tidak  membaca  butirannya. 

Matanya    terbeliak  apabila  terpandangkan   jumlah  yang  tertera  di  bawah  surat itu. RM500.

Surat  itu  terlepas  dari  tangan.  Tak  sempat  mencecah  tanah,  terus  melayang  dipuput  angin.   Semakin  jauh.  

Kak  Siti  masih  berdiri.  Hanya  memerhati. - HARAKAHDAILY 8/5/2015