Adakah Malaysia pula selepas ini?

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

PASTI ramai terkejut dengan ucapan Presiden Umno yang terang-terangan memuji PAS dalam PAU baru-baru ini. Suatu fenomena yang mungkin tak pernah berlaku dalam mana-mana PAU sebelum ini. Kerana terkejut, ramai tak tahu bagaimana nak bertindak balas.

Ahli Umno pening. Yang mereka tahu musuh politik utama sejak merdeka dulu hanya Pas. Ahli PAS juga keliru. Antara benci kerana politik atau berkasih atas dasar akidah Politikus lain seperti biasa, terus jadikan ia isu utama untuk meratib fitnah UG.

Sebenarnya ada pihak yang sangat berdebar iaitu DAP. Mereka amat waspada dan was-was, apakah Presiden Umno itu serius atau berhelah. DAP gusar, kerana satu-satunya cara memenangi kerusi-kerusi campuran sekata di Malaysia ini adalah melihat sokongan politik melayu berpecah belah.

Kalau PAS dan Umno berpadu; sekurang-kurangnya bagi menghadapi Dap dalam PRU14, rancangan mereka untuk kuasai negara bakal hancur.

Kalau perasan, kenapa cybertrooper Dap terus mainkan isu UG walaupun sudah lapuk dan dinafikan acap kali, adalah supaya jarak ahli PAS dan Umno sentiasa jauh. Kerana takut dituduh UG, kita tunjuk sikap benci Umno.

Kerana tidak maju dituduh UG, kita takut dekati orang Umno, takut bergambar sekali. Kerana itu, kita sentiasa nyatakan pendirian PAS dan Umno musuh hingga ke alam kubur!

Memang Presiden PAS sudah acap kali menyebut, tiada gabungan antara Umno dan PAS. Mustahil PAS akan sertai semula BN. Cuma suatu pendekatan politik baru yang PAS bawa adalah politik matang, politik menasihat dan politik tidak berkonfrontasi sentiasa.

Jika dimurnikan antara prinsip tidak bergabung dengan prinsip politik menasihat, maka ia akan membawa kepada satu aliran baru yang tidak pernah dikecapi dalam mana-mana titik sejarah negara. Bahkan, tidak pernah lagi dicuba di negara umat Islam lain!

Politik yang kita amalkan dulu nyata hanya menguntungkan musuh Islam. Ambil contoh Mesir. Rakyat sekian lama marah terhadap regim Mubarak. Tetapi kemarahan yang tidak dapat dikawal akhirnya dimanipulasi barat, menjadikan Mesir diganti regim baru yang lebih kejam dan lebih mesra zionis.

Lihat juga Libya. Regim Zein Abidin jatuh, tetapi negara terus dikuasai proksi Zionis. Syria pula mungkin mengalami perkara serupa jika blok Timur anti Zionis tidak campur tangan. Turki, walaupun kemarahan rakyat tidak dimanipulasi, tetapi sedikit provokasi sudah cukup untuk membuat pemerintahnya cenderung ke arah barat.

Corak politik yang sedang dibawa ejen barat hari ini adalah supaya rakyat bangkit secara radikal. Dimainkan berbagai sentimen terutama kebencian terhadap regim. Apabila rakyat sudah berani ke tahap memporak-perandakan negara, ejen barat ini akan berlakon bersama aspirasi rakyat, sehingga regim benar benar jatuh.

Tetapi setelah jatuh, mereka hanya akan menjadikan negara sebahagian dari blok barat. Kapitalisme akan terus berleluasa. Nasib marhaen bukan matlamat utama. Kebangkitan itu hanya ibarat keluar mulut buaya, masuk mulut harimau pula.

Saya yakin pimpinan PAS sudah dapat menghidu perkara ini. Kerana itu corak politik baru segera diterapkan. Rakyat perlu jadi matang dalam politik.

Walau kita sangat beremosi tatkala hasil mahsul negara diratah penguasa, sangat rakyat tertindas oleh kaum sendiri dan berbagai lagi siri kezaliman di bawah regim sekarang, tindakan yang perlu diambil perlu berhati-hati supaya tidak dimanipulasi.

Mungkin kerana inilah Presiden PAS pun ligat berkelana seantero negara umat Islam, bagi mempadu fikrah siasah setiap gerakan Islam dan mencari idea baru menyedarkan umat.

Muslihat Yahudi Nasara amat halus. Silap sedikit langkah hari ini, akibatnya akan ditanggung seluruh generasi selepas ini. – HARAKAHDAILY 14/12/2015