Pemimpin hari ini tidak punya falsafah

PROF ABDULLAH HASSAN | .

Safiah, "Apa yang atuk profesor fikirkan pada hari ini? Atuk semacam serius saja setiap hari!"

Atuk profesor, "Ya, ada beberapa perkara!"

Safiah, "Fasal bahasa pendidikan ya atuk?"

Atuk Profesor, "Betul! Tetapi itu bukan isu terbesar dan terpenting!"

Safiah, "Pada atuk, apa yang terpenting, apa yang terserius."

Atuk Profesor, "Ya! Perkara yang melibatkan bangsa dan negara! Masa depan negara, masa depan bangsa!"

Safiah, "Apa punca perkara ini atuk?"

Atuk Profesor, "Kita sudah tidak ada pemimpin yang dapat berfikir, melahirkan konsep, dan menyatakan kaedah mencapai matalamat dalam konsep itu."

Safiah, "Apa maksud atuk?"

Atuk Profesor, "Semasa Almarhum Tun Razak menjadi pemimpin, beliau ada falsafah. falsafah beliau mencipta konsep iaitu pemikiran. daripada konsep itu lahirlah kaedahnya. Umpamanya, beliau ada falsafah, rakyat mesti diberi pendidikan supaya maju. Kaedahnya beliau menubuhkan sekolah berbahasa Melayu, diikuti dengan sekolah menengah dan universiti. Ramai orang Melayu dan rakyat lain yang mendapat pendidikan, dan menjadi doktor, jurutera, arkitek ... apa sajalah!"

Safiah, "Pemimpin sekarang tidak berfikir begitu ya atuk!"

Atuk Profesor, "Nampaknya begitulah! Mereka hanya melahirkan kata-kata yang berupa konsep, seperti ‘Satu Malaysia’, ‘Sehati dan Sejiwa’, ‘Rakyat didahulukan’, tetapi kaedah mencapai cita-cita itu bagaimana? Tidak dinyatakan dan tidak dilakukan! Mahu menjadi Satu Malaysia itu bagaimana? Mahu sehati dan sejiwa itu bagaimana? Rakyat didahulukan itu bagaimana? Pemimpin mesti memimpin!"

Safiah, "Ooooo! Itu serius. Kita mahu dibawa ke mana? Seperti kata Tun Mahathir, pandang ke timur, beliau membawa kita menuju wawasan 2020 melalui ekonomi!"

Atuk Profesor, "Ya, Tun juga ada konsep dan memberi kaedahnya. Tidak semua kita setuju, tetapi dia ada konsep dan kaedah mencapainya. Pemimpin sekarang tandus falsafah agaknya!”

Safiah, "Tandus itu apa atuk?"

Atuk Profesor, "Kering, tidak punya! Pemimpin kita tidak punya falsafah!"

Safiah, "Falsafah itu apa atuk?"

Atuk Profesor, "Falsafah itu adalah prinsip atau fikiran yang kita anuti dan dijadikan panduan tindakan kita!" – HARAKAHDAILY 17/12/2015