Mahasiswa dan aktivisme

MOHAMAD AMMAR ATAN | .

Aktivisme mahasiswa era sebelum AUKU 1975 dan aktivisme mahasiswa pasca AUKU 1975.
 
Dalam sorotan ringkas terhadap kampus dan kemahasiswaan di Universiti Malaya pada tahun 1957 hingga 1975, iaitu tahun pemindaan AUKU, diperjelas bahawa persekitaran yang menjadi latar belakang kepada pengenalan undang-undang tersebut.

Jalur pemikiran dan perlakuan yang menjadi sebahagian landskap kampus zaman ini selain kerja-kerja akademik yang rutin adalah merangkumi juga kegiatan akademik yang turut mewarnai kehidupan kampus. Cara dan gaya hidup yang agak bebas atau liberal dari segi sosial dilihat sebagai percikan dan pancaran pengaruh sekular-moden dalam masyarakat, atau dunia antarabangsa.

Sementara itu, peringkat peribadi juga terkesan dengan persekitaran ini. Hiburan merupakan salah satu yang menjadi kegemaran sebahagian mahasiswa dan mahasiswi dengan mengadakan pesta dan tarian, pada awal tahun akademik atau hujung minggu.

Perhimpunan dan perayaan yang dianjurkan asrama, terutamanya di hotel-hotel sekitar Kuala Lumpur menyaksikan corak kehidupan yang serupa. Kecenderungan ini terbawa-bawa dalam adegan kemahasiswaan lain, termasuklah water-fight antara asrama, atau penyerangan ke atas asrama perempuan yang bertujuan bersuka-suka sambil “mencuri” coli-coli (pantry raid) yang tergantung ditandas.

Kegiatan keislaman tidak mendapat perhatian yang meluas dalam skema kehidupan kampus ini, dan gejala dakwah tidak menyerlah seperti yang terdapat dewasa ini. Walaupun terdapat kegiatan keagamaan yang menyentuh perasaan dan perlakuan penuntut, namun umumnya kegiatan ini terhad kepada pergerakan Islam, seperti Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), atau berlegar kepada majlis-majlis berkala, contohnya, perayaan Maulidur Rasul.

Kehidupan berpersatuan yang terdapat pada waktu ini banyak tertumpu kepada yang berkaitan dengan kebajikan pelajar. Mahasiswa bebas berorganisasi, mencari dana dan mengutip derma, atau mengendalikan pengangkutan. Umumnya penglibatan yang disertai mahasiswa berbilang kaum, dan berlangsung dalam suasana yang harmonis.

Aktiviti tidak dibatasi oleh pertimbangan politik dan ideologi. Komitmen politik dan kemasyarakatan yang tersalur sekali sekala dilakukan menerusi perarakan atau penglibatan luar kampus. Kebiasaannya, kegiatan ini melibatkan hanya segelintir mereka yang mewakili pertubuhan yang berlandaskan ideologi, seperti Kelab Sosialis. Pengalaman seperti ini begitu menyerlah dan lebih mudah mendapat perhatian umum serta reaksi pemerintah. Nilai-nilai demokrasi turut terserlah dalam kegiatan mahasiswa.

Sungguhpun penumpuan AUKU pada peringkat pengenalannya pada tahun 1971 ialah pentadbiran universiti dan penyelarasan institusi pengajian tinggi, namun AUKU telah dibanyangi oleh peristiwa politik yang menyelubungi kehidupan mahasiswa di Universiti Malaya dan hubungkait ini semakin ketara berikutan pemidaannya pada tahun 1975.

Sebelumnya, aktivisme mahasiswa dan perkauman yang dipengaruhi oleh peristiwa 13 Mei 1969 dan pilihanraya menjelang tragedi itu, mengundang campur tangan kerajaan dalam pengurusan Universiti Malaya. Sebagai contoh, peristiwa Baling pada tahun 1974 telah menyumbang kepada pemindaan AUKU pada tahun 1975. Ledakan di Kedah yang mengheret sekitar 5,000 mahasiswa dan melibatkan UM, USM, UKM, UPM, dan ITM, merupakan peristiwa berprofil tinggi pada ketika itu dengan kesannya berpanjangan.

