Adakah PAN cuba menghalalkan pengkhianatan?

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SETELAH berbulan isu pengkhianatan YB-YB lompat parti tidak dapat dijawab oleh mereka, hari ini mereka timbul sekali lagi.

Ingatkan diam itu tanda akur akan kesalahan diri, rupanya dalam diam itu mereka ligat mencari akalan untuk menghalalkan pengkhianatan rakan-rakan sekapal. Walaupun tempoh loading itu agak lama bagi manusia normal, mereka tetap tidak berputus asa.

Bukan hujah syarak atau hujah ilmiah, tapi hujah sejarah yang cuba diputarbelit. Dulu semasa mati akal, mereka alih isu dengan menyatakan PAS khianat, ta'lik talak itu bidaah, baiah itu bidaah.

Berbagai-bagai tokoh agama cuba dirujuk membesar-besarkan ruang khilaf sedangkan yang jelas khianat cuba disembunyikan. Setelah gagal menjawab dengan baik, mereka mendiamkan diri dan beralih kepada isu-isu yang lain pula.

Akalan terbaru yang mereka dapat setelah berbulan memerah otak, adalah membandingkan PAS sewaktu disingkir dari BN. Wakil rakyat PAS masa itu tidak meletakkan jawatan sebaliknya meneruskan jawatan sehingga tiba pilihan raya seterusnya.

Maka tindakan mereka ini difatwakan halal berdasarkan tindakan nenek moyang terdahulu; hujah yang sama digunakan quraisy menghalalkan berhala untuk disembah.

Sebelum menyamakan hukum dulu dan sekarang, terlebih dahulu kena samakan situasi dulu dan sekarang. Ilmu-ilmu yang patut dipelajari mereka adalah bab Qiyas dan syarat-syaratnya. Bukan semua benda boleh Qiyas semberono. Sekiranya situasi lama berbeza dengan yang baru, maka Qiyas yang salah itu dinamakan Qiyas Maal Fariq.

Memang berbeza! Dulu, PAS yang ditendang dari BN, bukan kerelaan kita. Kini, YB-YB itu sendiri keluar daripada PAS. Walaupun ada usaha memujuk dilakukan, rajuk mereka yang kalah pemilihan lebih kuat daripada simpati mereka terhadap pengundi. Tiada siapa membuang mereka dari PAS. Mereka hanya tidak dipilih sebagai pemimpin pusat. Adakah mereka fikir berada dalam PAS sekadar mahu jadi pimpinan Pusat?

Beza lagi, BN adalah sebuah pakatan sepertimana PR, BA , PH, APU dan perikatan dahulu, bukan sebuah parti. Penyertaan PAS dalam BN dahulu masih sebagai sebuah parti. Tersingkirnya PAS dari komponen BN tidak sama dengan tindakan keluar mereka dari sebuah parti.

Cukuplah dua perbezaan ini sebagai jawapan. Saya pasti banyak lagi titik perbezaan yang boleh diteliti untuk menafikan qiyas antara dua situasi ini.

Apapun alasannya selepas ini, Qiyas hanya sah dilakukan terhadap nas al-Quran atau hadis, sedangkan yang mereka qiyaskan itu adalah tindakan politik orang lama yang bersifat ijtihadi, bukan sumber asal hukum. Maka ia tidak berkredibiliti untuk menghalalkan kembali dosa pengkhianatan tersebut. – HARAKAHDAILY 25/11/2015