Kenapa masyarakat perlu terima OKU berpolitik?

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

TAHUN 2015 tidak beberapa hari lagi akan meninggalkan kita. Memasuki tahun 2016, bermakna Malaysia akan memasuki tempoh suku kedua dalam kerangka memenuhi persetujuan Incheon Strategy, suatu pakatan serantau.

Incheon Strategy adalah satu komitmen Negara rantau Asia Pasifik ke arah menjadikan hak-hak Orang Kurang Upaya OKU di rantau ini suatu realiti. Justeru, beriringan dengan Incheon Strategy ini adalah selogan (Make right real for the disable) atau jadikan hak OKU suatu kenyataan.

Incheon Strategy menggariskan 10 matlamat untuk dicapai bagi memastikan apa yang diperakui berkaitan hak seorang OKU suatu kenyataan. Dengan lain perkataan, Incheon Strategy mensasarkan perakuan pembangunan OKU dari pendekatan kebajikan kepada pendekatan hak benar-benar terlaksana.

Suatu hal yang menarik dalam Incheon Strategy, ia telah meletakkan penyertaan OKU dalam proses politik dan pembuat keputusan antara matlamat yang disasarkan. Sebagai sebuah Negara yang memperakui Incheon Strategy, Malaysia tidak terkecuali perlu memastikan penyertaan OKU dalam proses politik dan pembuat keputusan.

Jika sebelum ini Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu PBB telah menjadikan selogan “nothing about us with out us” dalam sambutan hari OKU antarabangsa, matlamat kedua dalam Incheon Strategy kini meletakkan satu aras yang perlu dicapai oleh Negara dalam mengiktiraf penyertaan OKU.

Satu yang perlu difahami oleh seluruh masyarakat, pemerintah dan OKU sendiri, tanpa pembabitan OKU dalam apa jua proses politik dan pembuat keputusan, hak dan pembelaan OKU yang selama ini dilaungkan hanya akan tinggal atas kertas.

Dengan yang demikian, bagi memenuhi matlamat kedua Incheon Strategy ini, kesediaan OKU dan seluruh badan terlibat termasuk badan-badan siasah, agensi pentadbiran dan birokrat, perlu bersedia memenuhi matlamat ini secara kolektif. Di samping itu, sokongan dan dokongan masyarakat dalam menjayakan matlamat ini menjadi faktor pemangkin kepada kecapaian sasaran yang ditetapkan.

Dalam penulisan berikutnya, saya akan memperincikan secara lebih khusus berkaitan penyertaan OKU dalam proses politik dan pembuat keputusan yang ditetapkan dalam matlamat kedua Incheon Strategy. – HARAKAHDAILY 26/12/2015