Bahasa Jerman membina tamadun Jerman

PROFESOR ABDULLAH HASSAN | .

KITA sering bercerita tentang cara negara Jepun, Korea, Taiwan dan China membangun menggunakan bahasa sendiri. Namun sebenarnya, terlebih awal, ituah yang dilakukan oleh negara-negara Barat yang menjadi moden.

Pada abad ke-17 negara-negara Perancis, Itali dan Inggeris telah mula menjadi negara maju apabila industrinya berkembang. Tetapi, negara Jerman masih mundur. Pemimpin-pemimpin Jerman hairan kenapa ini boleh berlaku. Pada hal ilmuwan Jerman ramai.

Orang-orang Jerman rajin bekerja. Di samping itu pula, negara Jerman mempunyai lebih banyak sumber alam berbanding dengan negara-negara lain. Malah, Jerman menggunakan bahasa Perancis dan Latin sebagai bahasa pengantar sekolah dan universiti.

Bahasa Perancis dan Latin adalah bahasa ilmu ketika itu. Bahasa Perancis juga menjadi bahasa perdagangan dan komunikasi antara bangsa. Oleh sebab itu apakah yang tidak kena pada negara Jerman.

Perjuangan Leibniz

Gottfried Wilhelm Leibniz (1646-1716), seorang sarjana matematik dan falsafah Jerman mencuba mencari jawapannya. Bahkan dia sendiri terdidik dalam bahasa Latin dan Perancis.

Tetapi, dia sendiri tidak berupaya memandaikan bangsanya yang berbahasa Jerman. Leibniz menyedari bahawa ini timbul daripada amalan Jerman menggunakan bahasa Perancis dan Latin mengajarkan ilmu pengetahuan di sekolah dan universiti, dan bahasa Perancis dalam komunikasi perdagangan dan di kalangan atasan.

Bahasa Jerman dianggap rendah dan tidak mampu mengungkapkan ilmu dan tidak layak digunakan sebagai bahasa perdagangan. Ini menyebabkan wujud situasi di mana golongan atasan dan intelektual berbahasa Perancis dan Latin, manakala rakyatnya berbahasa Jerman.

Leibniz menyedari bahawa bahasa Perancis dan Latin yang digunakan menjadi tembok pemisah antara dua golongan rakyat Jerman. Golongan atasan dan intelektual menggunakan bahasa Perancis dan Latin, dan ilmu pengetahuan dalam segala bidang ditulis dan disebarkan melalui bahasa Perancis dan Latin saja.

Rakyat biasa yang hanya memahami bahasa Jerman tidak memahaminya. Antara ilmu dan rakyat wujud tembok bahasa.

Leibniz juga menyedari bahawa, apabila bahasa sendiri diketepikan dan bahasa asing didewakan, rakyat akan kehilangan kepercayaan kepada diri sendiri dan pemikirannya pun terjejas. Dan bangsa yang tidak percaya kepada diri sendiri tidak akan maju.

Leibniz mengatakan bangsa Jerman hilang kepercayaan kepada bahasa Jerman. Mereka sibuk mengatakan hanya bahasa Perancis itulah yang mengandungi ilmu, bahasa antarabangsa, bahasa yang boleh membawa kemajuan.

Akibatnya mereka mengabaikan bahasanya sendiri. Dalam pada itupun, Leibniz melihat bahawa orang Perancis sendiri tidak menerima mereka sebagai nukleus kepada masyarakat Perancis itu.

Tentangan Golongan Atasan Jerman

Tetapi, golongan atasan dan golongan intelek Jerman menganggap bahawa bahasa Jerman itu adalah bahasa kampung. Pada mereka bahasa Perancis adalah segala-galanya.

Bahasa Perancis itu bahasa dunia, bahasa intelektual, bahasa diplomat, bahasa perniagaan, bahasa kesusasteraan dan kebudayaan, sedangkan bahasa Jerman adalah bahasa yang rendah, tidak dikenal orang luar, tidak intelektual dan tidak dapat digunakan untuk bersaing dengan dunia luar.

Mereka tidak percaya bahawa bahasa Jerman mampu menjadi bahasa ilmu dan bahasa komunikasi perdagangan dan pentadbiran menggantikan bahasa Perancis.

Para intelektual Jerman mengatakan bahawa perpustakaan hanya berisi buku-buku dan jurnal-jurnal dalam bahasa Perancis dan Latin. Bahasa Jerman tidak mempunyai istilah-istilah yang cukup dan tatabahasanya pun tidak ada.

Oleh sebab itulah maka, pemikiran orang yang menuturkannya cetek. Jerman akan hanya dapat maju dan mampu bersaing dengan negara-negara dan bangsa-bangsa lain melalui bahasa Perancis.

