Zurinah Hassan diumum Sasterawan Negara ke-13

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Penulis dan penyair wanita tanah air Datuk Dr Zurinah Hassan atau lebih dikenali dengan nama pena Haniruz, pada Selasa diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-13.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika mengumumkannya berkata tokoh kelahiran Bakar Bata, Kedah itu dipilih berdasarkan beberapa kriteria antaranya sumbangan terhadap pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta pengiktirafan yang diterima.

Pengurniaan anugerah itu akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian, katanya dalam sidang media di sini.

Penganugerahan itu melayakkan Zurinah menerima wang tunai sebanyak RM60,000, Warkah Penghormatan Negara dan tajaan RM500,000 bagi menerbitkan 50,000 naskhah karya beliau yang akan dibeli oleh kerajaan untuk diedarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Zurinah juga layak menerima kemudahan perubatan percuma wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan untuk mencipta karya sastera, menerbitkan karya serta penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing.

Mula dikenali dengan sajak "Sesayup Jalan" yang dihasilkan pada 1974, Zurinah, 65, mengembangkan bakatnya dengan menulis cerpen, novel dan puisi sehingga terhasilnya kumpulan puisi "Menghadap ke Pelabuhan/Facing the Harbour", 2010 terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Antara kejayaan peribadi beliau dalam dunia sastera adalah menerima Anugerah Puisi Putera 1984, Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 2004 serta Anugerah Puisi Negara-negara ASEAN (Sunthorn Phu Poet Laureate) 2013 serta Hadiah Sastera Perdana sejak 1971 hingga 2003.

Sebelum ini, sasterawan ulung Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenal dengan nama pena Baha Zain dipilih sebagai Sasterawan Negara ke-12. - Bernama