Kawal internet: Rakyat Malaysia yang lebih bebas?

ZAHARUDIN MUHAMMAD | .

SAYA baru terbaca berita dan isu berputar berkaitan kawal internet. Agak terlewat tapi belum terlambat. Terlewat sebab berita ni akhir Ogos, saya terlepas pandang sebab kalut dengan anak kecil waktu itu. Tidak terlambat sebab kesan internet seperti fitnah dan seumpamanya cepat tersebar dan merebak.

Bagi mengekang fitnah yang tersebar, pihak kerajaan ingin mengawal kebebasan internet dan media sosial seperti portal-portal berita, Facebook dan lain-lain. Mekanismenya mungkin setiap portal berita perlu memohon lesen dan sebagainya.

Dari sudut yang lain, jika ia tidak dikawal fitnah akan berleluasa. Saya melihat ramai mangsa-mangsa fitnah seperti skandal yang tersebar walhal itu adalah gambar super impose. Ada mangsa fitnah konon-kononnya makan duit sekolah, makan duit persatuan dan lain-lain. Paling kerajaan nak marah ialah konon-kononnya fitnah tentang 1MDB dan lain-lain.

Tuntasnya, jika disekat, maka mungkin kerajaan akan selesa melakukan penyelewengan. Dalam masa yang sama fitnah mungkin akan lebih perlahan penyebarannya. Dari sudut lain, fitnah akan lebih berbisa apabila yang sebar ada lesen manakala mangsa fitnah pula tiada lesen untuk memiliki laman sosial atau portal berita. Memang banyak pro dan kontra.

Pastinya sekat dan bebas ini ada buruk baik. Apabila sekat kebebasan, rakyat akan tanggung banyak akibat, monopoli pengiklanan, kos promosi produk akan naik menyebabkan peniaga marhaen akan terus di belakang.

Isunya, kenapa tidak diambil tindakan kepada si pesalah? Sepatutnya kerajaan perlu menyelesaikan mereka yang sebarkan fitnah, sekat dan ambil tindakan kepada mereka bukan ambil jalan pintas, sekat orang ramai. Seperti saya pernah ceritakan tentang penipuan dalam isu penukaran nama kereta. Orang yang menipu tidak dihukum sewajarnya, pendek kata orang ramai disekat dengan pelbagai peraturan dan prosedur sehingga rakyat tidak bebas.

Sebaliknya, jika penipu sudah sampai tahap pencuri, maka ia akan dipotong tangannya. Memang nampak keras, tapi ia memberikan kebebasan kepada orang ramai daripada diikat oleh prosedur pelbagai. Sampai masa, pelbagai prosedur yang mengekang transaksi orang ramai tidak diperlukan apabila ktia dapat sifarkan atau minimumkan penipuan.

Sama juga dalam isu kebebasan media. Hari ini, ‘hanky panky’ undang-undang menyebabkan ramai pemfitnah melalui media sosial bebas-sebebasnya. Ada sahabat saya difitnah melarikan duit ma'had. Apabila beliau berjumpa peguam, maka peguam nasihatkan jangan buang masa sebab yang tukang fitnah tu hanya ada motor kapcai sahaja.

Kes Tan Sri Khalid Ibrahim, apa kesudahannya? Yang salah minta maaf kemudian tiada apa-apa. Apa isu video Cukgu Pa? Apa isu video Azmin dan DS Anwar Ibrahim satu masa dahulu? Sampai hari ini masih tergantung keputusannya.

Dalam Islam, ibu kepada undang-undang fitnah ialah Qazaf. Kesalahan Qazaf bukan sahaja melibatkan si pembuat fitnah tetapi termasuk kepada si penyebar fitnah. Dengan kata lain, jika kes video di atas, orang yagn pertama kena Qazaf ialah orang yang letakkan gambar atau video tersebut di FB atau portal mereka jika ia sekadar kongsi tanpa dipastikan kesahihannya dan keaslian video tersebut. Jika sabit, maka si pesalah akan disebat di hadapan orang ramai. Jika ia melibatkan kos, maka si pesalah perlu membayarnya.

Hari ini, jika bersalah, maka kena bayar duit termasuk kos guaman. Jika si pesalah takde duit, maka kos itu ditanggung oleh si mangsa. Jadi, jika saman orang yang tiada duit, maka si mangsa akan jadi dua kali mangsa, mangsa fitnah dan habis duit.

Jika ia kesalahan fitnah yang tidak melibatkan kes zina dan kesalahan seangkatannya, maka ia akan diturunkan taraf kepada Takzir. Prosedurnya sama, cuma hukumannya terpulang kepada pihak berkuasa. Rohnya tetap sama dengan Qazaf justeru hudud adalah ‘benchmark’ kepada kesalahan lain.

Tuntasnya, undang-undang longgar rakyat dikekang atau undang-undang ketat maka rakyat bebas. Mana anda akan pilih?

Saya pilih Islam kerana undang-undangnya ketat dan tegas kepada si pesalah menjadi saya dan semua rakyat Malaysia bebas daripada kekangan prosedur dan ‘hanky panky’ pengurusan. – HARAKAHDAILY 8/9/2015