Membina Bahasa Melayu itu apa tujuannya?

PROF. ABDULLAH HASSAN | .

KITA sering mendengar ungkapan "memperkasakan bahasa." Bahasa yang perkasa itu apa dia? Seperkasa Hang Tuah!

Lebih khusus, wacana kita itu merujuk kepada pembinaan dan pengembangan bahasa. Kita merujuk kepada sebuah bahasa yang matang. Marilah kita melihat ciri-ciri bahasa yang matang. Bahasa yang matang itu adalah bahasa yang sudah lengkap bagi berfungsi sebagai sebuah bahasa moden untuk penuturnya pada zaman sains, teknologi dan teknikal ini.

Bahasa yang matang itu mempunyai ciri-ciri intrinsik dan ekstrinsik.

Ciri-ciri intrinsiknya adalah ia mempunyai ciri-ciri fizikal yang sempurna sebagai sebuah bahasa modern. Ia sudah mempunyai sistem ejaan, sebutan, nahu, kamus, ensiklopedia, kepustakaan ilmu dan rujukan. Oleh sebab itu ia mampu melaksanakan fungsi tinggi, menjadi wahana pemikiran tinggi, dan mengandungi ilmu tinggi dan kompleks.

Secara ekstrinsik, ia dapat melaksanakan fungsi-fungsi tinggi. Ia digunakan dalam bidang diplomatik, perdagangan, perniagaan, kebudayaan, agama, dan lain-lain. Sebenarnya, pakar bahasa sudah lama mengatakan bahawa bahasa Melayu itu sudah lama menjadi bahasa ilmu, bahasa intelektual, bahasa sastera pada peringkat nasional, bahkan bahasa supranasional.

Bahasa Melayu yang matang itu dapat menjadi wahana mengungkapkan ilmu tinggi, seperti falsafah, sains, seni, dan sastera. Sebelum 1955, bahasa Melayu hanya digunakan di sekolah rendah dan di Maktab Perguruan Sultan Idris. Kemudian, bahasa Melayu digunakan untuk pengajian menengah. Selepas itu bahasa Melayu digunakan di institusi pengajian tinggi. Pada tahun 1983, proses ini sempurna dijalankan. Pada hari ini, universiti-universiti kerajaan menjalankan pengajarannya dalam bahasa Melayu.

Sejarah menyatakan bahasa Melayu klasik pernah mengungkapkan ilmu yang canggih dan mendalam mengenai agama dan budaya memang tidak dapat dinafikan. Nama-nama seperti Hamzah Fansuri, Samsuddin al-Raniri, tidak boleh diketepikan. Tetapi pada hari ini, bahasa Melayu sudah berkembang lebih maju lagi. Di dalamnya terdapat buku-buku ilmu, sains dan teknologi yang diajarkan di universiti. Bahasa Melayu sudah mengandungi ilmu.

Kita juga dapat mengamati bahawa bahasa Melayu dituturkan dan digunakan bagi mentadbirkan negara. Ia telah lama menjadi bahasa tamadun Melayu yang diiktiraf oleh jirannya.

Sekalipun bilangan penutur bahasa Melayu di Malaysia sekitar 25 juta orang, apabila dikira keseluruhan penduduk negara-negara yang menuturkan bahasa Melayu maka jumlahnya menjadi hampir 250 juta; 300 juta sekiranya diambil kira bahasa yang bekeluarga dengannya di Asia Tenggara ini.

Jumlah sebesar ini adalah gambaran bahasa yang mempunyai kedudukan penting. Ia menjadi bahasa ibunda segolongan besar penduduk wilayah Asia Tenggara. Ia mempunyai dialek-dialek tempatan yang berlainan serta dialek standard yang dimengerti di seluruh Asia Tenggara.

Ia juga menjadi bahasa kebangsaan Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Dalam membina bahasa Melayu ini kita mempunyai empat rantau di Asia Tenggara yang menggunakan bahasa-bahasa yang bersumberkan bahasa Melayu.

Rantau yang menuturkan bahasa-bahasa yang bersumber pada bahasa Melayu ini mempunyai kerangka hubungan aktif sejak 40 tahun lalu, iaitu MABBIM (Majlis Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia), dengan Singapura sebagai pemerhati.

MBIM ini mula dibina pada tahun 1972, kemudian menjadi MABBIM.

Kerangka ini dapat menggerakkan keempat-empat negara supaya memanfaatkan potensi bahasa Melayu itu untuk menegakkan maruah masing-masing negara dan bangsa. Potensi bahasa-bahasa yang berkongsi satu sumber yang sama ini terletak pada kemampuan penuturnya yang ramai itu. Ia telah menjadi sebuah bahasa supranasional.
Wajarlah bahasa Melayu itu mula mendokong fungsi yang lebih besar di wilayah ini, menjadi bahasa ilmu dan teknologi bagi mengongsi bakat penuturnya yang berjumlah 300 juta jiwa ini. – HARAKAHDAILY 23/12/2015