Tahniah Datuk Ong Kim Swee

HARAKAHDAILY | .

DACS Selangor mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Ong Kim Swee yang telah dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan yang baharu dengan tempoh kontrak selama dua tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ia sekaligus mengenepikan dua orang lagi calon iaitu bekas jurulatih Johor Darul Takzim Bojan Hodak dan bekas jurulatih Sarawak Robert Alberts.

Panel pemilihan bagi melantik ketua jurulatih bola sepak kebangsaan ini adalah daripada Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Persatuan Jurulatih dan beberapa anggota yang lain.

Datuk Ong Kim Swee sebelum ini menggalas tugas sebagai jurulatih sementara skuad bola sepak kebangsaan yang telah dikosongkan oleh Dollah Salleh.

Pemilihan beliau sebagai jurulatih merupakan pilihan yang tepat bagi menggalas tugas yang berat ini. Berdasarkan pengalaman beliau yang pernah membimbing pasukan bola sepak Melaka pada 2005, skuad Harimau Muda A dari 2009-2014, skuad bawah 23 tahun kebangsaan pada 2011-2015 dan membimbing skuad Harimau Malaya buat sementara waktu sebanyak dua kali selepas pengendali, Datuk K Rajagobal dan Dollah Salleh melepaskan jawatan masing-masing pada 2013 dan 2015.

Pelbagai kejayaan yang telah dikecapi oleh Datuk Ong Kim Swee sebelum ini dalam membimbing pasukan muda negara seperti memenangi Liga Perdana Malaysia pada tahun 2009, pingat emas Sukan SEA 2011, juara ACTV Cup di Indonesia, juara Newspaper Cup di Vietnam dan juara Pestabola Merdeka di Malaysia.

Inilah antara faktor besar kenapa beliau layak disamping mempunyai pengalaman yang lebih baik dalam membimbing skuad kebangsaan berbanding calon lain.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Abdul Mokhtar Ahmad, tugas utama yang menanti Datuk Ong Kim Swee selepas ini ialah beliau perlu memperbaiki kedudukan pasukan Harimau Malaya dalam ranking dunia yang kini menghuni tangga ke-171 kepada 140, mempersiapkan skuad kebangsaan menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki 2016 dari 28 November hingga 18 Disember, membantu Frank Bernhardt untuk mempersiapkan pasukan Bawah 23 Tahun sebelum menghadapi Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 2017 dan yang terakhir mempersiapkan pasukan bagi beberapa perlawanan playoff Kelayakan Piala Asia 2019 pada 2 Jun, 7 Jun dan 11 Oktober.

DACS Selangor berharap dengan terlantiknya Datuk Ong Kim Swee dapat membawa sinar baru dalam bola sepak senior kebangsaan.

Jangan diulangi kekalahan yang memalukan seperti 10-0 kepada UAE dan 6-0 kepada Palestin. Ia wajib dihindarkan sejauh-jauhnya daripada radar pasukan bola sepak kita. Taktikal yang tidak sesuai seperti long ball dari bawah ke atas yang dibuat secara membabi buta juga wajib dielakkan.

Kaedah latihan juga harus berubah ke arah "modern football" jika ingin melihat perubahan kepada skuad senior ini.

Penerapan ilmu "sports science" wajib kepada setiap pemain dan seluruh pasukan. InsyaAllah dengan perancangan rapi daripada semua golongan yang terlibat di dalam skuad bola sepak kebangsaan ini akan menghasilkan keputusan yang baik kepada negara. Sekali gus merancakkan lagi semangat para penyokong untuk menyokong pasukan bola sepak kebangsaan.

DACS Selangor sentiasa mendoakan agar pasukan bola sepak kita dapat kembali menjadi pasukan yang digeruni di peringkat Asia seperti zaman dahulu.

Majulah sukan untuk negara

MUHAMMAD FADZLI ABU BAKAR
Pengarah Deparment of Arts, Culture and Sports (DACS) Selangor
Dewan Pemuda PAS Selangor - HARAKAHDAILY 20/1/2016