TPPA: Sekali lagi ulama perlu ke depan

MUHAMMAD ZABIDI | .

Sejarah Ulama Silam
Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dari Abu Dardha RA berbunyi:

“Ulama adalah pewaris para Nabi”

Persoalannya apakah yang diwarisi para ulama? Jawabnya sudah pasti ilmu dan perjuangan para Nabi. Soroton sejarah umat Islam memperlihatkan para ulama dan ilmuwan berperanan besar dalam menggerakan transformasi kemanusiaan (taghyir ijtima’e) seperti saranan dalam Surah Al-Jumu’ah ayat 2 yang bermaksud:

“Dia-lah yang mengutuskan kepada kaum alummiyyin seorang rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan mereka kitab dan hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelum itu adalah dalam kesesatan yang nyata”

Petunjuk ayat tersebut jelas bahawa kedatangan para Nabi adalah untuk melakukan siri-siri pembaikan (islah) bagi merubah tatacara hidup manusia daripada kesesatan kepada kebenaran, dan daripada kejahilan kepada kecerdikan.

Pembaikan ini adalah suatu transformasi yang radikal dan bukannya perubahan kecil-kecilan. Jika itulah misi para Rasul, maka sudah pasti itu jugalah misi para ulama.

Dalam sejarah Melayu pula, terserlah peranan besar para ulama dan ilmuwan dalam melakukan revolusi agung sehingga umat serantau ini berubah dari Hinduism dan Buddhism kepada Islam.

Ketika era penjajahan pula, tiada tokoh lain yang beperanan sebesar para ulama dan ilmuwan dalam misi kebangkitan menentang agenda pembaratan dan sekularisasi.

Tokoh-tokoh agama seperti Tok Janggut, Tokku Paloh dan Haji Abdul Rahman Limbong umpamanya begitu berjasa bukan sahaja mempertahankan tanah air, bahkan membentengi jiwa raga umat dari racun pembaratan.

Era Globalisasi Ekonomi
Namun, ketika arus globalisasi menyerap masuk ke tanah umat Islam, peranan pencerdasan dan pencerdikan umat bukan lagi dimainkan oleh para ulama.

Sebaliknya peranan ini diambil alih oleh media massa dan media sosial. Maka televisyen, Facebook, Twitter, blog dan lain-lain sudah menjadi guru utama mendidik umat.

Sekali pandangan, memang benar teknologi maklumat tiada ada salah silap. Persoalannya, siapakah yang sebenarnya berperanan di sebalik penyampaian maklumat dan segala macam input kepada massa?
Ditemui jawapan bahawa realitinya adalah para penguasa dan para pemodal!

Mereka inilah yang sebenarnya mengambil-alih peranan ulama pada hari ini. Justeru, para ulama dan ilmuwan sudah hilang bisa mereka dalam membentuk pemikiran umat secara berkesan.

Sebaliknya minda umat sudah diadunkan dengan simbol kekuasaan dan simbol ekonomi. Inilah juga apa yang dikatakan kesan utama satu dalam fenomena yang disebut post-modernisme.

Media hari ini menjadi pembentuk imej (image maker) sama ada untuk menaikan atau menjatuhkan seseorang dengan sekelip mata.

Malah media sebagai penentu segala-galanya dalam kehidupan manusia moden, hatta sehingga selera peribadi mereka. Media sudah jadi hantu jahat yang merasuk dan merosak seperti mana iblis dan syaitan.
Manusia terus menerus cuba dipengaruhi supaya dapat dikawal setiap aspek kehidupan mereka. Hagemoni mono-budaya (baca: budaya Amerika) yang cuba dibentuk ini akhirnya melahirkan sistem nilai yang sama dan sebentuk.

Manusia berbaju Hard Rock Café, berseluar Jeans, meminum Coca-Cola, memakan McDonalds, bertelefon pintar I-phone, mendengar musik Madonna contohnya boleh sahaja kita dapati di New York mahupun di Pengkalan Hulu. Jelas sekali rasukan globalisasi melalui pancaran hantu media begitu berjaya membentuk selera, fikiran dan budaya manusia termasuk umat Islam di Malaysia

Kelesuan Ulama Moden?
Para ulama kini hanya menjadi tempat rujuk halal dan haram semata-mata, bukan lagi berperanan memberi hikmah di sebalik hukum memakan Big Mac yang sudahpun dilabel halal. Ulama seperti tidak berdaya melihat di sebalik globalisasi itu adanya hagemoni dan dominasi penjajahan baru.

Sebenarnya, agenda globalisasi ini tidak akan berjaya tanpa konsumerisme; iaitu melalui hasutan iklan.
Ke mana sahaja manusia bergerak, kepungan iklan akan sentiasa menghimpit mereka. Iklan di mana sahaja; di kaca televisyen, di pasar raya, di lebuh raya, di majalah malah di masjid surau!