Orang Jerman harus mampu hadir dan membentangkan kertas kerja dalam bahasa Perancis dalam seminar-seminar antarabangsa. Pelajar-pelajar Jerman tidak akan diterima melanjutkan pelajaran di universiti-universiti di Paris dan negara maju lainnya kalau mereka menggunakan bahasa Perancis.

Pada masa ini, 300 tahun selepas para intelektual Jerman menyatakan kesangsiannya terhadap bahasa Jerman, kita akan masih terdengar kesangsian yang sama dilemparkan terhadap bahasa Melayu oleh sesetengah golongan atasan dan intelektual Malaysia.

Kita mendengar ungkapan, segala ilmu dan maklumat ada dalam buku dan jurnal bahasa Inggeris. Kita bimbang pelajar kita tidak dapat bertutur dalam bahasa Inggeris, sarjana kita tidak dapat membentangkan kertas kerja di dalam seminar antarabangsa, pelajar tidak dapat masuk ke universiti bahasa Inggeris, Kita boleh belajar daripada pengalaman Jerman.

Secara tersirat pula, sebenarnya mereka bimbang akan hilang segala kemudahan dan kemewahan yang dinikmati oleh mereka seperti gaji besar, hidup mewah kalangan golongan atasan dan intelektual jika bahasa Jerman ditingkatkan dan digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti. Ini akan berlaku apabila rakyat jelata mendapat pendidikan dan mampu maju. Kedudukan mereka akan tercabar.

Strategi Leibniz

Oleh sebab itu, Leibniz menggunakan strategi sendiri untuk meyakinkan mereka supaya menerima bahasa Jerman. Leibniz terus mengkaji kedudukan dan peranan bahasa-bahasa nasional di beberapa negara, termasuk Cina, dan membandingkannya dengan kedudukan dan peranan bahasa Jerman.

Dia mendapati kemajuan ekonomi dan ilmu pengetahuan negara Cina berkembang pesat dengan menggunakan bahasa dan tulisan sendiri. Dia melihat Perancis dan Itali menjadi negara maju kerana kedua-dua negara itu telah meninggalkan bahasa Latin dan Yunani dan menggunakan bahasa peribumi sendiri. Bangsa Inggeris juga telah mula memajukan dan menggunakan bahasa Inggeris di sekolah dan universiti menggantikan bahasa Perancis.

Dia berusaha lagi meyakinkan golongan atasan dan intelek bahawa dengan mengatakan apabila mereka menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar pendidikan dan pentadbiran negara, maka mereka akan semakin beruntung.

Hal ini adalah kerana lebih ramai rakyat yang mendapat pendidikan, maka lebih berilmulah bangsa Jerman itu, dan lebih majulah negara mereka, dan lebih makmurlah kehidupan mereka semua. Oleh sebab itu, Leibniz mengusulkan kepada kerajaan Jerman supaya:
1. membakukan bahasa Jerman dengan menyusun tatabahasa dan istilahnya,
2. menyebarkan bahasa Jerman kepada seluruh rakyat Jerman,
3. menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti,
4. menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pentadbiran negara,
5. menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa perniagaan, dan
6. menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa komunikasi umum dalam semua bidang dan peringkat.

Perjuangannya disokong oleh orang-orang Jerman yang percaya kepada perjuangannya. Pada sekitar 1750-an terbitlah sebuah tatabahasa Jerman ditulis oleh Johan Christoph Gottsched, dengan judul Dasar-Dasar Tatabahasa Bahasa Jerman.

Sambutan rakyat dan golongan intelektual terhadap buku tatabahasa ini luar biasa. Gottsched mengatakan bahawa sambutan hangat rakyat Jerman terhadap tatabahasa itu menunjukkan patriotisme rakyat Jerman terhadap bahasanya.

Tatabahasa Jerman ini membuktikan kepada semua bahawa bahasa Jerman adalah bahasa yang teratur yang sama mampu dengan bahasa-bahasa mana pun di Eropah.

Bermula dari tarikh itu bahasa Jerman terus membangun dan digunakan dalam bidang-bidang yang diusulkan oleh Leibniz. Itulah saat yang merupakan permulaan kebangkitan Jerman sebagai salah satu negara maju di dunia.

Leibniz meninggal pada tahun 1716 dan tidak menyaksikan hasil perjuangannya. Tetapi wawasannya telah memupuk jalan yang meletakkan bahasa Jerman sebagai bahasa utama yang memainkan peranannya sebagai bahasa pendidikan, pentadbiran dan perhubungan dalam semua bidang termasuk perniagaan, dalam kalangan rakyat Jerman.

Kita dapat belajar daripada peristiwa ini, perjuangan seorang tokoh pun boleh membawa perubahan kepada negara. – HARAKAHDAILY 24/11/2015