Saya tak redha anda derma RM90

USTAZ NIK MUHAMMAD NASRI | .

SHEIKHULQURRA’ Kurayyim Rajih berkuliah Maghrib di Surau Kampung Jaya pada hari Sabtu 5 Sept 2015 dalam siri jelajahnya bagi membantu umat Islam Syria. Kuliah berkisar sekitar keadaan yang sangat dahsyat yang sedang melanda Syria sekarang. Suasana seakan-akan ‘kiamat’ katanya.

Keadaan sebenar jauh dari semua bentuk ucapan dan ungkapan. Beliau juga memberi amaran dan peringatan kepada mereka yang ada wang tetapi tidak mahu membantu umat Islam Syria. Dibacakan ayat al-Quran, hadis Nabi mengenai amaran tersebut. Balasan neraka dengan pelbagai siksa terhadap mereka yang tidak menunaikan hak harta dan hak saudara seIslam.

Demikian juga dibaca ayat al-Quran dan hadis tentang kelebihan mereka yang berjihad membantu umat Islam Syria. “Bandingan mereka yang membelanjakan harta mereka di jalan Allah seperti satu biji yang menumbuhkan tujuh tangkai. Dari setiap tangkai, tumbuh 100 biji. Dan Allah menggandakan ganjaran kepada mereka yang Allah kehendaki. Dan Allah Maha Luas Kurnianya Lagi Maha Mengetahui.’

Sheikh menyebut: “Syria sedang bergolak. Sesiapa sahaja yang memberi bantuan kepada masyarakat akan ditangkap dan dipukul. Beri roti dianggap jenayah. Beri air dianggap jenayah. Harga sekilo daging mungkin mencapai RM300, sekilo roti di sana juga mungkin bersamaan dengan RM300. Air, elektrik, makanan, tempat tinggal sudah tidak ada. Jika ada bantuan makanan, kami terpaksa menebuk dinding di rumah jiran sebelah hanya untuk menghulurkan satu atau dua keping roti dan sedikit air. Rumah sebelah menebuk dinding untuk membantu rumah sebelahnya.”

Tambahnya: “Syria sedang terbakar tapi kami tidak ada air untuk memadamkan api. Bangunan sudah tidak ada. Yang tinggal hanya debu-debu kesan dari runtuhan bangunan. Apa yang saya cerita itu hanyalah gambaran kecil sahaja. Kerana keadaan sebenar lebih dasyat dari itu. Jika anda ada wang tolong dan bantulah kami. Jika anda ada RM100, saya tidak redha anda sedekahkan RM90 kerana anda mampu untuk menderma lebih dari itu.  Semoga Allah SWT merahmati anda semua.”

Di antaranya beliau menyebut: “Saya berharap kerajaan Malaysia memperuntukkan walau sekejap slot masa di TV untuk menunjukkan penderitaan rakyat Syria kepada rakyat Malaysia agar mereka insaf dan membantu rakyat Syria.” – HARAKAHDAILY 10/9/2015

(Gambar: Saya beritahu kepada Sheikh: Saya sempat belajar dengan almarhum Sheikh Nuh, Qadhi al-Qudha dan Mufti Jordan. Sheikh Kurayyim jawab: ‘Kaana indana’ (Beliau iaitu Sheikh Nuh pernah berada bersama kami iaitu di Damsyiq, lalu Sheikh Kurayyim tersenyum).