Kisah sepatu Datin Seri dan sekretariat OKU

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

HARI-hari kebelakangan ini dipaparkan video bagaimana isteri Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datin Seri Hajah Rosmah Mansor sedikit sukar memakai kasutnya lantas dibantu oleh pembantu beliau.

Sama ada mereka yang mengedarkan video itu dengan niat-niat tertentu, itu bukan fokus saya dalam penulisan ini. Saya juga tidak berminat untuk menilai sebarang komen-komen, apatah lagi komen negatif yang dilemparkan terhadap Datin Seri Hajah Rosmah Mansor.

Yang menarik minat saya untuk mengajak semua dari kita berfikir, itulah apa yang dikatakan sesiapa sahaja dalam kehidupan ini perlukan suatu sistem sokongan. Sama ada ia sedar atau tidak, keperluan itu boleh timbul di mana-mana sahaja. Ia mungkin juga boleh timbul pada bila-bila masa, meskipun tidak sepanjang waktu dan saat.

Bagaimana Datin Seri Rosmah memerlukan perhatian pembantunya pada waktu-waktu beliau berhadapan dengan kesulitan walaupun sekejap, demikianlah keperluan rakyat yang amat-amat memerlukan perhatian pemerintah pada waktu-waktu sukar.

Apatah lagi waktu-waktu sukar itu bukan sekejap atau sebentar, bahkan ia didepani rakyat saban waktu dan saban masa. Justeru, pemerintah yang dipertanggungjawabkan amanah kepada mereka, begitu sekali perlu memahami apakah kesulitan dan kesusahan rakyat banyak agar mereka dapat diberi perhatian dan dibantu sewajarnya.

Yang dialami oleh Datin Seri itu hanyalah sebahagian contoh kecil ketidakupayaan dan halangan yang boleh terjadi dalam kehidupan. Nah, di sini para pembaca mungkin telah punyai sedikit kefahaman tentang ketidakupayaan dan halangan yang boleh berlaku dalam kehidupan.

Begitulah apa yang didepani oleh mana-mana individu yang ditakdirkan kurang upaya atas pelbagai faktor kecacatan yang telah dikenalpasti. Setiap inividu orang kurang upaya bukanlah ciptaan Allah SWT yang tidak sempurna atau cacat. Ketidaksempurnaan atau kecacatan itu adalah pandangan terbatas di sisi manusia sahaja.

Bahkan di sisi Allah SWT, kurang upaya disebabkan pelbagai faktor atau kecacatan itu adalah satu petanda kekuasaan-Nya sebagai ujian buat individu itu sendiri dan seluruh umat manusia. Disebut ujian kepada individu kurang upaya itu mudah untuk difahami. Apakah pula maknanya ujian buat umat manusia dengan kurang upaya individu tersebut?

Di sinilah ingin saya fokuskan apa yang diistilahkan sebagai ketidakupayaan, halangan dan sistem sokongan. Ketiga-tiga elemen tersebut terdapat pada seseorang individu kurang upaya.

Berbeza dengan insiden yang dialami oleh Yang Amat Berbahagia isteri Perdana Menteri, seseorang individu kurang upaya secara umumnya berhadapan dengan ketidakupayaan, halangan dan keperluan kepada sistem sokongan sepanjang waktu dan masa, tidak pada masa-masa tertentu sahaja.

Kurang upaya yang disebabkan pelbagai kecacatan itu telah membataskan keupayaan seseorang kurang upaya sekaligus menjadi halangan kepada beliau untuk berinteraksi dengan masyarakat dan suasana persekitaran secara biasa.

Dalam keadaan inilah, seseorang kurang upaya memerlukan suatu system sokongan yang membolehkan penyertaan beliau dalam masyarakat dan persekitarannya sebagaimana insan-insan lain.

Tanpa suatu sistem sokongan yang bersesuaian dengan ketidakupayaan yang dialaminya, tentunya seseorang kurang upaya itu akan terbatas dalam tindakan dan ikhtiarnya bagi mengoptimumkan potensi yang tersedia dalam dirinya.

Secara sepintas lalu dan serba ringkas, itulah dilema setiap orang kurang upaya yang ingin terus menonjol namun terhalang dengan ketiadaan satu sistem sokongan yang baik. Di sinilah timbul persoalan, siapakah yang berkewajipan menyediakan sistem sokongan tersebut?

Jika diizinkan Allah SWT, saya akan mengulas peranan ini dalam penulisan akan datang. Harapan saya pada saat tahun ketiga penubuhan Sekretariat Prihatin Orang Kurang Upaya Malaysia dalam bulan Ramadan yang diberkati ini, moga-moga tulisan ini dapat difahami dan dihayati oleh sekalian pembaca bagi menjana sebuah masyarakat yang faham dan cakna keperluan orang kurang upaya.

Sebagaimana saya nyatakan dalam penulisan Ramadan 1435H sempena tahun kedua penubuhan sekretariat, fokus kami pada masa mendatang adalah ikhtiar advokasi ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara mesra orang kurang upaya pada suatu masa kelak. Tanpa dokongan seluruh rakyat dari pelbagai lapisan dan tempat, tentunya impian ini tidak akan jadi suatu kenyataan. – HARAKAHDAILY 6/7/2015