Tunjukkan duit, pemimpin Umno jual segalanya

DATUK MOHD ARIFF SABRI ABDUL AZIZ | .

SAYA menulis artikel ini sebab saya orang Melayu. Semua orang Melayu mesti menilai apa sebenarnya yang dilakukan oleh mana-mana kumpulan yang mendakwa mereka menjuarai kepentingan bangsa. Umno tidak terkecuali.


Semakin hari Umno hilang kepercayaan bangsa Melayu. Semasa 1MDB beli janakuasa swasta dengan harga berbilion Ringgit dahulu, tidak sedikit puak pelampau Melayu menjerit dan melolong bahawa tindakan tersebut ialah hendak meletakkan aset tersebut dalam tangan Melayu. Bahkan kita ada undang-undang yang mengehadkan pegangan ekuiti asing dalam syarikat milik kerajaan pada tahap 49 peratus.

Hari ini apa jadi? Aset tersebut dijual pada syarikat negara Cina. Sekali gus, alasan pembelian janakuasa oleh 1MDB dahulu, hancur lebur. Tunjukkan duit, maka pemimpin Umno jual segalanya. Maruah bangsa hilang sekelip mata. Si tukang jerit dan lolong, senyap sepi membisu seribu bahasa.

Bangsa kita berjuang dan menumpahkan darah mempertahankan martabat dan ketuanan bangsa. Tok Janggut di Kelantan, Dol Said di Negeri Sembilan, Tok Gajah, Bahaman, Mat Kilau dan kumpulan mereka di Pahang, pemimpin-pemimpin Melayu lain mempertaruhkan nyawa untuk menjaga maruah dan nilai bangsa. Pemimpin Umno hari ini buang itu semua.

Nyatalah perjuangan ketuanan bangsa ialah melalui perbuatan dan perlaksanaan bukan dengan slogan dan omongan kosong. Perjuangan ketuanan bangsa didukong oleh usaha menegakkan kebenaran dan keadilan.

Apa Yang Pemimpin Umno Hari Ini Lakukan?

Pemimpin Umno mengajar bangsa Melayu, bahawa mengekalkan kemerdekaan bukan nilai yang penting. Menyelamatkan diri sendiri, mendahulukan kepentingan peribadi adalah nilai baru orang Melayu. Umno mengajar bangsa Melayu, menjadi penegak kebenaran dan keadilan tidak penting.

Apa sudah jadi kepada Umno? Ia tidak lagi mewakili nilai-nilai terbaik bangsa Melayu. Ia parti yang tidak tahu menghargai pemimpin yang benar-benar berjasa. Sebaliknya, ia menjadi pekakas untuk menjaga pemimpin yang buruk.

Saya berharap. Nilai-nilai yang dibawa dan didukung oleh Umno hari ini tidak mewakili nilai bangsa  Melayu keseluruhannya.
• Melayu tidak boleh dipecayai
• Melayu tidak cekap
• Melayu tidak kenang budi orang yang berjasa
• Melayu gadai maruah untuk duit
• Wang, duit dan pangkat mengatasi baik dan buruk, benar dan salah, hitam dan putih.
• Melayu tidak berprinsip.

Mari Kita Lihat Nilai Mengenang Budi

Ini suatu yang saya tidak faham dengan 22,000 ketua cawangan Umno. Adakah jasa Dr Mahathir yang jadi presiden Umno selama 22 tahun, jadi PM selama 22 tahun dan membangunkan minda orang Melayu boleh dilupakan dan diketepikan? Mana dia wira-wira Umno yang dibentuk oleh Dr Mahathir?

Saya tidak fikir Dr Mahathir ada kepentingan apa-apa selain mahu melihat Malaysia diselamatkan daripada kepimpinan yang memusnahkan. Dr Mahathir hanya tidak mahu melihat negara yang dibangunkan selama 22 tahun, dimusnahkan. Selepas Mahathir, Malaysia menjadi teruk.

Ini bukan isiu Dr Mahathir ada stail dia, Najib ada stial dia. isunya, Malaysia mesti diselamatkan. Yang menyebabkan Malaysia mesti diselamatkan ialah kepimpinan Najib yang memusnahkan. Maka Dr Mahathir menyeru Najib diganti.

Pergantian tersebut dilakukan dengan cara yang dibenarkan oleh perlembagaan. Adalah tidak masuk akal untuk menuduh Melayu yang paling berjasa pada bangsa dan negara ini sebagai orang yang mahu menggulingkan kerajaan.

Umno Hari Ini

Umno dikuasai oleh pemimpin yang angkuh. Keangkuhan mereka bukan disebabkan kebolehan serta bakat. Bahkan keangkuhan mereka disebabkan mereka ada kedudukan dan jawatan dan mereka kaya raya. Dan kekayaan mereka bukan sebab mereka peniaga yang handal. Bahkan kekayaan mereka ialah kerana mereka ini kebanyakannya “rent seekers” dan kaki balun duit rakyat.

3.4 juta ahli Umno dikuasai oleh 22,000 ketua cawangan, 191 ketua bahagian dan 48 orang anggota Majlis tertinggi. Jadilah Umno sebuah parti kumpulan 1 peratus, oleh 1 peratus dan untuk 1 peratus. Ketua kumpulan 1 peratus terpilih ini, pada waktu ini ialah Najib Tun Razak.

