DAP: Demokratik yang tidak demokratik

IRFAN ES | .

PADA Jun 2013, Partai Keadilan Sejahtera (PKS) mengundi menolak usul kenaikan harga bahan api di Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia. Walaupun PKS merupakan sebahagian dari gabungan parti yang membentuk kerajaan Indonesia – parti lain ialah Partai Demokrat, PPP, PKB dan PAN (Partai Amanat Nasional, bukan Parti Amanah Negara) – mereka tetap membantah rancangan penarikan subsidi tersebut kerana ia dianggap membebankan rakyat.

Seperti yang dijangka, keputusan PKS itu menerima cemuhan hebat daripada rakan-rakan sepakatan. Bahkan ada yang menyuruhnya segera keluar dari gabungan pendukung kerajaan. Tiga menteri kabinet daripada PKS pula didesak supaya meletak jawatan.

Fungsi parlimen

Parlimen dan Dewan Undangan Negeri merupakan satu cabang kerajaan yang dipilih rakyat, berfungsi untuk menyuarakan kepentingan rakyat di kawasan yang diwakili, menggubal undang-undang-undang serta memantau urus tadbir pihak eksekutif (Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri).

Sepatutnya setiap wakil rakyat mempunyai hak untuk meluahkan pandangan masing-masing demi kebaikan orang ramai yang diwakilinya.

Namun dalam politik Malaysia, yang biasa kita saksikan ialah wakil rakyat mengundi mengikut ketua masing-masing. Meskipun dalam keadaan tertentu bersatu hati sebulat suara dalam sesuatu isu merupakan suatu yang baik, tetapi dalam beberapa situasi lain, ia menyekat kebebasan dan kreativiti wakil rakyat bagi mengutarakan buah fikiran mereka secara telus.

Lebih menyedihkan, wakil rakyat yang mengemukakan pendapat bertentangan dengan ketua/sekutu mereka sering pula dilabel dengan bermacam gelaran malah dituduh mahu bersatu padu dengan parti lawan.

Bajet 2016

Apabila PAS membuat keputusan untuk berkecuali dalam usul Bajet 2016 baru-baru ini, PAS dilemparkan dengan pelbagai cercaan dari setiap penjuru. Ia dituduh mahu bergabung dengan Umno/BN – tuduhan yang diulang-ulang sejak 2008 tapi sampai kini tidak pernah terjadi.

PAS memiliki pendirian tersendiri dalam hal ini, iaitu Belanjawan 2016 ada baik dan ada buruknya. Yang baik perlu diteruskan sementara yang buruk perlu dibaiki.

PAS mengambil iktibar dari peristiwa government shutdown di Amerika Syarikat selepas perbahasan belanjawan 2014 negara tersebut di Kongres menemui jalan buntu. Akibatnya, dari 1 sehingga 16 Oktober 2013, 800 ribu kakitangan awam Amerika Syarikat dihentikan kerja buat sementara, manakala 1.3 juta lagi diarah bekerja tanpa jaminan bila gaji akan dibayar.

Walaupun telah mengambil pendirian rasmi sebegini, PAS tidak pula menghukum tiga ahli parlimennya yang memilih untuk mengundi menolak Bajet 2016. Pandangan mereka tetap dihormati.

Isu tambak laut Pulau Pinang

Di Sidang DUN Pulau Pinang pada 20 November 2015, ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad daripada BN membangkitkan isu tebus guna tanah seluas 2,600 hektar berhampiran muara Sungai Pinang. Ia mengakibatkan hidupan laut terancam dan menjejaskan kehidupan 500 nelayan di kawasan itu. Beliau mencadangkan supaya semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan hendaklah tertakluk kepada perdebatan umum.

Usul beliau telah disokong oleh seorang ADUN DAP, Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah), sementara 5 ADUN PKR memilih untuk berkecuali. Mereka ialah Ong Chin Wen (PKR-Bukit Tengah), Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti), Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk), Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga) dan Dr T. Jayabalan (PKR-Batu Uban).

Reaksi yang diberikan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng ialah, Adun PKR itu bersama Umno.

Ini merupakan satu komen yang kurang matang dalam konteks demokrasi, yang menitikberatkan kemaslahatan rakyat sebagai tumpuan utama, bukan hanya sekadar pak angguk kepada ketua/abang besar pakatan masing-masing.

Reaksi Lim Guan Eng itu kemudiannya ditegur oleh Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, sambil menyifatkan tuduhan bahawa PKR memihak kepada Umno sebagai tidak wajar.

Sebenarnya isu serupa sudah pun dibangkitkan awal November ini oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), yang meminta penjelasan kerajaan negeri berhubung aktiviti penambakan laut di Permatang Damar Laut yang dibimbangi menjejaskan alam sekitar dan kehidupan 300 nelayan pantai yang bergantung pada sumber laut di situ.

Memanfaatkan demokrasi untuk rakyat

Pilihanraya Umum 13 telah lama berlalu, manakala Pilihanraya Umum 14 masih jauh. Sebaiknya ruang yang ada ini dimanfaatkan semaksima mungkin oleh para pemimpin untuk memakmurkan rakyat marhaen.

Berlebih-lebihan dalam bermain politik sebenarnya amat merugikan kita semua. Bayangkan perasaan rakyat Selangor ketika melihat kumpulan politikus tertentu yang tidak habis-habis mahu menyingkirkan PAS dari kerajaan negeri Selangor. Bukankah lebih baik masa yang terluang digunakan untuk bekerja memajukan negeri dan menyenangkan rakyat?

Bayangkan perasaan rakyat Kelantan apabila menyaksikan  golongan opportunis tertentu mengumumkan mahu menjatuhkan kerajaan Islam Kelantan – satu misi yang turut dimiliki oleh Umno sejak tahun 1990 lagi.

Cukup-cukuplah main politik. Marilah bekerja untuk rakyat. – HARAKAHDAILY 24/11/2015