Kenapa kita mahu Adun Kelantan papa kedana?

HUZIR SULAIMAN | .

MUNGKIN gaji RM4,600 ini yang kita mahu kepada Adun kita di Kelantan. Dengan gaji sebanyak itu, MB dan Exco tawarkan diri pula untuk ditolak 20% dari gaji mereka untuk dikembalikan kepada Rakyat.

Bakinya digunakan pula untuk menampung kos Pusat Khidmat Dun serta program Rakyat yang lain di sekitar RM15,000 sebulan. Kerana tidak cukup duit, mereka terpaksa minta derma dari kawan-kawan dan ada sebahagiannya terpaksa berniaga. Ketika musibah banjir melanda Kelantan tahun yang lalu, MB dan Exco-excolah yang menyerahkan 1 bulan gaji mereka untuk kegunaan mangsa banjir.

Dengan semua keringat dan pengorbanan itu, kita maki dan caci mereka. Tuduh jahat dan zalim. Tidak berhati perut dan sebagainya atas dua alasan yang kononnya munasabah untuk ditolak kenaikan gaji itu, iaitu rumah mangsa banjir dan tunggakan caruman YIK.

Tahukah anda, Kerajaan Kelantan sudah berjaya membina 76.3% dari sasaran 600 buah rumah jika dibandingkan Kerajaan Pusat di sekitar 39.9% sahaja dari sasaran yang dijanjikan. Walaupun berlaku kelewatan dari Kerajaan Pusat dalam menyiapkan rumah mangsa banjir itu, tiada kedengaran pula sumpah seranah menentang kenaikan 40% gaji Ahli Parlimen sehingga RM16,000 pada bulan April yang lalu.

Yang kita tentang adalah kenaikan gaji Adun Kelantan dari RM4,600 ke RM8,000?, separuh dari gaji yang diperoleh Ahli Parlimen walaupun salah seorang dari Ahli Parlimen itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri di Kelantan.

Kali terakhir pindaan gaji adalah pada tahun 2010 manakala sebelumnya adalah pada tahun 2004. Dari RM3,600 ke RM4,600 sahaja.

Sebelum didedahkan masalah urus tadbir tunggakan caruman YIK oleh Datuk Husam, pihak pengurusan YIK telah pun memenangi kes tuntutan RM10 Juta di Mahkamah. Inilah bukti kesungguhan pihak pengurusan YIK untuk menjelaskan tunggakan dari kutipan RM10 Juta itu pada kakitangannya walaupun tanpa campurtangan Datuk Husam sekalipun.

Pelik juga kenapa kali ini Datuk Husam tidak menyokong kenaikan gaji Adun itu walaupun beliaulah yang menyokong kenaikan gaji Adun ketika pindaan sebelumnya (2010). Malah ada pihak yang kata, beliau jugalah yang mencadangkan kenaikan gaji Adun di Kelantan ketika itu.  

Mungkin kita suka agaknya melihat wakil Rakyat Islam kita di Kelantan papa kedana. Naik basikal buruk dan berpakaian compang-camping khususnya wakil Rakyat PAS sebab itulah kononnya jalan zuhud para pejuang Islam yang wajib dipilih kesemua wakil Rakyatnya.

Apabila gagal membantu Rakyat kerana kekangan kewangan, disumpah seranah pula sekali lagi kerana dituduh mengabaikan kebajikan Rakyat.

Kenaikan yang berpatutan pun tidak boleh, gagal bantu Rakyat kerana kekangan kewangan pun tidak boleh. Jadi apa yang boleh buat Adun di Kelantan? Patutlah para Adun PAS serba salah dengan kenaikan itu walaupun Adun BN mahukan yang tinggi lagi.

Mungkin bukan kerana sayangkan Rakyat kita tidak mahu kenaikan gaji kepada Adun di Kelantan itu. Mungkin yang kita mahu adalah kegagalan mereka khususnya dari kalangan wakil Rakyat PAS untuk membantu Rakyat akibat kekangan kewangan itu. Dengan cara itu, kita berharap Kelantan, selepas 25 tahun ditadbir PAS akhirnya dapat ditawan musuh politiknya dalam pilihan raya yang akan datang.

Adakah kerana sebab-sebab ini kita mahu Adun kita di Kelantan khususnya dari kalangan wakil Rakyat PAS terus miskin papa kedana? Walaupun gaji yang dinaikkan itu untuk Rakyat juga akhirnya. Sama-samalah kita fikirkan. – HARAKAHDAILY 9/11/2015