Terengganu tuan rumah Hari Tandas Sedunia!

AHMAD AMZAD HASHIM | .

SAYA terima positif Terengganu dijadikan tuan rumah peringkat kebangsaan bagi Hari Tandas Sedunia tahun ini yang akan berlangsung bulan depan di Pantai Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Saya harap ia akan mencelikkan pihak pengurusan kemudahan awam seperti tandas dan juga seluruh rakyat Terengganu tentang tanda aras tahap kebersihan tandas yang sudah dicapai di tempat orang dan menyedarkan kita betapa ketinggalannya kita dalam aspek ini di negeri ini yang antara paling mewah belanjawan tahunannya.

Bandingkan saja tahap kebersihan tandas awam di pasar pasar, stesen bas, restoran, masjid dan surau, stadium, taman taman rekreasi awam dan lain lain lagi.

Bagi yang biasa ke luar negara, negara maju, budaya kebersihan adalah cara hidup rakyatnya yg diasuh sejak kecil lagi di rumah.

Tabiat di rumah membentuk perlakuan di tempat awam. Ditambah dengan kerangka peraturan dan undang undang dan teknologi moden ia semakin disempurnakan.

Kita di Terengganu masih jauh lagi tahap kebersihan kita. Kadang-kadang apabila perut memulas, kita lebih rela tahan sakit untuk pulang ke rumah buang air di tandas rumah sendiri kerana tidak selesa dan tidak yakin dengan tahap kebersihan tandas awam yang masih jauh daripada memuaskan.

Mata jijik melihat. Hidung tidak tahan dengan bau yang memualkan. Sistem curahan selalu rosak. Tiada penyangkut pakaian.

Tidak dinafikan ada juga yang bagus. Tetapi cuma segelintir yang boleh dipuji.

Oleh itu semoga ada perubahan setelah Terengganu jadi tuan rumah hari tandas sedunia ini.

Lebih-lebih lagi Islam menganjurkan kebersihan sehingga dianggap sebahagian tanda orang beriman.

Dalam pada itu, saya tertarik juga seloroh dalam kalangan rakyat berhubung Hari Tandas Sedunia di Terengganu ini kerana sindirannya yang tajam ekoran terlalu banyak kepincangan pengurusan wang rakyat dalam jumlah yang besar sehingga merugikan rakyat dan negeri.

Mereka berkata, sekalipun Terengganu tuan rumah 'Hari Tandas Se Dunia', tidak bermakna rakyat Terengganu sekali lagi rela 'Di kencing' (diperdaya) berkali-kali seperti salah guna wang royalti petroleum, perwaja, pulau bebas cukai, kompleks tekstil kijal, LPT2, 1 MDB, pelaburan saham FGV dan pelbagai lagi.

Hanya beberapa juta daripada wang yang banyak dirugikan itu jika diperuntukkan kepada program khas meningkatkan kualiti kebersihan tempat awam boleh memberi impak berpanjangan.

Lantiklah kontraktor yang berwibawa. Tetapkan tahap piawai macamana. Jika tidak capai, berikan kepada boleh capai sasaran. Tambah peruntukan jika perlu. Supaya peralatan dan bahan kimia cucian yang digunakan berkualiti. Lantik juruperunding, jadikan program beragenda pun tak apa. Takkanlah sampai telan puluhan juta ringgit.

Umno hulur wang, rakyat tetap akan ambil kerana rakyat sedang susah kerana keadaan ekonomi oleh kesalahan mengurus wang rakyat oleh kepimpinan Umno juga. Lagipun itu wang milik rakyat. Bukan wang Umno.

Tapi kali ini rakyat tidak akan undi Umno lagi.

Rakyat bukan 'tandas' untuk Umno kencing berkali-kali. – HARAKAHDAILY 22/10/2015