Siapa kumpulan terpilih 1 peratus ini? Mereka terdiri daripada yang kurang bakat dan kebolehan, yang tidak kerja kuat semasa sekolah dan kolej atau universiti, mereka yang rasuah dan yang menyokong sistem rasuah. Nilai-nilai mereka ini dicerminkan dalam dasar-dasar yang dijalankan.

Maka BR1M jadi Beri Rasuah 1 Malaysia. Kesetiaan boleh dibeli dengan RM1,000 setahun. Harga kesetiaan dan sokongan hanya RM2.74 sehari. Najib hanya perlu mempedulikan kepentingan 191 ketua bahagian dan tidak perlu pun menghiraukan 22,000 ketua cawangan.

Kepada Najib, tunai itu raja. Tunjukkan duit kepadanya, semua beres.

Apabila ditanya mengenai butiran 1MDB di parlimen Menteri Kewangan Kedua memulakan jawapan dengan berkata- objektif kita ialah menyelesaikan tanggungan dan hutang 1MDB bukan?

Benar - tapi isu yang lebih besar adakah kita menjadi penjualan aset untuk mengurangan hutang dan bebanan sebagai alasan menutup salah laku? Salah laku dan penipuanlah yang menyebabkan masaalah 1MDB. Menyelesaikan masaalah dengan wang, tidak kesal salahlaku.

Soalan paling mudah - dari hari pertama kerajaan kata 1MDB bukan syarikat kerajaan. Penglibatan kerajaan hanya modal bermula sebanyak RM1 juta. Jika bukan syarikat kerajaan, mengapa kerajaan hari ini melindungi 1MDB?

Apa yang istimewanya mengenai 1MDB sehingga kerajaan beri surat jaminan kepada 1MDB? Biarkan sahaja 1MDB bangkrap dan bersama-sama kehancurannya, mendedahkan semua yang terlibat dalam skandel 1MDB.

“Clearing debts by seling whatever assets 1MDB has does not excuse and exonerate wrongdoings and wrongdoers.”

Umno bukan Umno dahulu lagi. Ia jaga kepentingan presiden dan penyokong presiden. Tempat mesyuarat MKT Umno seperti yang dinyatakan dalam buku perlembagaan Umno ialah Menara Datuk Onn, PWTC.

Tapi kali ini, ia diadakan di bangunan parlimen. Ini amat menakjubkan dan ia menunjukkan keangkuhan parti Umno. Ia hanya sebuah parti yang mempunyai 3.4 juta ahli, 191 ketua bahagian, 21,800 ketua cawangan dan 48 ahli majlis tertinggi. Melayu Umno hanya 20 peratus dari jumlah bangsa Melayu.

Dalam parti Umno dikuasai oleh kumpulan 1 peratus teratas. Ia sebuah organisai kumpulan 1 peratus, oleh 1 peratus dan untuk 1 peratus. Ertinya, ia jaga kepentingan 1 peratus, dikuasai oleh 1 peratus dan melakukan semua dasar untuk 1 peratus.

Untuk negara, dia bukan jaga kepentingan semua orang. Dasar dan kepentingan Umno ialah dasar kumpulan 20 peratus, oleh 20 peratus dan untuk 20 peratus. Ia tidak sama dengan kepentingan baki 80 peratus bangsa Melayu lain. Malah ahli Umno hanya 17 peratus dari jumlah Melayu seramai 18 juta.

Oleh sebab Umno sudah memulakan precedent, maka parti politk lain agaknya akan juga boleh mengadakan mesyuarat jawatankuasa eksekutif mereka di parlimen. Umno memulakan precedent yang tidak bagus ini. Mereka tidak boleh pusing balik dan kata, hanya Umno sahaja boleh melakukan demikian. Parlimen bukan milik Umno.

Mengenai apa sebab Umno melakukan demikian sebetulnya tidak penting. Sama ada ia untuk mengasingkan penyokong Muhyidin dan Shafie atau kerana mahu menghimpunkan ahli parlimen Umno hampir dengan dewan- tidak penting.

Yang nyata ialah Umno sebuah parti yang berada dalam keadaan yang mencemaskan. Ia jadi cemas, sebab ia sudah hilang keyakinan bangsa Melayu. Ahli-ahli nya sendiri sedang memberontak mahukan presiden disingkir supaya jangan mencederakan masa depan Umno dan seterusnya menghakis kepercayaan bangsa Melayu ke atas Umno.

Nilai Melayu Umno tidak sama dengan nilai bangsa Melayu rupanya.  

Semasa membentang Bajet 2016, Datuk Najib membaca suatu ayat dari al-Quran yang menyebut supaya memberikan amanah kepada mereka yang berhak menerimanya.

Muhammad Rasulullah menyebut bahawa apabila amanah disia-siakan, maka kiamat dan kemusnahan akan tiba. Apabila ditanya, bagaimana amanah disia-siakan, baginda jawab, ia disia-siakan apabila urusan diberi kepada mereka yang bukan ahlinya.

Bangsa Melayu mesti menilai - adakah amanah kepada pemimpin Umno hari ini diberi kepada mereka yang berhak menerimanya? - sakmongkol.blogspot.my/