Jerebu: Malaysia harus lebih tegas

MUHAMMAD FADZLI ABU BAKAR | .

Bencana jerebu masih meliputi ruang udara negara dan negara-negara jiran lewat beberapa bulan ini.

Jerebu yang terhasil dari pembakaran terbuka di kawasan hutan sekitar Kalimantan membawa asap yang pekat dan putih, dibantu dengan faktor penolakan angin, ia tersebar jauh ke sekitar Indonesia, Singapura dan Malaysia.

Singapura mula melahirkan perasaan tidak senang kepada syarikat-syarikat menjana sumber hasil hutan di Kalimantan yang menyebabkan bencana ini sehingga ingin memulakan langkah undang-undang kepada syarikat-syarikat tersebut.

Malaysia pula mengambil jalan perundingan dan perbincangan dua hala bagi mengatasi bencana ini dengan kerajaan Indonesia.

DACS Selangor berpendapat kerajaan Malaysia harus bersifat lebih tegas dalam menangani perkara ini kerana ia sudah seakan "acara" tahunan negara setiap tahun.

Pembakaran hutan untuk penanaman semula secara tidak terkawal telah merosakkan alam sekitar, mencemari ruang udara dan mendatangkan bahaya serta mudharat kepada kesihatan khususnya seperti gatal di terongkong, pedih mata. sesak nafas dan keupayaan penglihatan yang terjejas.

Para pesakit asma, lelah, sakit jantung, orang tua, kanak-kanak dan ibu mengandung adalah golongan yang paling terjejas dengan bencana ini.

DACS Selangor menyarankan agar rakyat mengurangkan aktiviti luar, minum air suam dalam jumlah yang banyak dan memakai topeng muka.

Tindakan pihak Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi yang memberi cuti rehat kepada murid-murid sekolah dan menangguhkan kuliah di sesetengah universiti harus dipuji oleh rakyat.

DACS Selangor menyokong penuh tindakan ini demi menjaga Maqasid Syariah iaitu menjaga fungsi akal dan nyawa.

Bencana jerebu ini telah menjejaskan jarak penglihatan sehingga tiga kilometer bagi mereka yang belayar di laut khususnya di perairan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, dan Sarawak.

Penglihatan yang terjejas di lautan boleh menyebabkan pelanggaran antara kapal dan membahayakan anak kapal.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) boleh ditafsirkan antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). Rata-rata bacaan IPU di sekitar Malaysia adalah 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

DACS Selangor berpendapat, bencana jerebu juga telah memberi kesan kepada ekonomi negara dan menghadkan aktiviti sihat dalam kalangan rakyat.

Banyak acara sukan seperti larian marathon dan sukan yang lain terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan oleh pihak penganjur di saat-saat akhir.

Para peniaga juga mengalami penyusutan aliran tunai kerana rakyat kurang keluar untuk membeli belah, dalam skala yang lebih besar, para pelabur luar gusar dan khuatir untuk melabur dalam keadaan negara yang tidak sihat ditambah pula dengan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia tanpa tambatan.

DACS Selangor menyeru agar pihak kerajaan terus menjalankan aktiviti pembenihan awan sebagai ikhtiar menangani masalah jerebu ini.

DACS Selangor juga menyeru semua rakyat terus berdoa kepada AllahTaala agar hujan akan turun bagi mengurangkan jerebu yang meliputi ruang udara negara. Rasulullah s.a.w. mengajarkan kita sepotong doa bagi menghadapi bencana seperti ini, yang bermaksud: "Ya Allah sesungguhnya kami memohon kebaikan dari angin dan cuaca ini dan kebaikan apa yang ada padanya dan kebaikan apa yang diperintahkan dengannya. Kami memohon dengan-Mu agar dijauhkan dari keburukan angin dan cuaca ini dan dari keburukan yang ada padangan dan keburukan yang diperintahkan padanya." (riwayat Imam Muslim, Imam Turmidzi, Ibnu Abi Syaibah dan lain-lain). - HARAKAHDAILY 7/10/2015

Penulis ialah Pengarah Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Selangor
Dewan Pemuda PAS Selangor