Pada peringkat awal AUKU sudah pun menyentuh aspek pengawalan ke atas mahasiswa, terutamanya persoalan mengenai perhubungan dan penggabungan diantara pelajar dan badan luar (bahagian 111, Fasal 15), perlanggaran peruntukan tersebut (Bahagian 111, fasal 16), dan kuasa Majlis Universiti untuk mengenakan hukuman (Bahagian V Seksyen VI, Fasal 15). Kandungannya pada waktu itu sudah cukup bagi menarik perhatian sesetengah pihak bagi mempertikaikan kebijaksanaan pengenalan peraturan dan prosedur tersebut.

Ciri-cirinya yang tidak demokratik telah mencetuskan debat yang serius. Ahli parlimen Kawasan Batu, Tan Chee Khoon dan Asri Haji Muda, iaitu pemimpin PAS merupakan ahli politik terawal yang mempertikaikan tindakan kerajaan. Pemimpin pelajar dalam kalangan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) tidak ketinggalan membidas undang-undang yang berpotensi memisahkan mahasiswa dari masyarakat dan menghalang mereka berperanan dalam negara.

Penentangan pelajar Universiti Malaya berterusan apabila mereka menganjur protes pada minggu orientasi, mereka merakamkan bantahan dalam forum, dan memuatnaik kritikan terbuka dalam akhbar mahasiswa. Tidak kurang juga pentingnya penyertaan para pelajar dari ITM dan USM dalam politik penentangan ini.

Kandungan AUKU yang dipinda pada tahun 1975, terutamanya Seksyen 15 dan 16, jelas menyasarkan kepada kehidupan kampus dan kemahasiswaan. Fasa dua seksyen 15(1) menjelaskan bahawa”tiada sesiapa jua, semasa menjadi seorang pelajar Universiti boleh menjadi ahli, atau boleh dengan apa-apa cara bersekutu dengan mana-mana persatuan parti politik, kesatuan sekerja atau apa-apa jua lain pertubuhan, badan atau kumpulan orang…” sementara itu seksyen 15(3) menjelaskan bahawa:

“Tiada sesiapa jua, semasa menjadi pelajar universiti, boleh menyatakan atau berbuat sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja atau sebagai menyatakan sokongan atau simpati dengan mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang haram…”

Dari sudut kerajaan, perubahan yang dilakukan terhadap AUKU didasari oleh pertimbangan keselamatan dan keamanan negara. Dalam sesi pembentangan, Menteri Pelajaran ketika itu, Mahathir Mohamad, telah meyentuh ancaman komunisme dan perkauman yang mampu menggugat keamanan negara serta kemunduran Bumiputera dalam bidang pendidikan yang menuntut rawatan segera.

Pembabitan dalam aktiviti kampus mengikut beliau boleh membantu penularan komunisme, di samping membantut proses pelajaran pelajar bumiputera. Kebebasan universiti harus dibendung supaya tidak tukar menjadi gelanggang percambahan elemen anti-nasional.

Bukanlah sesuatu yang mengejutkan pada ketika AUKU (Pindaan) diperkenalkan, beberapa pihak mulai membayangkan kebimbangan mereka terhadap perlaksanaanya, dan membangkit persoalan kesan negatifnya terhadap kampus dan kemahasiswaan kerana sebarang pengubahsuaian telah menambhakan kerisauan mereka.

Akibatnya, ruang demokrasi dan sivil yang seharusnya meliputi kampus telah tercemar. Sekali lagi tokoh pembangkang, Tan Chee Khoon telah muncul dengan pandangannya. Beliau dengan pengalamannya sebagai ahli Majlis Universiti Malaya sejak 1959, melihat pengenalan AUKU suatu tindakan dahsyat, dengan menganggapnya sebagai “diabolical and draconian in concept, tyrannical in execution, and will produce graduates who are intellectual morons”

Pada prinsipnya, bagi ahli Parlimen Batu tersebut, pemindaan Akta boleh menjerumus negara kepada kediktaktoran atau fascism, menyedari kuasa yang diturunkan kepada Menteri Pelajaran dan pegawai universiti dalam pengendalian institusi pengajian tinggi. Manakala para mahasiswa akan kehilangan hak asasi mereka untuk berpersatuan dan bersuara, di samping terdedah kepada pengendalian hukuman yang bertentangan dengan prosedur yang pada kebiasaanya diikuti. Dengan kesedaran ini, Tan Chee Khoon meramalkan bahawa AUKU akan menjadi bebanan (albatross) kepada kerajaan sendiri.
 
