TPPA: Apa alasan untuk tidak membantah?

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

USAI kuliah di sebuah surau semalam, seorang Pak Cik datang bertanya, "Jadi ke himpunan Sabtu ini?" Saya menjawab ya. Dia bertanya lagi, "Perhimpunan apa nama ni ya?T..P......T..." Sambil mulutnya gagap menyebut satu persatu huruf T.P.P.A.

Plot ringkas ini memberi dua petunjuk. Yang pertama, Pak Cik ini menggambarkan sikap orang kita yang berprinsip dalam politik. Tidak akan sertai apa-apa sebelum memahami objektif terlebih dahulu. Tidak seperti sebahagian pihak, sebut saja demo mesti sertai walaupun tak tahu isu apa yang sedang diperjuangkan.

Kedua, Pak Cik ini menggambar rendahnya kesedaran orang kita tentang TPPA. Saya berani katakan ramai orang tak faham apa tentang TPPA ini. Keadaan ini lebih teruk daripada pemahaman masyarakat tentang GST sebelum dilaksanakan dulu. Ketidakfahaman ini tidak membangkitkan kesedaran untuk membantah, dan tidak mendatangkan keinginan untuk bermusafir ke ibu kota bagi menyatakan bantahan tersebut.

Ada juga yang berfikir, buat apa demo. Dulu GST pun kita demo, tapi buat juga. bersih dah acapkali demo, tak menang juga pilih pilihan raya. Macam-macam lagi kemusykilan timbul yang menghalang diri untuk berhimpun.

Apapun sama ada kita faham atau tidak, sama ada kita mahu bantah atau tidak, tetapi jika bantahan ini gagal, maka TPPA akan terlaksana. Kesan terburuk daripada TPPA bagi saya adalah sudut perundangan Islam.

Segala usaha untuk memartabatkan Islam boleh tergendala kerana akan berhadapan dengan negara kuasa besar dunia yang turut memeterai perjanjian ini seperti Amerika.

Lebih dibimbangi, ia mungkin turut menyebabkan kehidupan seharian kita selama ini sebagai masyarakat Islam juga terganggu. Boleh rujuk kepada beberapa tulisan saya sebelum ini untuk memahami situasi ini.

Namun apa yang saya takut adalah soal jawab Allah pada hari akhirat kelak. Saya sertai politik pun kerana fikir ini adalah tanggungjawab yang akan disoal pada hari akhirat. Saya bimbang apa mahu jawab apabila Tuhan tanya "Apa usaha kamu untuk pastikan pemimpin yang amanah dan menjalankan syariah dilantik di kalangan kamu?" Jadi saya juga bimbang dalam isu TPPA ini, Tuhan akan tanya "Kenapa kamu biarkan undang-undang-Ku diganggu oleh TPPA?"

Maka apa alasan kita nanti?

Kalau kita rasakan dengan menjawab "saya tak faham TPPA" sudah memadai, maka terpulanglah. Tetapi jika jawapan itu tidak diterima, sudah tentu amat pedih akibatnya di hari akhirat.

Setidaknya saya berusaha menggunakan sedikit kuasa yang ada dalam ruang demokrasi ini untuk berdemo membantah TPPA. Soal berjaya atau tidak bukan urusan kita. Dari dulu lagi PAS sertai demokrasi dan ramai yang keluar mengundi atas tanggungjawab agama. Bukan kerana yakin menang, tetapi kerana menyediakan hujah di hadapan Allah nanti, bahawa aku telah berusaha untuk memilih orang yang memperjuangkan agama-Mu.

Lagipun, alasan demo tak boleh ubah sikap kerajaan ini bukanlah alasan yang kukuh untuk tidak hadir. Demo mansuhkan ISA, telah menyebabkan ISA dimansuh. Demo mansuh PPSMI, telah menyebabkan ia dibatalkan. Dulu, demo memorandum perlembagaan persekutuan, telah berjaya memasukkan Islam agama rasmi dalam perlembagaan. Maknanya, walaupun ada demo yang gagal, tapi banyak juga demo yang berjaya.

Apa lagi alasan kita untuk tidak turun? Alasan kewangan? Alasan sibuk? Alasan kesihatan? Apapun alasannya, pastikan ia benar-benar kukuh untuk bersemuka di mahkamah Tuhan nanti. – HARAKAHDAILY 21/1/2016