Manusia diracuni untuk membeli itu dan ini yang bukan lagi satu keperluan, tetapi kemahuan. Apalah bandingan satu jam kuliah seorang ustaz dengan kuasa iklan tanpa henti yang bertemakan jaminan kepuasan dan ‘kebahagiaan’ (kononnya).

Maka iklanlah yang sebenarnya mengajarkan as-sa’adah (kebahagiaan) dan bukan lagi para ulama seperti mana karya Imam Ghazali dalam Kimiya-yi Sa’adat (Alchemy of Happiness). Jadilah umat Islam kini ketagihan berbelanja supaya boleh terus memiliki dan memiliki tanpa henti.

Apa yang lebih menyedihkan, ada juga para ilmuwan sendiri yang sudah terhinggap dengan penyakit ini sehingga sanggup mengeluarkan nas-nas agama dalam menjustifikasikan keharusan bermewah-mewah melebihi keperluan (dharuriyat) atas nama hajiyat dan tahsiniyat.

TPPA: Tugas Terkini Buat Para Ulama
Hari ini heboh di negara Malaysia dengan persoalan Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA). Rakyat marhaen seperti tidak sedar akan bahaya yang menanti mereka selepas ini. TPPA ini hanyalah satu jelmaan daripada siri-siri globalisasi ekonomi oleh kuasa Barat.

Barat pernah mengalami zaman gelap sebelum melalui zaman Renaissance dan pencerahan (enlightment). Tamadun mereka memuncak ketika era perindustrian hasil perkembangan ilmu sains dan teknologi moden.

Ekonomi dunia ketika itu berkembang pesat lantas menatijahkan usaha pelayaran, persaingan dan peperangan, pencarian bahan mentah dan tenaga buruh, peluasan pasaran dan lain-lain yang terangkum dalam bentuk penjajahan fizikal.

Proses pemodenan yang panjang terus rancak berlaku sehingga tahun 2015 ini telah menuntut keperluan-keperluan perdagangan yang lebih hebat.

Oleh hal yang demikianlah TPPA ini direncanakan sebagai alat penjajahan baru untuk mencapai maksud yang sama seperti penjajahan satu ketika dahulu; iaitu menggerakan kuasa ekonomi Barat.

Pertembungan antara mono-budaya (mono-culture) dan kepelbagaian (diversity) setempat jelas bertujuan untuk memudahkan proses pembudayaan masyarakat mengikut acuan Barat. Selera manusia diseragamkan supaya industri pembuatan besar-besaran dapat dilakukan.

Mekanisme industrialisasi ini berbentuk; meminimumkan kos dan memaksimakan keuntungan. Instrumen persuasi dan manipulasi telah berjaya menghasilkan satu budaya pengguna global sehingga TPPA itu dilihat sebagai sesuatu yang banyak memberi manfaat (yang bersifat material). Globalisasi ekonomi melalui jalan TPPA hari ini sama sahaja seperti FTA sebelum ini.

Pemain-pemain perdagangan bakal (dan telah) meminggirkan elemen-elemen kelestarian khasnya di negara-negara kecil yang telah diikat kemas melalui perjanjian perdagangan yang licik.

Contoh-contoh kes state-investor dispute settlement (ISDS) seperti di Mexico dan Australia memperlihatkan kepentingan ekonomi sesebuah negara berdaulat akhirnya tergadai.

Ini dek akibat syarikat-syarikat multinasional yang terlalu berkuasa dan bebas berdagang (kerana ada tangan-tangan ghaib di belakang mereka) sehingga kod etika dan moral kelestarian langsung diabaikan.
Dalam konteks Malaysia, halangan-halangan perdagangan (trade barriers) yang cuba dikendurkan dalam TPPA boleh mengancam amalan dan perkara berkaitan Dasar Ekonomi Baru, industri halal, industri kecil sederhana dan sebagainya.

Syarikat multinational antarabangsa bebas menfailkan sebarang aduan ataun tuntutan mereka di tribunal perdagangan (ISDS) sekiranya tidak berpuas-hati dengan apa-apa amalan perdagangan di Malaysia yang bagi mereka berat sebelah, dan lebih malang lagi apabila mahkamah tempatan tiada hak untuk campur tangan.

Klausa bersifat anti-preferential treatment dan ‘anti-diskiminasi’ dalam perdagangan contohnya memungkinkan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera menerima nasib malang yang sama sepertimana program Black Economy Empowerment Plan di Afrika Selatan.

Sama ada Malaysia menandatangani atau tidak, TPPA adalah penjajahan baru melalui globalisasi ekonomi sedang membungkam kita semua.

Adalah sekali lagi menjadi tugas besar para ulama untuk memimpin umat mendepani TPPA yang bakal menyusup ke Malaysia tidak lama lagi, seperti mana para ulama silam yang pernah bangkit menggerakan umat menentang penjajahan berdekad tahun dahulu di Tanah Melayu. – HARAKAHDAILY 9/10/2015

Penulis ialah AJK Pemuda PAS Bayan Baru, Pulau Pinang