Penilaian dan Penentangan Terhadap AUKU

Realiti yang tergambar daripada pengalaman mahasiswa pula menjelaskan nasib yang menimpa mereka dengan segala implikasi negatifnya ke atas masyarakat dan negara. Sejauh mana impak AUKU ke atas kegiatan mahasiswa sememangnya sukar untuk diukur dengan tepat, namun telahan dan tekaan pengkritik undang-undang berkenaan bukanlah sepenuhnya meleset, apatah lagi apabila kerajaan sendiri bertindak memindanya.

Berpandukan tahap aktivisme dan jenis penglibatan mahasiswa di kampus sejak pengenalan AUKU dapat dilihat bahawa perubahannya begitu ketara dan kehidupan kemahasiswaan telah bertukar corak. Sememangnya pelajar masih meneruskan tradisi demonstrasi, seperti perarakan menentang pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan pada tahun 1979 dan bantahan mereka terhadap Israel berikutan pembunuhan beramai-ramai di penempatan Shabra dan Shatila pada tahun 1982.

Namun begitu, partisipasi jelas menunujukkan jumlah penglibatan mahasiswa yang menurun. Secara perbandingan, dalam jangka waktu empat tahun, sebelum AUKU 1975 diperkenalkan, mahasiswa di UM, UPM, UTM dan USM telah menganjurkan 24 kali demonstrasi, tetapi sepanjang 14 tahun kemudian dari tahun 1975 hingga 1989, mahasiswa hanya berupaya atau berjaya mengadakan sebanyak 32 demonstrasi sahaja.

Dari sudut yang lain, tindakan undang-undang  dan tatatertib juga pernah diambil terhadap mahasiswa yang telah melanggar Akta. Sementara itu, kemerosotan pencapaian akademik pelajar juga turut dikesan. Hal ini dapat diliaht melalui pengakuan Pengerusi Majlis Bersama Persatuan Kakitangan Akademik Universiti-universiti  Malaysia, Hairi Abdullah yang mengatakan bahawa ‘mutu mahasiswa sekarang menurun berbanding pada zaman kegemilangannya pada satu ketika dahulu.’

Pengamatan luar dan dalam universiti boleh dijadikan petunjukan bagi mendapat gambaran yang lebih lengkap untuk mengukur kesan negatif AUKU ke atas sikap dan perlakuan mahasiswa. Sepuluh tahun selepas pemindaannya, pada tahun 1975 beberapa pemerhati kampus dan kemahasiswaan telah mengesan kelesuan dalam kehidupan mahasiswa.

Bakat kepimpinan mereka tidak lagi menyerlah, sebahagian daripada mereka sekadar menjadi “ulat buku”, manakala sebahagian yang lain menjalani hidup yang pasif tanpa mempedulikan nasib masyarakat dan negara. Kehidupan berorganisasi yang pernah mencirikan kampus dan kemahasiswaan sebelumnya seolah-olah lenyap. Pergerakan mendesak supaya Akta dipinda atau dimansuhkan terus melibatkan banyak pihak, dan bukan sahaja terhad kepada ahli parlimen atau pemimpin mahasiswa.

Pemilihan Anwar Ibrahim sebagai Mneteri Pelajaran pada tahun 1986, meletakkan harapan para pemerhati semacam melonjak, apatah lagi berbekalakan kepercayaan bahawa beliau berpandangan liberal dan tidak menghalang kebebasan. Optimisme in bertambah apabila Anwar memanggil pihak-pihak berkenaan, termasuk pentadbir universiti, untuk berbincang dan mengkaji semula akta.

