Peradaban Melayu itu sudah lama

PROF ABDULLAH HASSAN | .

ADAPUN Melayu itu adalah sebuah peradaban besar dan tua. Lebih tua daripada kebanyakan peradaban Barat. Peradaban Melayu itu mempunyai sejarah yang lama dan masih berterusan.

Peradaban Melayu itu mempunyai wilayah geografi yang luas, iaitu sebuah wilayah samudera, iaitu sebuah peradaban maritim. Peradaban Melayu itu adalah satu-satunya peadaban maritim dalam dunia.

Walaupun ada banyak pusat peradaban Melayu dalam sejarahnya yang panjang, pada hakikatnya ia adalah sebuah peradaban yang sama dalam sebuah kesinambungan, dan dialami oleh manusia yang mengongsi himpunan memori yang sama. Peradaban Melayu itu tumbuh dan maju dalam kestabilan politik yang lama dan berterusan, dan dibendung oleh perundangan, dan budaya yang kompleks.

Dalam Seminar Pendidikan Bahasa Melayu di Beijing pada 13 Jun 2010 yang lalu, Profesor Liang Liji (Gambar) dari Universiti Beijing, mengemukakan beberapa “pendapat “ yang menunjukkan bahawa Alam Melayu itu mungkin sudah wujud hampir empat millenium dahulu.

Hasil penyelidikan beliau mengenai perhubungan China dengan Alam Melayu, menunjukkan ada beberapa bukti, sekalipun agak lemah, tetapi menarik, yang dapat menceritakan bahawa ada bukti arkeologi yang menunjukkan bahawa pada zaman Maharaja Yin Shang, pada abad ke-17 hingga 11 sebelum Masihi, mungkin sudah ada perhubungan antara Alam Melayu dengan China.

Ahli arkeologi China menemui catatan huruf purba China diukirkan pada cangkerang kura-kura besar, yang dipercayai berasal daripada Alam Melayu kerana di China tidak pernah ada kura-kura sebesar itu.

Begitu juga, pada makam Maharaja China itu pernah ditemui pula tulang binatang Mo Loi Mo, iaitu tenuk, yang juga berasal dari Alam Melayu. Ini menunjukann bahawa tiga hingga empat millenium lalu, sudah ada benda yang dibawa ke China dari Alam Melayu, wilayah yang dihuni oleh orang Melayu.

Seterusnya, dalam buku sejarah kuno China, terdapat sebuah catatan geografi dalam Kepustakaan Dinasti Han, Hon Shu Oi Li Zhi, menyatakan pada zaman Maharaja Han Wu Di, yang hidup pada tahun 140 hingga 87 S.M., sudah dibuka perjalanan dari China ke India, melalui Semenanjung Tanah Melayu. Maksudnya, pada abad kedua S.M. sudah wujud perhubungan China dengan Alam Melayu, iaitu sudah ada manusia yang dipanggil Melayu.

Berikutnya, bahagian selatan China pernah menjalin perhubungan dengan Tenggara Asia. Maharaja Sun Quan, 222 hingga 252 M. pernah mengirim Zhu Ying dan Kang Tai bagi menjalin muhibah dengan beberapa negeri di Alam Melayu.

Malah Zhu Ying menulis sebuah buku yang berjudul Fu Nan Yi Wu Zhi, iaitu Barang-Barang Aneh di Funan, dan Kang Tai pula menulis sebuah buku, Wu Shi Wai Guo Zhuan iaitu Hikayat Negeri-Negeri Asing pada Masa Kerajaan Wu.

Mereka membuat catatan rapi mengenai negeri-negeri di Alam Melayu. Inilah dokumentasi sejarah terawal mengenai peradaban Melayu dalam abad ke-3. Walaupun buku ini sudah musnah, tetapi ada kutipan-kutipan daripada buku ini yang dapat ditemui dalam buku sejarah berikutnya.

Dalam kebanyakan catatan sejarah, kunjungan seorang sami Buddha I-Tsing, ke Sriwijaya pada tahun 671 M, iaitu pada zaman Maharaja Tang, adalah termasyur. Apabila I-Tsing singgah di Sriwijaya dalam pelayaran ke India, beliau mendapati pengajian dalam bidang agama, budaya dan bahasa sudah mencapai tahap yang sangat manju.

Oleh sebab itu beliau tinggal di Sriwijaya dan belajar sebagai persiapan sebelum meneruskan pelayaran ke India. Oleh sebab kejayaan beliau itu, I-Tsing menasihatkan para sami Buddha dari China supaya "singgah di Sriwijaya selama satu atau dua tahun bagi mempelajari ilmu Buddha tersebut sebelum pergi ke India."

Akibatnya, ramai sami Buddha China ini singgah di Sriwijaya dan ada yang tidak mahu balik pulang ke Guangzhou semula. I-Tsing sangat menyedari kepentingan bahasa Melayu, Kunlun, dan mempengaruhi sami Buddha China yang lain supaya tinggal di Sriwijaya dan mempelajarinya.

Perhubungan erat seperti inilah yang berterusan hingga ke abad ke-15, iaitu pada zaman Empayar Sriwijaya menurun dan pusat politik dan perniagaan Melayu itu berpindah ke Empayar kesultanan Melaka.

Inilah kedudukan perhubungan China dengan Alam Melayu, yang dapat dikatakan mencapai kemuncaknya pada zaman Dinasti Ming. Pada zaman inilah Laksamana Cheng Ho datang melawat ke Samudera Barat sebanyak tujuh kali, tetapi misi Maharaja China itu adalah misi damai dan tidak pernah mana-mana wilayah Melayu itu ditakluki oleh China.

Apabila empayar Melaka ini jatuh ke tangan Portugis, pusat kerajaan Melayu terus membangun dan berkembang di Acheh, Pasai, Medan, Patani, Brunei. Satu lagi, kepulauan Riau, Lingga, Johor dan Pahang.

Dua wilayah inilah, Johor Riau yang menjadi pusat bahasa Melayu seterusnya, hinggalah sampai ke zaman penjajahan kuasa Eropah, dan kemerdekaan pada pertengahan abad ke-20. – HARAKAHDAILY 3/12/2015