Hari Valentine: Mahkota diri seorang wanita

FATIN NUR LYANA ABDUL RAHMAN | .

Nilai seorang wanita itu bukanlah terletak pada kecantikan pakaian yang dipakainya, bahkan bukan pada perhiasan yang menghiasi tubuhnya. Akan tetapi, wanita yang tampak cantik adalah mereka yang berupaya menjaga maruah dan harga diri mereka dengan nilai kesopanan dan keterbatasan dalam pergaulan.

Harga diri seorang wanita itu tidak terjaga tatkala mereka menyerahkan dirinya hanya untuk kemewahan dan kekayaan semata-mata. Mereka sanggup berhabis ratusan ribu wang ringgit untuk memenuhi keinginan nafsu mereka sedangkan perbuatan mereka itu sudah melanggar syariat dan ketetapan Allah.

Wanita yang solehah tidak akan menghalalkan yang haram hanya untuk kepuasan dirinya. Mereka cuba untuk menanam dalam diri mereka prinsip-prinsip yang didasari oleh Islam bagi mengekang hawa nafsu dan godaan dunia yang menguasai diri mereka.

Jika diamati daripada kisah dua puteri Nabi Syuib AS, tatkala mereka ingin memberi ternakannya minum, didapati ramai pengembala berada di sumber air tersebut tetapi mereka terpaksa menahan hajat mereka untuk ke sana. Kemudian Nabi Musa AS mengambil alih tugas mereka lantaran kasihan akan kedua gadis tersebut.

Usai memberi minum pada ternakan mereka, kedua-dua puteri Nabi Syuib AS mengadu pada ayahandanya perihal tersebut kemudian Nabi Syuib AS lantas menyuruh anakdanya mengundang Nabi Musa ke rumah sebagai tanda ucapan terima kasih. Dalam keadaan malu, puteri Nabi Syuib AS pergi bertemu dengan Nabi Musa AS bagi menyampaikan undangan tersebut dan diterima baik oleh Nabi Musa AS.

Berdasarkan peristiwa ini, Allah memberi gambaran bahawa wanita solehah adalah wanita yang tidak memperlihatkan dirinya pada pandangan umum dan apabila seorang wanita berjumpa dengan lelaki ajnabi, mereka akan menundukkan pandangan mereka dengan melahirkan perasaan malu. Firman Allah dalam Surah An-Nur, ayat 30-31 yang bermaksud: Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat". Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya” [ An-Nuur: 30-31]

Oleh yang demikian, mengapa perlu menggadaikan harga diri hanya pada perkara yang di luar syariat islam? Pembinaan Baitul Muslim adalah method terbaik bagi memelihara maruah diri seorang muslim juga tempat yang tepat untuk menyalur kasih sayang.

Tuntasnya, usahlah kita terikut-ikut dengan perayaan dan adat dalam agama lain kerana ia pasti mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka termasuk dalam kalangan mereka” diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik.

Maka, bersederhanalah kita dalam semua perkara serta berhati-hatilah dalam membuat sesuatu tindakan agar kita menjadi hamba yang sentiasa patuh dan taat pada Allah. Duhai wanita, kasihanilah diri anda dan pagarilah ia dengan sifat malu dan zuhud. Sesungguhnya sesuatu perkara yang terjaga itu adalah lebih baik daripada melakukan sesuatu yang boleh merosakkan diri kita sendiri. Wallahualam. - HARAKAHDAILY 14/2/2016

Penulis ialah Pengerusi HELWANI PMIUPM 15/16