Terima TPPA bermakna jadi balaci Amerika

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

USAHA rakyat bagi memberi tekanan terhadap kerajaan United Malay National Organisation “Umno” yang menerajui Barisan Nasional “BN” bagi menolak Perjanjian Perkongsian Transpasific “TPPA” harus berterusan. Tekanan terhadap TPPA ini bukan isu politik semata-mata.

Serata pelosok dunia memberi perhatian yang cukup serius terhadap percaturan Amerika dalam menjayakan TPPA. Saya pernah menulis bagaimana TPPA dirangka dan direstu oleh Kongres Amerika demi kelangsungan kuasa dunia ini.

TPPA sebenanrnya menjadikan negara-negara yang terlibat sebagai buruh Amerika sekaligus menjadi balaci kepada penjajahan baru ini. Justeru, usaha agar Malaysia menarik diri dari kerakusan Amerika ini perlu berterusan.

Apatah lagi apabila kita membincangkan nasib rakyat-rakyat bawahan yang kadangkala terpinggir dalam arus pembangunan negara. Dalam suatu kenyataan pada Jun 2015 lalu, pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu “PBB” bagi Hak Asasi Manusia secara terang-terangan mengkritik percaturan yang sedang diusahakan oleh pentadbiran Obama dalam TPPA.

Kenyataan daripada Geneva yang kemudiannya dikeluarkan oleh Aljazeera pada 4 Jun tersebut memberi perhatian kepada isu yang menyentuh hak asasi manusia sejagat apabila TPPA berjaya dilaksanakan. Kenyataan tersebut adalah rentetan daripada pelbagai kritikan yang dikeluarkan oleh pemerhati bebas dalam isu hak asasi manusia yang menyentuh TPPA.

Selain TPPA, turut diberi perhatian ialah Transatlantic Trade and Investment Partnership “TTIP” yang kedua-duanya dibimbangi melebarkan jurang kemiskinan dunia hari ini.

TTIP adalah satu instrumen perdagangan bebas yang dicipta Amerika untuk menguasai ekonomi dan pasaran negara-negara Kesatuan Eropah. Sebagaimana TPPA, TTIP turut mendapat kritikan meluas oleh pendokong hak asasi manusia yang prihatin kepada penderitaan kumpulan rentan apabila kedua-dua instrumen perdagangan bebas ini dilaksanakan.

Kritikan kepada kedua-dua instrumen ini termasuklah perihal kerahsiaan isi kandungan perjanjian, kewujudan Investor-State Disputes Settlement “IDS”, isu hak cipta dan paten, serta keutamaan kepada koporat antarabangsa dan konglomorat utama dunia.

Kritikan-kritikan tersebut menjurus kepada betapa perlaksanaan TPPA akan menjadi satu ancaman kepada keperluan kumpulan rentan termasuk wanita, orang kurang upaya, orang asal, warga emas, kanak-kanak dan mereka yang memerlukan bantuan khusus dalam kehidupan. ia turut memberi kesan kepada penerokaan sains dan teknologi oleh rakyat secara terbuka.

Kritikan terhadap kerahsiaan perjanjian hanya dijawab sinis oleh pentadbiran Amerika apabila dikatakan kerahsiaan tersebut adalah diperlukan bagi melicinkan perbincangan antara negara-negara terbabit. Sementara itu, isu IDS amat membimbangkan pemerhati hak asasi manusia bilamana IDS memberi ruang yang cukup luas kepada koporat-koporat dunia untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan-kerajaan di mana-mana negara yang menandatangani TPPA. Ia pastinya akan membelakangi nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan budaya setempat.

Dalam menilai perlaksanaan hak cipta dan paten dalam TPPA pula, tentunya ia akan menjejaskan penerokaan sains dan teknologi hari ini khususnya kepada mereka yang kurang berkemampuan seperti murid sekolah dan pelajar institusi pengajian. Perlanjutan hak cipta dan paten dalam TPPA dilihat begitu menguntungkan syarikat gergasi dunia.

Apatah lagi bagi orang kurang upaya dan mereka yang bergantung kepada perisian dan teknologi khusus akan mengalami kesan teruk dari perlaksanaan TPPA dalam isu hak cipta dan paten.

Harus diingat, para pemerhati hak asasi manusia yang disokong kenyataan Geneva ini menyatakan betapa TPPA adalah berorientasikan perniagaan dan koporat. Justeru pentadbiran sesebuah negara yang terbabit dengan perjanjian perdagangan bebas ini akan sentiasa terikat dan dipaksa untuk menjaga kepentingan syarikat-syarikat gergasi dunia terutama dari Amerika.

Dalam menyatakan kebimbangan inilah persoalan kebajikan dan kepentingan kumpulan rentan akan dilihat dikesampingkan dan terjejas. Meskipun mendapat kritikan yang meluas dan cukup hebat daripada pendokong hak asasi manusia serata dunia, pentadbiran Obama nyatanya tidak mengendahkan kritikan-kritikan tersebut dan terus angkuh dalam agenda mereka.

Apakah kita sebagai sebuah negara yang berdaulat dan dalam masa yang sama masih berhadapan dengan cabaran globalisasi mampu menongkah kerakusan Amerika melalui TPPA ini? Sudah tentu kita tidak rela untuk Negara diperkotak katikkan oleh kuasa dunia ini.

Kita tidak punyai banyak pilihan dan tidak punyai banyak masa lagi. Setiap suara membantah TPPA harus disatukan agar isyarat jelas dapat dinyatakan kepada parti pemerintah bahawa rakyat Malaysia menolak perlaksanaan TPPA. – HARAKAHDAILY 9/10/2015