Keghairahan ini jelas berpunca daripada kegelisahan merata akibat perlaksanaan undang-undang tersebut selama 15 tahun itu. Perasaan ini terluah apabila masing-masing yang berkaitan sekali lagi memaparkan pelbagai jenis kesan negatifnya, termasuklah ketandusan pemikiran dalam kalangan mahasiswa, apathy yang mencengkam kehidupannya dan ketiadaan persiapan di kampus untuk melahirkan generasi pemimpin pelapis.

Pengawalan yang menyukarkan pengutipan dana dan derma serta menyekat program kegiatan mahasiswa menyebabkan mereka kehilangan kenyakinan diri dan tidak bermaya.
 
Bukan sahaja budaya takut atau “culture of fear” yang mengusai jiwa mahasiswa, para pensyarah juga turut merasa khilangan autonomi atau kebebasan dalam keadaan universiti beroperasi seperti sebuah jabatan di bawah kementerian pelajaran. Sanusi Osman, iaitu aktivis mahasiswa pada tahun 1960-an menjelaskan bahawa “kecemerlangan akademik di sesebuah universiti hanya akan terjamin sekiranya masyarakat pelajar dan golongan akademik yang berada di dalamnya dapat mempelajari, berfikir, membaca, berbincang, menyelidik, bersuara dan menulis dalam suasana bebas”.

Ternyata setelah satu setengah dekad berlalu, banyangan AUKU kekal menimpa mahasiswa, walaupun setelah berlakunya perubahan dalam kepimpinan Kementerian Pendidikan. Tiga tahun kemudian, pada tahun 1989, perasaan pengkritik sekali lagi tersentuh untuk mengharapkan pemindaan, apabila terdapat ura-ura kesediaan pihak kerajaan untuk mewujudkan suasana liberal, khasnya berikutan kelonggaran yang diberi untuk membuka sudut pidato.

Persoalan tentang keadaan kelesuan dan kebekuan telah mencengkam kehidupan mahasiswa, sehingga minat politik dalam kalangan mahasiswa menyentuh tahap minimum dan hanya sekali sahaja berbangkit. Isu besar semasa, seperti pemecatan Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara, berlangsung begitu sahaja tanpa menjadi bahan wacana di universiti, jauh sekali daripada menjadi persoalan yang menimbulkan protes terbuka.

Pilihan Raya kampus yang seharusnya menjana fikiran politik berlalu begitu sahaja. Budaya tajut yang tidak membuah intelektualisme dihubungkaitkan dengan kongkongan dan tekanan yang diterima pelajar dari bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP). Bukanlah suatu yang mengejutkan apabila penganalisis Rustam A. Sani memperlihatkan kesangsiannya sekalipun dengan pembukaan Sudut Pidato yang berpotensi mengungkap fikiran.

Persoalan AUKU sebagai peruntukan yang membelenggui mahasiswa dan kemahasiswaan terus hidup pada tahun 1990-an, sekalipun perbahasan tidak serancak dahulu. Namun begitu, isu-isu yang berbangkit tetap sama, iaitu penjinakan mahasiswa sehingga mereka lebih tertumpu kepada peperiksaan, sekaligus membawa kepada kegersangan kehidupan intelektual, dan perubahan sikap yang mereka tonjolkan shingga menjejaskan mutu pendidikan universiti.

Mahasiswa perlu dipercayai semakin tertakluk kepada perkiraan kebendaan, dan lebih berminat untuk lulus dalam peperiksaan, dan selanjutnya mendapat pekerjaan. Segala-galanya semacam terhenti di situ, sehingga mengungkap persoalan bahawa “pihak berkuasa mahu menjadikan universiti tempatan sebuah perkampungan di bawah tempurung”.

Kritikan terhadap Akta juga merujuk kepada dasar ‘double standard’ pemerintah yang membenarkan pelajar Malaysia di seberang laut berkecimpung dalam politik, termasuklah menganggotai Umno, tetapi melarang mereka di dalam negeri berbuat demikian.        
 
