TPPA: Bukti kerakusan DAP menguasai Malaysia

MAZLI NOOR | .

TRANS-Pasifik Partnership Agreement (TPPA) merupakan suatu perjanjian yang telah menimbulkan kontroversi terutamanya di negara-negara perunding dan tidak terkecuali Malaysia.

Meskipun Malaysia telah mempunyai perjanjian perdagangan bebas atau 'Free Trade Agreement' (FTA) dengan 7 daripada 11 negara anggota TPPA,namun ia tidak pernah menghalang sikap haloba kerajaan terhadap keuntungan yang tidak pasti dari TPPA.

Isu utama yang menjadi pertikaian sudah pasti kepada aspek kedaulatan, pembinaan negara dan ruang penentuan polisi (policy space) negara yang semakin menyempit.

Di sebalik kelantangan pertubuhan-pertubuhan berteraskan Melayu menentang TPPA, DAP bersikap sebaliknya tidak seperti kebiasaan dengan sikap keras dan lantangnya mereka bersuara menentang penyelewengan 1MDB. DAP kelihatannya tidak begitu serius terhadap aspek-aspek asas yang menjadi pertikaian terhadap TPPA terutamanya melibatkan hak bumiputra.

Ini kerana DAP sudah pasti memikirkan apabila mereka berjaya memegang tampuk pemerintahan Malaysia kelak, TPPA akan menjadi 'milestone' kepada DAP untuk menjaga kepentingan mereka dengan Singapura seterusnya menguatkan cengkaman mereka di Pulau Pinang. Ia berasaskan kepada isu perkauman yang sering dimainkan DAP di ruang-ruang media.

'Grand design' ini sudah semakin menampakkan agenda di belakang tabir DAP yang mahu memerintah Malaysia mengikut kehendak dan selera mereka. Perpecahan dalam PAS dan PKR merupakan langkah awal memecahkan kelompok Islam dan Melayu dan seterusnya memastikan jalan menguasai Malaysia bertambah mudah. Keadaan Umno yang lemah juga turut menjadi faktor yang akan memudahkan rancangan mereka untuk menguasai Malaysia.

Umno perlu sedar, TPPA bukan hanya akan membebankan rakyat dan negara tetapi ia akan menjadi laluan DAP untuk menguasai Malaysia.

Begitu juga isu pemanjangan tempoh paten dalam ubatan, DAP kelihatannya tidak cenderung membantah sebaliknya mempertikaikan sikap flip-flop kerajaan Malaysia yang tidak menyetujui perkara tersebut. Perlu difahami bahawa pemanjangan tempoh paten akan meningkatkan harga perubatan dan memberi bebanan kepada rakyat miskin.

Tambahan pula, TPPA hanya akan menguntungkan syarikat korporat tetapi tidak kepada peniaga-peniaga kecil yang terpaksa berhadapan dengan syarikat-syarikat besar yang datang dengan modal pelaburan yang tinggi disamping teknologi yang tiada tandingnya.

Kerajaan pula bakal berhadapan dengan ISDS, suatu aspek kritikal yang terdapat dalam TPPA. Ia mendedahkan kerajaan kepada tindakan undang-undang antarabangsa jika dirasakan tiada layanan setimpal diberikan kerajaan terhadap pelabur luar.

Lebih dahsyat lagi, ISDS ini terdapat hampir di setiap tajuk perjanjian, tidak seperti 74 'Bilateral Investment Treaties' (BITs) kerajaan Malaysia yang ada pada hari ini.

Sewajarnya masyarakat Malaysia tidak mengira latar belakang bersatu menentang TPPA, bukannya bersikap 'Double Standard' disebabkan kepentingan politik peribadi. Sikap 'Double Standard' DAP yang menyokong TPPA juga seharusnya ditentang. Mereka hanya ingin mempertahankan kelangsungan tauke korporat Cina di samping menjaga kepentingan mereka dengan Singapura dan Pulau Pinang.

Sikap DAP ini wajar disedari oleh orang-orang Cina sendiri terutama kalangan peniaga peringkat pertengahan dan kecil. Mereka yang berniaga di peringkat pertengahan dan kecil akan kehilangan perniagaan dan pendapatan sekiranya TPPA ini menjadi kenyataan.

Oleh hal yang demikian, PRU14 adalah medan terbaik untuk menyekat kebodohan BN dan kerakusan DAP dalam isu TPPA ini. Masyarakat Melayu jangan lagi memberi undi mereka kepada Umno dan BN manakala masyarakat Cina pula jangan beri undi mereka kepada DAP dan Pakatan Harapan yang turut terdiri daripada PKR dan AMANAH. – HARAKAHDAILY 2/11/2015

Penulis ialah Timbalan Presiden, Ikatan Ilmuan Nasional