Krisis dalaman PAS mengajar rakyat Malaysia

NIK MOHAMAD ABDUH | .

NILAI berpegang pada janji. Dunia politik dipenuhi janji palsu. Di sebalik menepati janji adalah sifat terpuji, kadang kala ia bagaikan menggenggam bara api. Bahagialah sesiapa yang memiliki sifat terpuji menepati janji dan celakalah sesiapa yang mengkhianati janji.

Kesakitan adalah ujian. Penawarnya adalah keazaman. Kesabaran bukan sekadar ubat, bahkan ia adalah anugerah Ilahi kerana buahnya adalah rasa bahagia yang kudus.

PAS benar dalam memperjuangkan Islam. Asasnya benar. Matlamatnya benar. Caranya pun benar. Benar dalam perjuangan Islam bererti berusaha seupayanya mengikuti dan menepati panduan Al-Quran dan Sunnah Nabawiyah. Itulah 'Haazihi Sabiili.. Ad'uu ilaLlah..'

PAS di hati rakyat Malaysia. Ia lahir daripada hati nurani rakyat. Buahnya milik rakyat. Ia bukti rakyat Malaysia mencintai Islam sebagai ugama untuk dunia mereka, juga untuk akhirat mereka. Tahniah rakyat Malaysia.

Bai'ah adalah sunnah nabawiyah yang unggul. Ia milik perjuangan Islam. Tiada yang melecehkannya kecuali dihina oleh Allah. Kekallah PAS mengamalkan sunnah bai'ah di sepanjang zaman.

Kemenangan Islam adalah sentiasa pasti di bumi Malaysia. Di antara syarat kemenangan adalah dianugerahkan pengenalan antara kawan dan musuh perjuangan. Tidak dikenal kawan sehingga dikenal musuh.

Mengenali kebenaran menuntut ketelitian dan kesopanan. Lambat bukan kecelaan selamanya. Cepat bukan selamanya selamat.

Kehidupan mengajar kita kehidupan. – HARAKAHDAILY 14/9/2015