Selepas lebih 40 tahun perlaksanaan AUKU, mahasiswa kekal dibayangi undang-undang tersebut. Pemindaan AUKU pada tahun 1975, 1983, 1996 dan 2009, gagal mengubah suasana kampus, dan malahan kemahasiswaan terus dibelenggui oleh pelbagai peraturan dan sekatan, sama ada melalui AUKU atau peraturan khas universiti.

Pembesaran ruang demokrasi dalam masyarakat akhir-akhir ini tidak diiringi oleh pembebasan sepenuhnya mahasiswa dari ikatan AUKU, sedangkan sebagai warganegara, maka berhak diberi kedudukan yang serupa seperti rakyat lain. Apakah ertinya sekiranya mahasiswa yang dinobatkan sebagai pemimpin masa depan tidak didedah kepada sosialisasi yang memungkinkan mereka sebagai graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berkelengakapan dengan rasa penuh tanggungjawab yang tinggi hasil pembelajaran di kampus.  

AUKU ternyata ketinggalan zaman, lantaran terpugar dalam suatu persekitaran yang sudah tidak wujud lagi pada hari ini, manakan tidak mahasiswa yang membawa masuk ahli politik pembangkang atas dasar Alumni dan syarahan umum pun dikenakan tindakan gantung dua semester, ironi juga mahasiswa yang berusaha untuk memakmurkan kampus dengan budaya intelektual yang seimbang juga telah dikenakan hukuman gantung dua semester. Di mana ruang yang dikatakan AUKU ini masih relevan?
 
Idealisma Mahasiswa ke arah Pembangunan Umat         

Kaliber tinggi dalam kalangan aktivis muda negara perlu dihalakan ke arah pembangunan umat Malaysia. Memang benar usaha sebegini amat sukar untuk dilaksanakan, tetapi jika semua pihak sedia berusaha gigih usaha ini boleh dijayakan. Sehingga kini, usaha menuntut keadilan hanya bertumpu kepada keadilan politik (propaganda Reformasi yang terus mara menuntut keadilan bagi pihak bekas Timbalan PM kita).

Jika keseriusan ini ditumpukan pula ke arah usaha mengkaji kepincangan sistem perundangan negara dengan teliti dan mengemukakan bukti-bukti kukuh untuk membebaskan tahanan penjara daripada dakwaan palsu, martabat dan imej mahasiswa akan dapat dipulihkan dan mahasiswa akan mula dihormati dan dihargai. Mungkin, usaha sebegini akan menyedarkan masyarakat umum tentang kematangan intelek mahasiswa Malaysia dan seterusnya membuka peluang untuk mahasiswa untuk bergiat aktif dalam senario politik, kebudayaan, dan pendidikan kebangsaan. Mungkin juga, usaha ini akan menjadi pemangkin ke arah aktivisme mahasiswa yang positif dan membina. Malah bidang lain yang turut memainkan peranan penting di dalam pembangunan negara wajar diberi perhatian iaitu pada sudut ekonomi.                

Mahasiswa wajar menggiatkan kajian yang menyeluruh dan siasatan yang mendalam untuk mendedahkan salah urus khazanah negara yang merupakan amanah besar dari rakyat kepada pemerintah. Begitu juga dalam hal kondom dan suntikan dadah percuma. Dalam hal ini, rakan-rakan siswa-siswi yang beraliran agama secara khusus seharusnya mempunyai pendirian berkenaan isu ini.

Pak Lah yang merupakan perintis Islam Hadhari tiba-tiba bangkit menyokong tanpa berbelah bahagi dalam hal ini. Persoalannya, apakah ia selaras dengan kehendak dan prinsip Islam? Masih belum terbaca sebarang hasil atau tulisan akademik dan tuntas dari kacamata syarak dalam menyokong atau mengkritik polisi terbaru Kerajaan Hadhari ini.

Persoalan hukum-hakam tidak boleh dibicarakan sesuka hati kerana ia melibatkan disiplin-disiplin ilmu wahyu (hal ini dibantah oleh pembawa doktrinisasi Islam Liberal). Justeru, selagi mana seseorang itu menguasai disiplin yang sepatutnya dimiliki, maka mereka berhak berbicara dalam perkara menghasilkan atau menta'wilkan sesuatu hukum. Justeru tidak timbul isu pencabulan hak asasi khususnya kebebasan bersuara di sini. Namun yang lebih penting ialah mahasiswa yang berada dalam persekitaran ilmu agama secara khusus mesti duduk semeja mengkaji, menyiasat dan menghasilkan satu pendirian untuk dinyatakan dengan lantang dan terbuka.      

