Pandangan awal tentang kes Zulkifli

ZAHARUDIN MUHAMMAD | .

SAYA terbaca facebook selamatkan zulkifli yang menceritakan bahawa beliau telah membunuh pencuri atau perompak rumah beliau. Zulkifli ditahan semula setelah pertuduhan dibuat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tidak cukup dengan itu tambah lagi bawah seksyen 326.

Menurut berita yang diviralkan, mahkamah dijadualkan bersidang pada 24 Januari depan. Sekitar 25 hari dari sekarang. Sebagaimana dikhabarkan, jika sebelum ini ketika direman 14 hari, keluarganya tidak dapat berniaga makanan malah diceroboh lagi rumah dengan beberapa kecurian dari penagih dadah yang makin bertambah di kawasan sekitar, apakan pula yang berlaku selama 26 hari sebelum perbicaraan ini?

Dari sudut pandangan Islam, pencuri yang telah sabit dengan bukti atau pengakuan, maka kerajaan Islam wajib melaksanakan hukuman memotong tangan sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah ayat 38.

Ia tidak boleh dilaksanakan oleh mana-mana individu atau kelompok kecil masyarakat tanpa kerajaan Islam yang berdaulat. Dalam kes rompak pulak, jika ia merompak dan mengambil harta tetapi tidak membunuh, maka hukumannya dipotong sebelah tangan dan sebelah kakinya.

Jika ia merompak, mengambil harta dan membunuh mangsa, maka dijatuhkan hukuman dibunuh dan disalib (gantung mayatnya). Hukuman mengerikan ini bagi memberikan kebebasan kepada seluruh rakyat. Bukan kebebasan serta keberanian kepada perompak.

Jika ditakdirkan, seseorang mampu menyekat perompak dengan melawan dan didapati tiada jalan lain melainkan dengan membunuhnya, maka membunuh perompak pada waktu itu adalah harus dari segi syariat.

Sememangnya kes seperti ini perlukan maklumat lengkap dan tepat kerana hukuman akan berbeza disebabkan berbezanya keadaan seperti situasi; (1) perompak yang telah ditangkap, diikat kemudian dibunuh oleh tuan rumah atau (1) perompak yang dibunuh ketika berlawan dengan tuan rumah (2) atau perompak yang dibunuh ketika lari dari rumah atau (3) perompak yang tersalah bunuh oleh tuan rumah seperti menembak senapang patah untuk memberi amaran, tetapi terkena tepat pada perompak (4) dan lain-lain.

Dari segi Islam, tuan rumah agak sukar hendak disabitkan kesalahan membunuh sengaja sehingga layak dibunuh balas dalam kes ini Zulkifli dijatuhkan hukuman gantung. Ini berdasarkan perbahasan ulama berkenaan status darah perompak adakah mahdar (halal) darahnya atau tidak? Jika mahdar, maka tuan rumah hanya dikenakan takzir, bukan qisas seperti dalam situati (1) di atas.

Ini berdasaran kepada hadis di bawah:

من قتل دون ماله فهو شهيد، ومن قتل دون أهله فهو شهيد، ومن قتل دون دينه فهو شهيد، ومن قتل دون دمه فهو شهيد.
Maksudnya: Barangsiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya, maka ia syahid. Barangsiapa yang mati kerana mempertahankan keluarganya, maka ia syahid. Barangsiapa yang mati mempertahankan agamanya, maka ia syahid. Barangsiapa yang mati mempertahankan darahnya (dirinya) maka ia syahid. - (Hadis riwayat Imam Ahmad dan lafaz yang sama terdapat di dalam Sahih Bukhari dan Muslim).

Menurut Imam Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim: hadis ini adalah bab yang menunjukkan bahawa barangsiapa yang berniat mengambil harta orang lain tanpa jalan yang benar, maka yang berniat demikian adalah mahdar darahnya.

Saya tidak cenderung mahdar diterjemah dengan makna halal kerana ia membawa faham bahawa halal dibunuh. Tetapi Mahdar di sini bermaksud, barangsiapa yang membunuhnya tetap bersalah, tetapi terlepas daripada hukum Qisas atas sebab status si pesalah adalah Mahdar darahnya.

Dari sudut yang lain, Islam memuliakan mereka yang berani melawan perompak sebagaimana maksud hadis di atas. Di dalam Tuhfah Al-Ahwazi, Syarah Sunan Tarmizi menyebut bahawa mempertahankan harta dengan maksud mempertahankan hartanya daripada diambil oleh orang lain secara zalim.

Mempertahankan keluarga pula ditafsirkan sebagai mempertahan kemaluan (al-budh'i) isteri atau kaum keluarga yang perempuan. (Sesiapa yang mendalami hadis ini, dia akan faham betapa pentingnya mempertahankan aurat isteri ketika dharurat sekalipun seperti aurat ketika bersalin di hospital dan lain-lain sebagaimana yang telah saya nyatakan di dalam buku saya sebelum ini).

Di dalam satu riwayat lain (sebagai lanjutan hadis di atas), seorang lelaki datang bertanya nabi SAW jika ada penceroboh datang merompak hartanya. Nabi menjawab, jangan kamu beri. Apa pandangan kamu jika ia ingin membunuhku? Jawab rasulullah, bunuhlah dia (lawan balik). Beliau bertanya lagi, apa pandangan kamu jika ia membunuhku? maka jawab Baginda SAW, "maka mati anda adalah syahid."

Dalam kes zulkifli ini (jika si mati adalah perompak yang sedang merompak), apa yang saya dapat pastikan ialah:

1. Tiada hukuman bunuh balas melainkan hanya dalam kemungkinan yang sangat kecil sebagaimana dinyatakan di atas.

2. Hukuman reman adalah zalim kerana perlaksanaan reman hari ini memberikan kesan kepada ekonomi keluarga serta memudaratkan keluarga itu sendiri. Dalam Islam, penjara dibenarkan dalam beberapa keadaan seperti seseorang yang mengambil harta awam (seperti kes rasuah atau audit finding hari ini), maka hukumannya ialah si pesalah dipenjarakan sehingga keluarga si pesalah membayar semua duit yang telah diambil.

Maka penjara menurut Islam di dalam kes ini bersifat paksaan supaya si pesalah dan keluarganya mengembalikan hak orang ramai bagi memastikan pihak lain tidak terbeban. Jika keluarga si pesalah yang dipenjarakan berhadapan dengan masalah kewangan akibat suami (sebagai contoh) dipenjarakan, maka menjadi tanggungjawab baitulmal (bahagian sumber al-fai' / hasil bumi dan lain-lain) untuk membantu mereka.

Tetapi hari ini, reman adalah satu prosedur rutin bagi memudahkan pihak berkuasa menyoal siasat atau dengan alasan takut si pesalah lari. Pada zaman Saidina Umar, si pesalah (yang sudah dibicarakan) kes bunuh daripada Syam bukan sahaja tidak direman, bahkan dibenarkan pulang menyelesaikan kes wasiatnya tanpa seorang pengiringpun (polis).

Kemungkinan melarikan diri pada zaman itu jauh lebih tinggi berbanding Malaysia hari ini kerana sempadan negara Islam yang sangat luas dan Syam pula sangat hampir dengan sempadan Rom yang memusuhi Islam.

Apapun saya menyatakan solidariti saya terhadap Zulkifli yang dizalimi dengan hukuman reman. Saya berdoa supaya keluarga beliau tabah menghadapi ujian ini.

Saya rujuk FB di bawah dan beberapa sumber lain.
https://www.facebook.com/selamatkanZulkifli/?fref=ts – HARAKAHDAILY 30/12/2015