Harakah tersisip di hati ayah

AZAMIN AMIN | .

Tinggal kenangan penulis bersama ayahanda pada 2 Syawal yang lalu.


SETELAH mengambil dua naskah akhbar, masing-masing berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu setiap satu di atas meja kedai buku tepi 'dinding' jalan berhampiran Sekolah Menengah St George dan Hospital Taiping, dia memberi isyarat yang sangat difahami lelaki berkulit gelap itu.

Tanpa banyak cerita, pekedai itu seperti menyelongkar sesuatu, dari bawah timbunan majalah dan buku lain, lalu mengeluarkan senaskah lagi akhbar, dihulurkan dengan cepat ke tangannya.
 
Itu rutin yang saya perhatikan sejak di sekolah rendah dahulu, dan sesampai di rumah, dia akan membelek akhbar yang bertulisan merah menyala di kepala, dengan begitu khusyuk. Bila terluang saya pula menyelaknya satu persatu tanpa mengerti dan melihat gambar-gambar dipenuhi, lelaki-lelaki yang berkopiah putih dan berserban, sesekali terpampang wajah Perdana Menteri waktu itu, Tun Mahathir Mohamad di beberapa ruangan.

Sebelum ini, dia juga pernah membawa balik beberapa helai kertas hitam putih dan gambar-gambar jenazah 'tersenyum' di kelilingi wajah orang yang sama, mengenakan kopiah putih di kepala lalu ditunjukkannya kepada ibu, sambil terdengar lafaznya dengan nada sayu:' Memali '.

Meningkat tingkatan tiga, akhbar yang dibeli secara sorok-sorok itu, saya bawa pulang ke sekolah asrama sambil berkongsi untuk rakan-rakan membaca. Ditangkap dan dimarahi warden kerana membawa 'bahan terlarang' di sekolah, saya dijerkah di hadapan rakan-rakan: "Jangan kawan dengan dia, dia pembangkang!"

Bahan terlarang itu, 'Harakah' diperkenalkan oleh ayahanda Muhammad Amin, di usia mentah sehingga saya kini, dengan ketentuan Illahi berada di bawah bumbung pejabat akhbar ini sudah lebih 11 tahun lamanya. Ayah tidak pernah membantah, jauh sekali meminta percuma walau senaskah.

Ayah sentiasa menyemarakkan semangat dan acap kali bertanyakan saya pendapat. Pendapat sama yang ingin dikongsikannya bersama masyarakat setempat. Sumber terus dari saya, lebih diyakininya.

Adakalanya, dia bertanya juga khabar anak-anak muridnya khususnya bekas pelajar Malay College Kuala Kangsar, (MCKK) Perak, antaranya seperti Dr. Hatta Ramli, Dato' Dr. Nik Mazian dan Haji Roslan Hamid bekas Pengarang Harakah.

Sesekali berseloroh, jika ke Parlimen, cuba sampaikanlah salam ayah kepada Datuk Seri Hishamuddin Husein Onn, Datuk Seri Nazri Aziz dan Datuk Saifuddin Abdullah. Ayah ajar mereka debat masa di sekolah, katanya sambil mengukir senyuman kecil.

Dia juga, bercerita tanpa selindung mengundi di Bukit Gantang, sejak sekian lamanya sambil mencalit nama Dr Lo Lo Ghazali, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Ustaz Idris Ahmad, di atas kertas pangkah itu. Kadang-kadang, ayah lagak seperti penceramah, mengulang balik kata-kata Almarhum Presiden PAS Datuk Fadzil Noor, bahawa setiap hari tanpa kecuali, fikirkan tentang Islam. Ada masa dihubungi saya semata-mata untuk mendapatkan sehelai baju 'Hijau ke Putrajaya' semasa himpunan besar di Kedah dan 'Bersih' di Kuala Lumpur.

Ayah, inspirasi hati saya bertahan sehingga kini. Di kala merudum dan kecundangnya saya, menahan rempuhan cabaran kehidupan yang begitu kuat, dialah yang memapah saya kembali, hatta ketika arwah ibu saya kembali menemui Illahi.

Membakar api, untuk saya gapai bintang di langit, sebaik mengetahui saya menyambung pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. 'Mesti lawan ayah, dapat Second Class Upper', katanya mencabar, setiap kali bertemu di Hari Raya.

Kepemimpinannya, seloroh malah kecekapannya berpantun ketika menjadi wakil peminangan untuk anak-anak buah dan kaum kerabat, tempiasnya saya curi sedikit demi sedikit. Ayah, bekas Pegawai Pendidikan Daerah Hillir Perak dan Daerah Kuala Kangsar, bekas Pengetua lebih 10 buah sekolah menengah, penolong kanan, guru bahasa dan displin MCKK, pencapaiannya yang tak mungkin dan mustahil untuk saya cecah, walau seurat sekalipun.

"Azamin..." suatu malam dia menghubungi dengan suara yang teramat perlahan, tidak seperti selalunya. Setelah bertanya khabar keluarga, perkembangan politik semasa dan pengajian saya, dia mengungkap kata.

"Harakah...apa cerita? Maaf, ayah dah tak baca sebab tak larat sangat..." seperti lafaz penamat yang cukup menyayat.

Saya diam. bait-bait kata itu, serta-merta meremukkan hati. Luluh rasa sanubari. Sedih yang tidak terperi. Mata mula berkaca. Saya tahan namun tidak terbendung jua, berjurai air mata membasahi pipi.

Seperti menjangkakan sesuatu yang pasti menusuk kalbu, sama seperti 26 Ramadan empat tahun lalu, kembali menerpa ketika mengadap arwah ibu dalam suasana yang cukup syahdu.

Dan tanggal 26 Syawal lalu, ayahanda kembali diam bersemadi seiring hujan pagi tanpa henti membasahi bumi, bumi yang sama mendakap rapat tubuh ayah, yang pernah mengangkat, memapah dan memimpin saya, untuk terus bangkit berjalan ke hadapan.  

Setelah puluhan tahun melanggan secara taat, kini tiada lagi Harakah terselit di pintu pagar rumah. Tenggelam sudah penyuntik semangat apatah lagi serangkap pantun seloka. Perlahan-lahan jua kering air mata. Sayang saya pada ayah, sayang lagi Allah pada ayah. - HARAKAHDAILY 21/8/2015

(Allahyarham Muhammad Amin Alang Endut, ayah kepada penulis yang juga Penolong Pengarang Berita Kanan Harakah, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras dan selamat dikebumikan pada 26 Syawal (11 Ogos lalu), di perkuburan Tekah, Masjid Assam Kumbang, Taiping, Perak)