KWSP-I : Beberapa isu perlu diberi perhatian

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

DPPM menyokong penuh penubuhan KWSP Islamik (KWSP-I) seperti yang diluluskan di dalam RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat hari ini. Penubuhan ini akan menyaksikan KWSP-I sebagai sebuah tabung simpanan persaraan terbesar di dunia yang mempunyai operasi patuh syariah.

Berdasarkan artikel yang diterbitkan World Bank bertarikh 31 Mac 2015, 'Islamic Finance' atau Kewangan Islam telah berkembang 10 sehingga 12 peratus setiap tahun manakala aset kewangan yang patuh syariah pula mencecah jumlah USD 2 trilion seluruh dunia.

Perkembangan positif ini menunjukkan sokongan dan penerimaan masyarakat dunia terutamanya dalam menceburkan instrumen kewangan ke dalam industri kewangan Islam. Sistem kewangan Islam bukan sahaja diterima dan berkembang di negara-negara umat Islam malah ia juga berkembang di negara-negara bukan islam seperti di UK, Luxembourg, Afrika Selatan dan Hong Kong.

Walaubagaimanapun, DPPM menggesa kerajaan meneliti beberapa perkara supaya aspek pengurusan KWSP-I berada pada landasan syariah yang jitu. Antaranya adalah;

i) Pembentukan jawatankuasa penasihat syariah bukan hanya sebagai penasihat kepada aspek pelaburan semata-mata, malah ia juga seharusnya bertindak mengawal pelaburan yang terdapat campur tangan politik disebabkan masalah korupsi dan penyalahgunaan tabung kepentingan awam. Sistem kewangan Islam tidak hanya merangkumi aspek penghapusan sistem riba atau 'interest' tetapi ia juga sangat berkait rapat kepada faktor moral dan nilai.

ii) Gesaan kerajaan agar mempertimbangkan cadangan bagi mewajibkan setiap pencarum yang beragama Islam untuk mencarum di KWSP-I. Ini adalah tanggungjawab utama kerajaan bagi memastikan rakyat terutamanya yang beragama Islam bersih dari segala perkara-perkara yang tidak diizinkan agama.

iii) Kerajaan juga digesa mempertimbangkan pembayaran zakat perniagaan sepertimana yang telah difatwakan. Ini sudah pasti menjadi tanggungjawab kerajaan memandangkan kerajaan berkuasa menguruskan pelaburan wang simpanan persaraan tersebut.

Semoga dengan penubuhan KWSP-I ini akan mengukuhkan industri kewangan Islam bukan sahaja diperingkat domestik malah turut berkembang di peringkat global. – HARAKAHDAILY 22/10/2015