Gerakan Kesatuan Mahasiswa Indonesia (KAMI) yang dikaitkan dengan CIA berjaya menumbangkan Regim Sukamo. Suhu pelajar Universiti Chulalongkom dan Thammasat tidak dapat diturunkan dengan amaran asap gas pemedih mata melainkan oleh peluru. Ratusan pelajar terkorban dan tercedera. Itulah tahap dan erti kekuasaan pelajar di negara jiran.

Apakah Malaysia mempunyai landskap yang sama? Penulis berpandangan bahawa memang terdapat perbezaan khususnya pada tahap kesedaran sivil. Namun, walaupun terdapat sedikit perbezaan sedemikian pada mahasiswa Malaysia, akan tetapi satu persamaan yang tidak dapat dinafikan ialah masing-masing adalah mahasiswa yang mendokong prinsip intelektual dan budi. Penguasaan ilmu mesti disaluti dengan kebaikan dan kemuliaan budi agar masyarakat dapat menikmati kewujudan kelompok mahasiswa. Bukannya seperti "hadir tidak disedari, pergi tidak dirasai."           

Di Malaysia kelompok mahasiswa yang bergerak secara aktif dan radikal dalam dunia aktivisme sama ada secara bebas atau tidak dapat dilihat hanya dalam kelompok kecil, jumlah yang terlibat jika dibandingkan dengan seluruh mahasiswa di Malaysia, peratusannya hanya lebih kurang 5%, hanya kelompok tertentu sahaja yang punyai kesedaran dan bergerak atas kesedaran dalam pelbagai wadah dan juga dalam pelbagai skop, samada dalam bentuk wacana, akademik, demonstrasi, dan pelbagai bentuk yang lain.

Itulah yang dikatakan kesedaran anak muda khususnya golongan cerdik pandai masih dibawah konkongan Akta dan boleh diibiratkan seperti “burung yang hidupnya didalam sangkar, dan apabila pintu telah terbuka burung tersebut masih tinggal dan menghabiskan didalam sangkar.”

Sehubungan dengan apa yang telah disebutkan, mahasiswa perlu bersedia untuk menjadi pelapis dan penerus perjuangan dan sudah pasti ia memerlukan persediaan yang mantap. Muhammad Qutb menulis buku yang memberikan landasan filosofil teorotis dan penerapan konsep tarbiyah, yakni Manhajut-Tarbiyah Islamiyah. Muhammad Qutb mendefinisikan tarbiyah dalam satu kalimat yang sederhana, namun mewakili mafahim tarbiyah yang benar.        

“at-Tarbiyah hiya fannush shinaa’atil insaan”. Tarbiyah adalah seni menciptakan manusia.

Yakni tugas tarbiyah adalah “menciptakan tulang” manusia tersebut dia atas bentukan dasar fitrah saat ia lahir.10   

Mahasiswa mesti sedaya upaya menguasai bidang masing-masing agar dapat menggunakannya sebagai senjata ampuh ke arah menjana perubahan. Setiap pendirian sama ada berupa sokongan atau bantahan mesti dikemukakan dalam bentuk yang diyakini melalui sokongan hujah dan fakta.

Elakkanlah dari mengamalkan budaya "ampuisma" ataupun budaya "bebalisma". Mahasiswa mesti mempertingkat daya responsif. Jangan hanya menjadi robot yang menerima apa saja di dalam kelas atau dewan kuliah tanpa mengetahui apa yang berlaku di serata dunia. Akhirnya apabila berhadapan dengan realiti masyarakat, maka lahirlah pemimpin masyarakat yang kaku, tiada prinsip, kosong visi, korup dan penuh dengan skandal salah laku. – HARAKAHDAILY 7/9/2015

Penulis ialah Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya 14/15 dan Pengerusi Gabungan Merdeka Rakyat (GMR)