Kasih Allah ke syurga, kasih manusia...

USTAZ ROSLI ABDUL JABBAR | .

SEORANG rakan menghubungi, dia orang Johor, beliau akan menyertai [email protected], dia selalu singgah di pejabat saya jika ada urusan di Kuantan, saya kata 'silakan', pintu PAS sentiasa terbuka untuk keluar dan masuk.

Saya cuma berpesan 'anta carilah apa yang anta kehendaki dan anta binalah apa yang anta hajati, jika anta tinggalkan PAS kerana nak cari kebenaran, anta binalah kebenaran yang anta maksudkan, tapi jangan lupa bahawa sesuatu yang benar itu bukan dari hati kita, tapi mesti datang dari Allah SWT'. Walaupun hati kita rasa puas apa yang kita buat, itu bukan bermakna kita benar, kerana "Yang benar itu adalah dari Tuhanmu".

Dia kata, dia akan datang bersama rakan-rakannya, saya kata 'datanglah, sesiapa pun boleh jadi tetamu saya, tak kiralah apa partinya, saya tetap akan melayani tetamu saya, pemimpin Umno datang pun saya layan dengan baik, inikan pula seorang yang pernah menjadi sahabat.

Kalau datang pagi saya bawa ke Restoran Nasi Kerabu Kamira, kalau datang tengah hari saya bawa ke Restoran MABIQ, kalau datang petang saya bawa ke Ikan celup tepung (ICT) Pok Su dan Moksu, kalau datang malam saya bawa ke restoran Ana Ikan Bakar Petai, semua tempat ini terkenal di Tanjung Lumpur, tapi, kalau datang kerumah, makan sahajalah apa-apa yang ada.

"Harap silaturrahim kita tidak terputus ye Ustaz", katanya, "Insya-Allah", kata saya "tidak ada sebab kita nak putus silaturrahim, hubungan jasad kita seperti biasa, datanglah, bila anta ada masa".

Saya boleh berkawan dengan sesiapa sahaja, tak kira apa fahamannya, malahan walau berbeza agamanya sekalipun. Saya masih mencium pipi dan tangan ibu dan bapa saudara yang Umno, hubungan dan ikatan kasih sayang kekeluargaan tak pernah putus, Islam mengajar saya agar eratkan kasih sayang tetapi bertegas di dalam agama terutama berkaitan Aqidah. Aqidah bukan sesuatu yang boleh dijual beli dan boleh dibuat tukaran dengan kasih sayang, malahan harta sepenuh bumi pun jika ditukar dengan Aqidah masih tidak berpadanan.

Ada seorang rakan dalam FB komen dan menasihati saya, "Jadilah pendakwah bukan penghukum". Saya pun tak faham maksudnya, apakah pendakwah itu tidak boleh menyebutkan tentang hukum?

Dia lupa agaknya dakwah itu adalah kewajipan, dan kewajipan itu adalah hukum, dakwah itu juga bertujuan untuk menegakkan hukum, tiada tujuan dakwah itu melainkan untuk meninggikan hukum Allah SWT, mengajak manusia kepada hukum Allah, menjauhi yang haram dan melaksanakan yang halal, semua ini adalah hukum.

Tak mungkin sesuatu yang haram kita katakan halal atau kita hanya mendiamkan diri semata-mata kerana kita kasihkan manusia atau rakan kita dalam keadaan kita tahu hukumnya.

Kita semua yakin bahawa kita sedang menunggu hukuman daripada Allah SWT, "Nyatakan yang hak, walaupun ia pahit", "dan yang hak itu datangnya daripada Allah SWT", ini keluasan sempadan dalam berhukum, apabila kita membawa sesuatu yang datang daripada Allah, kita mesti membawanya walaupun terpaksa merentasi jaringan ibtila dan lautan cacian yang sangat menghinakan.

Kasih sayang terhadap manusia pun ada sempadan hukumnya, walau kasih kita kepada manusia setinggi awan sekalipun, jangan ia lebih tinggi dari kita kasihkan Allah, Rasul dan perjuangan Islam, itulah sempadan kasih kita sesama manusia. Dan akhirnya nanti diakhirat, hari yang tiada lagi hukuman melainkan hukuman daripada Allah semata, kita semua hanya mampu berteleku, pasrah menerima hukum daripada Allah SWT.

Semalam, kekanda saya YB Syed Hamid, ADUN Semantan isytihar keluar PAS, saya telah menjawapnya di hadapan wartawan semalam, pendirian PAS Pahang sama seperti PAS Pusat. Saya sayangkan dia, dia guru saya di dalam dewan undangan negeri, tapi kasih sayang saya padanya tidak mungkin melampaui kasih sayang saya kepada perjuangan PAS.

Saya hanya mampu berdoa untuknya, saya juga ditanya tentang bai'ahnya dengan PAS, saya dan dia sama-sama berbai'ah dengan nama Allah sewaktu diamanahkan menjadi calon PAS. Saya membaca lafaz bai'ah terlebih dahulu dan dia juga membacanya, saya rasa kami sama-sama faham dan bersetuju untuk melafazkannya. Dia telah menjawapnya di dalam sidang akhbarnya semalam, biarlah Allah SWT yang menghakimkannya. Saya takut.

Dunia juga ada sempadan, sempadannya adalah kematian. Matlamat kehidupan juga juga ada sempadan, sempadannya adalah akhirat. Jalan untuk mencapai matlamat juga ada sempadan, sempadannya adalah hukum, kita tidak boleh melalui jalan lain untuk mencapai matlamat kebahagiaan akhirat, melainkan melalui jalan yang telah dilalui oleh Rasulnya.

Jangan melewati atau terbabas daripada gigi-gigi jalan yang telah ditanda oleh Allah dan Rasul-Nya, ikuti arahan penunjuk jalan-Nya didalam al-Qur'an dan Hadis, jangan ambil jalan singkat yang kita tidak pasti entahkan betul atau tidak, berjalanlah pada laluan yang kita yakin dan pentunjuk Allah juga Rasul-Nya adalah sebenar-benar tempat untuk kita meletakkan keyakinan.

"Moga Allah SWT tetapkan hatiku diatas jalan agamaNya". – HARAKAHDAILY 11/9/2015