Bihun Tayba popularkan Ustaz Ya

IZWAN ABDUL HALIM | .

DORONGAN dan tunjuk ajar daripada Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menumbuhkan tekad kepada beliau untuk menjadi usahawan berjaya yang kaya dan beriman. Kesungguhan dipasak dalam dirinya untuk mengembangkan ekonomi Muslim menerusi perjuangan produk halal, sekali gus meruntuhkan kapitalis yang dimonopoli Yahudi, kuffar dan sekutunya.

Bagi beliau, usahanya itu adalah jihad untuk ummah dan meluaskan pasaran ‘halalan toyyiban’ menjadi satu tugas dakwah. Menerusi gerakannya, beliau tekun membangkitkan kepekaan masyarakat terhadap hukum halal, haram dan syubhah dalam makanan.

Kegigihan itu nyata menyinar pada diri Ustaz Zakaria Che Wail apabila kurang 20 tahun menceburkan diri dalam bidang perniagaan, kini beliau telah berjaya mendaftarkan Taybah Holdings Berhad (THB) dan dilantik selaku Pengerusi. THB katanya, akan berjuang mengangkat dan menjadi platform perniagaan ‘halalan toyyiban’ komuniti berlandaskan muamalat Islam dengan konsep hibah dan pawah dalam berkongsi keuntungan.

Mesra dengan panggilan Ustaz Ya, beliau yang dilahirkan di Rantau Panjang, Kelantan pada 7 Ogos 1971 telah mendapat pendidikan tinggi di Jamiat Dirasat Islamiah, Karachi, Pakistan dalam bidang Bahasa Arab dan Syariah, sebelum melanjutkan lagi pengajiannya di Universiti Kaherah, Mesir dan Universiti Ambar, Iraq.

Meniti tangga kemajuannya, Ustaz Ya mula bergiat aktif dalam perniagaan sekembali ke tanah air pada tahun 1997 dengan bermodalkan sedikit simpanan peribadi. Pada tahun 2000, beliau mengasaskan As-Syafiq Trade Centre hinggalah 10 tahun kemudian, mengasaskan pula D Halal Shoppe yang perasmiannya disempurnakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Perniagaannya terus berkembang apabila pada 2015 menubuhkan Tayba Mart dan Taybah Foods Manufacturers.

Menerusi hubungan dan rangkaian bersama rakan niaga, pengeluar dan pengedarnya, Ustaz Ya telah memartabatkan produk Muslim termasuk dari Industri Kecil Sederhana (IKS) ke seluruh pelusuk Malaysia. Malah, beliau turut bekerjasama dengan kerajaan negeri dan persekutuan serta agensi kerajaan seperti Mara, Fama dan lain-lain untuk terus mempelbagaikan pembangunan produk ‘halalan toyyiban’ serta diyakini para pengguna Muslim.

Isu kebersihan dan kesucian industri pemprosesan bihun yang banyak dilaporkan media telah menjentik kekesalan pada diri Ustaz Ya. Bertitik tolak dari situlah tercetusnya langkah fardu kifayah beliau. Maklum bahawa bihun merupakan makanan semua kaum di Malaysia, beliau telah mengadakan perbincangan serius dengan pemilik kilang beras terbesar Melayu di Terengganu iaitu PRM Rice Vermicelli (M) Sdn Bhd. Akhirnya, pada tanggal April 2015, lahirlah Bihun Tayba yang dikeluarkan dengan sepenuhnya mematuhi Praktis Pengeluaran Islam (IMP).

Disamping Bihun Tayba, antara produknya yang meluas di pasaran juga adalahTaybah Cocomix, Gelatin Taybah, barli pandan, air bunga kekwa, mee sanggul, air ammar kristal, tom yam toyyib, sup sedap toyyib, pes keow teow, susu kambing D Halal, miracle talbinah dan sabun pencuci fabrik.

Bagi yang berminat mendapatkan produk dan bersama dalam rangkaian Ustaz Zakaria, boleh menghubungi beliau di talian 019-9511444 atau di alamat D Halal Shoppe, Lot 254, Seksyen 20, Jalan Kuala Krai, 15150 Kota Bharu, Kelantan. – HARAKAHDAILY 11/2/2016