Profesion Kesihatan: Ambil kira emosi mereka juga

WAN HASSAN MOHD RAMLI | .

Firman Allah yang bermaksud;

“Makanlah kamu dan minumlah kamu dan jangan berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang melampaui batas”.

Terima kasih kepada mengizinkan untuk saya bersama dalam membahaskan Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015 yang dicadangkan oleh pihak kerajaan.

Di mana tujuan rang undang-undang ini ialah untuk mengawal selia amalan profesion kesihatan di negara ini untuk membantu meningkatkan perkhidmatan profesion kesihatan yang juga bertujuan melindungi pesakit-pesakit dan juga kesihatan individu dan penduduk. Oleh itu kita melihat kepada asas kesihatan ialah apa yang disebut oleh Allah SWT.

Fitrah manusia memerlukan kepada makanan dan minuman. Punca daripada berlakunya penyakit-penyakit ialah datang daripada perut. Apabila tidak mengikuti cara pemakanan, diet yang betul, maka berlakulah apa yang kita lihat pada hari ini.

Masalah kesihatan rakyat Malaysia bukan sahaja berlaku di kalangan orang-orang dewasa, bahkan kanak-kanak pun sudah menghadapi penyakit kronik dan serius. Oleh sebab berapa ramai kita dapati yang sudah menghidap penyakit buah pinggang, paru-paru berair dan lain-lain penyakit kronik. Tentulah kalau kita melihat kepada corak pemakanan, ia daripada mungkin makanan-makanan segera dan minuman-minuman bergas yang diambil oleh anak-anak ini.

Oleh itu, soal pokok ini saya ingin untuk menarik perhatian kepada perbahasan rang undang-undang ini. Ada tiga pihak yang terlibat secara langsung dalam cadangan rang undang-undang yang akan diluluskan ini. Pertama ialah penubuhan Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu. Itu salah satu daripada organisasi yang akan diwujudkan. Kedua ialah pengamal-pengamal profesion yang disebutkan di dalam fasal yang ada ini, 23 bahagian profesion yang ada.

Ketiga ialah pesakit-pesakit dan juga kesihatan individu dan penduduk. Di mana ketiga-tiga ini adalah disebutkan dalam rang undang-undang ini untuk kita melihat kuasa-kuasa yang akan diberi kepada majlis dan melindungi pengamal undang-undang itu sendiri untuk meningkatkan perkhidmatan mereka dan juga melindungi pesakit-pesakit.

Pesakit-pesakit juga mempunyai hak mereka. Oleh kerana apa yang kita lihat kadang-kadang, pernah berlaku walaupun mungkin kes yang terpencil. Akan tetapi ketika adanya seorang doktor yang telah mengambil gambar secara selfie ketika menyambut kelahiran seorang bayi menyebabkan ia menjadi viral. Walaupun kes terpencil tetapi ia menimbulkan polemik masyarakat. Bagaimana kerahsiaan pesakit yang sepatutnya dijaga telah tidak diberikan perhatian.

Sebab itu kuasa-kuasa yang akan diberi kepada majlis digariskan dalam rang undang-undang yang dicadangkan ini. Akan tetapi di sana kita kena juga lihat walaupun kita mempunyai rang undang-undang tetapi rang undang-undang itu mesti juga mempunyai roh dan semangat.

Dengan tujuan supaya pelaksanaannya benar-benar menjadi suatu rang undang-undang yang berfungsi dan berwibawa.

Soal yang kita lihat kadang-kadang di dalam rang undang-undang yang dibentangkan ini ialah bagaimana jika berlakunya salah laku maka penalti am akan dikenakan kepada pengamal profesion ini, tetapi yang akan mendapat denda penalti itu ialah kerajaan dengan tidak mengambil kira pesakit-pesakit yang kadang-kadang mengalami masalah daripada preskripsi yang salah menyebabkan mereka tidak mendapat apa-apa bahagian.

Oleh sebab itu, saya hendak sebutkan bukan sahaja kita memberi kuasa undang-undang tetapi juga mesti dilihat kepada roh undang-undang itu supaya tidak berlaku apabila ketika penalti dikenakan, mungkin kepada pengamal undang-undang yang melibatkan syarikat-syarikat yang besar, maka mungkin tindakan mereka berdasarkan kepada budi bicara Menteri seperti yang disebutkan dalam rang undang-undang ini, tetapi kalau orang-orang perseorangan yang kecil yang menjadi pengamal profesion ini, mungkin tindakannya yang tegas akan dikenakan.

Oleh sebab itu saya minta supaya apabila kita lihat kepada satu undang-undang, biarlah rang undang-undang yang diluluskan itu menjadi rang undang-undang yang berwibawa dan rang undang-undang yang mempunyai kuasa dengan tidak melihat siapa di hadapan berdasarkan kepada kelulusan yang dinyatakan daripada akta yang dibincangkan pada hari ini.

Kedua, saya juga hendak sebutkan kadang-kadang pengamal-pengamal profesion ini mereka bertugas mengikut apa yang telah diputuskan daripada standard prosedur kerja mereka tetapi emosi mereka mesti juga dijaga dan dipelihara.

Ramai di kalangan pengamal-pengamal profesion ini khususnya di kalangan yang bertugas di pihak kerajaan yang sebahagiannya dipisahkan di antara isteri dan suami mereka, daripada keluarga dan anak-anak mereka. Emosi mesti diambil kira. Jika ada ruang dan peluang untuk mereka bertugas berhampiran, maka hendaklah diletakkan di dalam kawasan yang berhampiran.

Berlaku di Dungun sebagai contoh. Isteri bertugas di Kota Bharu, beberapa kali minta pertukaran tidak dapat, suami di Dungun. Ini menyebabkan timbul satu suasana emosi yang tidak sihat yang kadang-kadang emosi ini juga mesti diambil kira. Oleh sebab itu seorang hakim tidak boleh menghukum ketika marah, ketika lapar dan ketika hendak buang air besar kerana emosi yang akan terlibat dalam melibatkan hukuman yang akan dikenakan.

Oleh sebab itu saya hendak minta supaya Kementerian Kesihatan sendiri melihat pengamal-pengamal profesion di bawahnya yang bertugas supaya kalau boleh tidak dijauhkan hubungan di antara mereka dengan keluarga mereka.

Ketiga, yang melibatkan pesakit iaitu supaya diberikan juga satu ruang jika mana mereka menghadapi kesulitan daripada kesilapan, nasihat yang diberikan oleh pengamal-pengamal profesion ini, maka kita dapati mereka tidak mempunyai apa-apa hak dalam rang undang-undang ini. Saya cadangkan supaya diberikan juga perhatian kepada pesakit-pesakit ini.

Bagi mereka yang ada tempat untuk mengadu kerana mereka sudah dapat PERKESO umpamanya atau mereka mungkin ada Pencen Ilat umpamanya, itu adalah merupakan yang baik yang boleh terus dilaksanakan. Akan tetapi bagaimana kalau pesakit-pesakit yang tidak mempunyai apa-apa ruang dan peluang untuk mendapatkan bantuan?

Maka saya cadangkan supaya ditubuhkan satu tabung untuk melihat kepada kepentingan pesakit-pesakit ini dan begitu juga satu tabung kepada pesakit kronik juga jika boleh diwujudkan untuk jika berlaku sesuatu, mereka mempunyai tempat untuk mereka membuat pengaduan dan dapat bantuan dan sumbangan.

Itu yang sebenarnya kita lihat profesional-profesional lain pun, contohnya guru di peringkat tadika, tabika, PASTI dan lainlain, memang mesti diberikan tugasan kepada mereka yang memahami hasrat dan emosi anakanak.

Apabila kita berurusan dengan melibatkan hubungan dengan orang lain, emosi ini mesti diambil kira. Mesti dikawal dan dijaga emosi kerana emosi ini akan menentukan sikap ketika mana kita berurusan itu, akan menyebabkan- apatah lagi kita melambangkan satu tugasan profesion yang sangat penting.

Kadang-kadang kita melihat di bidang hadapan institusi kewangan, diberikan kadang-kadang bayaran dua kali sebulan. Satu gaji penuh, kemudian di pertengahan bulan diberikan sekali lagi sebabnya supaya mereka sentiasa dalam suasana ceria dan riang dan boleh berpakaian dengan indah, baik dan bagus untuk melayan tetamu-tetamu yang hadir.

Ini adalah frontliner yang juga bukan sahaja kita melibatkan emosi pesakit tetapi juga bagaimana kadang-kadang pelawat-pelawat yang hadir melihat kedudukan bagaimana apa yang berlaku. Mungkin yang berlaku itu kes yang terpencil, sebenarnya perkhidmatan yang dilakukan oleh pengamal-pengamal profesion perubatan ini adalah sangat baik dan sangat bagus. Akan tetapi mungkin dalam suasana-suasana yang tertentu walau bagaimanapun apa yang didedahkan itu sepatutnya menjadi contoh dan ingatan kepada kita sekalian. Terima kasih Tuan

Yang di-Pertua kerana mengizinkan kerana mengizinkan saya untuk mengambil bahagian dalam
perbahasan Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015. – HARAKAHDAILY 21/10/2015

Petikan daripada perbahasan Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015 oleh Ahli Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli di Dewan Rakyat pada 20 Oktober 2015