Tuduhan takfir senjata warisan musuh Islam

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SYEIKHUL Azhar, Dr. Ali Jumuah yang terkenal menghalalkan darah pejuang rabaah, pernah menggelarkan Ikhwanul Muslimin sebagai jemaah takfiri. Beliau adalah orang harapan kerajaan Mesir zaman Hosni Mubarak dan Abdul Fatah Sisi.

Begitu juga di Syria. Badrudin Hasun, mufti Syria yang mengiyakan setiap pembunuhan kejam Bashar Asad, sejak dahulu lagi beranggapan Ikhwanul Muslimin Syria adalah ekstremis dan takfiri.

Golongan Ahbash yang diasaskan di Lubnan, terkenal dengan penentangan hebatnya terhadap golongan salafi. Walaupun terdapat salafi yang hanya memperbetulkan amalan-amalan songsang dalam masyarakat, mereka terus dituduh Ahbash sebagai golongan takfiri.

PAS sejak awal penubuhannya tidak pernah lekang dari tuduhan yang sama. Sebelum timbul Amanat Haji Hadi lagi, telah banyak tuduhan pemerintah menggunakan agamawannya menuduh PAS takfir. Apabila ditubuhkan kumpulan Ulama Muda Umno, sekali lagi isu PAS-takfiri diulang.

Kini, Presiden Parti Pekerja/PAN pula mewarisi perangai mereka. Mat Sabu yang pernah diangkat sebagai Timbalan Presiden PAS terus sahaja menuduh parti ini takfiri sebaik melangkah keluar dari PAS.
Malangnya tuduhan-tuduhan ini hanya diulang-ulang di media. Pantang wartawan sua mikrofon, laju sahaja mulutnya menuduh PAS takfiri berkali-kali. Tetapi tiada satu pun tindakan undang-undang diambil terhadap PAS. Andai benar PAS tuduh mereka kafir, kenapa sehingga kini hanya berani berkhabar angin sahaja?

PAS boleh dikatakan gerakan Islam paling cermat dalam bab kafir-mengkafir. Di bawah kepimpinan Tuan Guru Presiden, beliau pernah menegur beberapa ulama arab yang menyatakan secara umum bahawa syiah itu kafir. Tanpa menafikan memang ada syiah yng terkeluar dari akidah Islam, bagi Tuan Guru kata-kata sebegitu tidak selari dengan disiplin agama. Sedangkan dalam perutusan Amman 2003, ulama Islam seluruh dunia telah bersidang dan mengiktiraf dua mazhab syiah (Zaidiah dan Imamiyah) adalah termasuk daripada lapan mazhab ahli kiblat.

Tuan Guru selalu mengulang kenyataan Imam Malik, bahawa andai ada 100 bukti kekufuran seseorang, 99 daripadanya sabit manakala hanya 1 sahaja meragukan, orang tersebut tidak boleh dituduh kufur. Tambahan pula dalam keadaan umat Islam sedang dilaga-lagakan oleh barat sekarang ini, amat perlu untuk sarjana Islam untuk lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan. – HARAKAHDAILY 12/10/2015