Kongres Rakyat aspirasi rakyat

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

HIMPUNAN rakyat dalam Bersih 4.0 adalah satu menifestasi penolakan rakyat terhadap parti yang menerajui pemerintahan hari ini. Pelbagai kepincangan yang berlaku dalam negara yang disebabkan gagalnya parti United Malay National Organisation “Umno” tidak lagi dapat dikompromi rakyat.

Itu isyarat paling jelas dan nyata yang disampaikan oleh ratusan ribu rakyat yang berhimpun tidak kurang dari 34 jam. Biarpun ada perbahasan berkaitan perjalanan himpunan rakyat tersebut, fokus saya dalam penulisan ini hanya satu. Aspirasi rakyat yang inginkan perubahan perlu diurus dan ditangani dengan penuh bijaksana dan berhemah oleh pendokong perubahan.

Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia “PAS”, tentunya aspirasi rakyat yang inginkan perubahan ini tidak boleh dipandang ringan. Tindakan yang lebih terkehadapan perlu dan mesti direncana dan dirintis. Momentum penolakan rakyat terhadap kerajaan yang dipimpin Umno mesti dibajai dengan perencanaan dan usaha yang paling mantap.

Penganjuran Kongres Rakyat pada 12 September 2015 oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan “NGO” adalah antara medan terbaik dalam kelangsungan mengurus dan mengatur aspirasi kebangkitan rakyat. Setiap pendokong perubahan sama ada bersifat NGO, kumpulan masyarakat sivil “CSO”, badan-badan professional dan individu perlu mengambil kesempatan dalam penganjuran Kongres Rakyat ini bagi mengemukakan suatu alternatif terbaik mendepani kepincangan yang berlaku hari ini.

Sebagai antara individu yang mengharapkan kejayaan Kongres Rakyat ini, saya menuruti rapat reaksi pelbagai pihak terhadap penganjuran kongres ini. Antara persoalan yang bermain di minda kebanyakan pihak, ke manakah aspirasi rakyat yang dibawa dalam kongres ini akan dibawa? Apakah aspirasi Kongres Rakyat adalah agenda PAS dan bukannya agenda rakyat?

Bagi menjawab persoalan-persoalan tersebut, saya menyeru kepada setiap pendokong perubahan untuk turut serta dalam Kongres tersebut. Kita yang menyertai kongres inilah penentu halatuju kongres pada masa hadapan dan kitalah penentu agenda rakyat untuk diperjuangkan melalui kongres tersebut.

Dapatan, luahan dan saranan Kongres Rakyat kelak tentunya tidak boleh terhenti di situ sahaja. Agenda perubahan dan aspirasi rakyat mesti terus dipacu dan momentumnya dikekalkan agar perubahan sebenar mampu dikecap rakyat.

Dokongan inilah yang perlu disampaikan kepada setiap yang terlibat dalam penganjuran Kongres Rakyat,  12 September kelak. Dengan komitmen pelbagai pihak dalam penganjuran kongres tersebut, saya percaya aspirasi perubahan yang diinginkan rakyat akan terus dicerna pasca penganjuran kongres.

Dengan berbaki kurang dua minggu, ayuh kita tunjukkan pada pemerintah dan seluruh rakyat bahawa aspirasi rakyat yang inginkan perubahan adalah suatu impian yang nyata. Ia bukannya suatu agenda pihak tertentu semata-mata. Jadikan penganjuran Kongres Rakyat ini suatu penerusan kepada momentum yang sedia ada bagi melahirkan Malaysia yang lebih sejahtera. – HARAKAHDAILY 3/9/2015