Ustaz Mohd Zaki, Tokoh Usahawan Kelantan 2015

IZWAN ABDUL HALIM | .

SETAPAK demi setapak didaki dalam menuju puncak perniagaannya, biarpun dengan modal hanya RM2,000 yang didapati dari pinjaman keluarga beliau. Dalam usia 24 tahun, Ustaz Mohd Zaki Zakaria memulakan perniagaannya dengan menubuhkan Pusat Bimbingan Azkia yang berfokus kepada kelas bimbingan al-Quran.

Bermula di Kampung Tok Burong, Jalan Pantai Irama Bachok, Kelantan pada tahun 2005, tahun berikutnya beliau membuka pula cawangan di Kawasan Perniagaan Beris Kubur Besar, Bachok. Kemudian menapak di bandar dalam tahun 2007 apabila membuka cawangan di Simpang Empat Jalan Pekeliling, Kota Bharu.

Kesungguhannya terhadap ruang perniagaan tidak terhenti di situ, pada tahun 2008, beliau mengembangkan lagi perniagaannya dengan menceburi pula bidang sewaan khemah dan perkhidmatan katering.

Begitu juga minatnya terhadap perkembangan awal kanak-kanak, diterjemahkan dengan penubuhkan Tadika Azkia pada tahun 2010 di Kampung Tok Burong.

Tidak berhenti meneroka, di penghujung tahun 2010, beliau menubuhkan pula syarikat percetakan dan pengiklanan yang didaftarkan atas nama Azkia Trading dan beroperasi di Jalan Telipot, Kota Bharu.

Rezeki beliau, Tadika Azkia turut berkembang dan membuka cawangan di Wakaf Zin, Tawang, Bachok serta di Jalan Kubur Maras, Langgar, Kota Bharu.

“Alhamdulillah, dalam rencah perniagaan yang turun naik dan pelbagai cabaran, saya terus komited meneliti kelemahan dan peluang untuk saya perbaiki supaya lebih maju dan lebih maju. Kini perniagaan baru saya ialah menjadi pembekal kepada kerajaan dan saya mempunyai Perakuan Syarikat Bumiputera dan Lesen Pembekal dari Kementerian Kewangan Malaysia.

“Pada masa hadapan, saya merancang untuk mula memasarkan produk pendidikan Azkia dengan menggunakan konsep francais. Dengan sokongan pelbagai pihak, harapan ini akan menjadi realiti tidak lama lagi. Maka Azkia, akan berada di mana-mana dan seluruh ceruk daerah seluruh Malaysia, insya-Allah,” ujar Mohd Zaki menyatakan keazaman dan tekad kuatnya.

Terbukti berani dan bersedia meningkatkan potensi diri, beliau juga bercadang untuk terlibat pula dalam bidang hartanah dan pembinaan.

Kepimpinan dan kecemerlangan beliau dalam perniagaan ternyata diakui apabila pada menerima Anugerah Abdul Rahman Bin Auf yang merupakan pengiktirafan sebagai Tokoh Usahawan tahun 2015 dari Kerajaan Negeri Kelantan.

Ustaz Mohd Zaki boleh dihubungi menerusi talian 019-9863003 dan 012-4004600 atau pejabat 09-7477800 selain alamat Azkia Trading, PT361, Aras Bawah, Lembah Sireh, 15050 Kota Bharu, Kelantan. – HARAKAHDAILY 2/2/2016