Peranan ibu bapa bentuk masyarakat penyayang

SASIREHKA MAGATHEVAN | .

Pada alaf baru ini, ibu bapa memberi peranan yang penting kepada masyarakat dan negara. Media cetak mahupun media elektronik sering menyiarkan isu ini. Dalam kalangan ibu bapa dalam masyarakat ini selalu diberi perhatian oleh orang ramai terutamanya kerajaan.

Menurut Perdana Menteri Malaysia ke-5 Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu bahawa membentuk masyarakat penyayang amat penting sekali. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah-langkah yang boleh diambil untuk membentuk masyarakat penyayang.

Ibu bapa berperanan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Kehidupan anak-anak harus diisi dengan kasih sayang oleh ibu bapa dengan menyemai sikap penyayang dalam diri anak-anak sejak kecil lagi seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sifat kasih sayang yang dipupuk sejak kecil akan lebih mudah terlaksana malah akan terus sebati dalam diri anak-anak apabila mereka dewasa.

Dalam hal ini, kehadiran ibu bapa amat penting dalam tempoh anak-anak membesar. Sebagai contoh, ibu bapa harus sentiasa berada di samping anak-anak semasa mereka dalam kekecewaan seperti gagal dalam peperiksaan untuk menenangkan hati dan sanubari mereka.

Sekiranya, hal ini diberikan perhatian oleh ibu bapa maka anak-anak akan berasa dihargai dan masalah yang mereka alami akan dapat diselesaikan melalui pertolongan ahli keluarga. Tegasnya, ibu bapa harus sedia melapangkan waktu untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak kerana ibu bapa merupakan insan terhampir dengan diri anak-anak.

Selain itu, didikan agama juga perlu untuk melahirkan individu yang penyayang. Ibu bapa juga harus mengajar anak-anak mereka mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan.

Contoh amalan yang boleh diajar kepada anak-anak adalah menunaikan solat dan menghantar anak-anak ke  kelas-kelas agama dan sebagainya. Amalan-amalan ini akan melembutkan hati dan mententeramkan jiwa serta melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia.

Sifat ini yang akan menjadi darah daging dalam diri anak-anak dan mendorong mereka untuk berperilaku baik seterusnya sentiasa menyayangi keluarga. Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi didikan agama yang secukupnya amat penting dalam melahirkan individu penyayang.

Malahan, ibu bapa haruslah menyediakan semua keperluan atau kemudahan kepada anak mereka. Penyediaan tempat belajar yang sesuai amat penting.

Begitu juga dengan hubungan ayah dan ibu yang mesra tanpa sebarang masalah sudah pasti akan memberi keselesaan kepada anak untuk menjadi manusia yang penyayang. Ringkasnya, sikap ibu bapa yang sebegini mampu melahirkan satu generasi muda yang penyayang di negara ini.

Tambahan lagi, keadaan keluarga yang stabil amat perlu bagi melahirkan individu yang penyayang. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam membentuk keluarga yang stabil.

Keluarga yang stabil ialah keluarga yang saling menyayangi, hormat-menghormati dan cukup dari segi kewangan keluarga. Ibu bapa harus memastikan hubungan kekeluargaan sesama ahli keluarga erat bagi melahirkan keluarga yang penyayang.

Seiring dengan itu, ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Namun demikian, terdapat kalangan ibu bapa yang berperangai buruk. Comtohnya, menjadi penagih dadah, pencuri, penjenayah, perogol dan sebagainya. Hal ini jelas, mereka akan mengalami kesempatan wang dan tekanan emosi. Bak kata pepatah “bagai acuan begitulah kuihnya”.

Hal ini demikian, ibu bapa perlu menunjukkan sikap yang baik kepada anak-anak sejak kecil lagi. Umpamanya, mengamalkan tabiat rajin membaca buku di hadapan anak-anak. Lama-kelamaan tabiat ini dalam kalangan generasi muda akan mengikut tabiat yang positif ini. Ringkasnya, peranan ibu bapa amatlah besar dalam melahirkan masyarakat yang berguna pada alaf globalisasi ini.

Dengan ini, saya berharap bahawa ibu bapa memainkan peranan yang paling besar dalam melahirkan individu dan sekali gus masyarakat yang penyayang di negara kita.

Oleh itu, ibu bapa harus meningkatkan  peranan mereka semaksimum mungkin, namun dalam masa yang sama tidak mengamalkan sikap pilih bulu antara anak-anak. Apa yang diharapkan oleh semua orang ialah amalan kasih sayang yang berjaya dipraktikkan  akan mampu mewujudkan masyarakat yang sejahtera.

Ingatlah, individu yang penyayang akan mewujudkan keluarga cemerlang seterusnya melahirkan masyarakat serta bangsa yang terbilang. - HARAKAHDAILY 10/2/2016

Penulis ialah pelajar Bacelor Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia.