Guru Melayu dahulu mahu keluar Umno demi bahasa

PROF. ABDULLAH HASSAN | .

PADA masa sebelum merdeka dan pada masa awal merdeka, apabila maruah dan martabat bahasa Melayu tercabar, orang Melayu akan bangkit mempertahankannya.

Selepas Malayan Union dimansuhkan, Jawatankuasa Barnes mencadangkan supaya satu sistem pendidikan dilaksanakan. Selepas pendidikan asas dalam bahasa Melayu selama tiga tahun, pendidikan selanjutnya diteruskan dalam bahasa Inggeris untuk semua kaum.

Sistem ini dilaksanakan bagi membolehkan orang Melayu mendapat pendidikan dan mengambil tempat mereka yang sewajarnya di samping kaum lain. Guru-guru Melayu dan guru-guru pelatih SITC membantah dan rancangan ini dibatalkan. Ya, istilahnya BANTAH.

Cadangan menggunakan bahasa Inggeris bagi menyampaikan pendidikan ini bukanlah baru. Itu isu lama! Namun, masih ada orang yang terpukau kembali oleh bahasa Inggeris. Dengan rasional lama.

Pada tahun 1956, apabila penubuhan sekolah menengah Melayu yang pertama iaitu STAR, SDAR dan STF tidak menggunakan bahasa Melayu, sekali lagi guru-guru Melayu bangun memberi kata dua; mereka akan meletakkan jawatan dan sekaligus keluar daripada parti Umno secara beramai-ramai.

Akibatnya, Sekolah Alam Shah ditubuhkan. Benih pendidikan melalui bahasa Melayu mula ditanam. Bahasa Melayu berkembang hinggalah menjadi bahasa pendidikan negara pada hari ini. Sekalipun, masih dicurigai, dan dilawan oleh yang mindanya masih tertawan dan terperangkap terus dalam bahasa Inggeris.

Pengorbanan dan perjuangan guru-guru Melayu terhadap bahasa Melayu berlaku lebih awal lagi. Sejak tahun 30-an lagi guru-guru Melayu memotong gaji mereka yang kecil itu untuk dimasukkan ke dalam tabung guru untuk membentuk kerusi pengajian Melayu.

Hanya lima puluh tahun kemudian jumlahnya baru mencukupi bagi membiayai sebuah Kerusi Pengajian Melayu agar bahasa Melayu diajar di tahap universiti.

Pemimpin kesatuan guru Melayu pada masa itu adalah Datuk Mohd Nor Ahmad. Beliau enggan menerima sebarang tawaran jawatan atau "balasan" untuk perjuangannya. Beliau Pulang ke Pulau Pinang, tinggal di rumah kecilnya di Taman Brown, Gelugur, Pulau Pinang hingga ke akhir hayatnya.
Demikian pengorbanan dan sumbangan seorang patriot bangsa dan bahasa Melayu dulu.

Pada hari ini kita semua dipanggil lagi bagi mempertahankan maruah dan kedaulatan bahasa Melayu. Kita akan terus berjuang di bawah Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan yang baru ditubuhkan. Majlis ini akan kekal berjuang, menegur, membantah, melawan, mengkaji, dan merancang demi bahasa dan bangsa; apa pun hasil bantahan sekarang. – HARAKAHDAILY 29/12/2015