TGHH sempurnakan jalan hidayah Joycelyn Lim

IZWAN ABDUL HALIM | .

PERJALANAN hidayah Joycelyn Lim Xu Yin mencari hakikat bertuhan menjadi antara sejarah paling penting bagi diri beliau. Lebih gemilang apabila nur Islam yang menembusi sanubarinya sejak di bangku sekolah itu kian bersinar digilap siraman ilmu. Malah, kemasyhuran seruan agung dari pengajian di Masjid Rusila turut sampai mengisi bejana pengetahuan Xu Yin.

Akhirnya beliau nekad, mentauhidkan Allah dan mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW. Lalu dengan sokongan keluarga angkat, Xu Yin mengikrarkan syahadahnya dihadapan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan memakai nama Aisyah Lim.

Takdir tercatat di Lauh Mahfuz cukup indah buat Xu Yin. Dia tidak pernah menyangka saksi utama yang mengambil ke-Islamannya itu akan menyempurnakan hidupnya. Tuan Guru menjodohkan anaknya Yusuf dengan Aisyah. Hasil perkongsian hidup yang bahagia, mereka dikurniakan tiga cahaya mata; Harun, Adam dan Salman Salim.

Namun, kembalinya Aisyah kepada fitrah, tidak sedikit pun menjurang hubungan beliau dengan keluarga kandungnya. Bahkan, hasil didikan suami dan keluarga Tuan Guru, beliau menjadi duta yang menghubungkan dirinya dengan masyarakat bukan Islam terutama anggota keluarga sendiri. Malah, Yusuf dan anak-anak turut memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina menyertai sanak saudara serta kawan kawan Aisyah yang ramai menetap di selatan tanah air.

Menitipkan kata-kata, Aisyah membetulkan salah tanggapan bahawa menganut Islam bererti menjadi Melayu. Katanya, Melayu, Cina, India dan lain-lain itu adalah bangsa, sedangkan Islam adalah agama datang dari Allah yang cukup sempurna untuk semua manusia.

“Pesanan saya kepada orang Islam, supaya tunjuklah akhlak yang baik kepada orang yang bukan Islam kerana ia menggambarkan Islam adalah agama yang baik. Alhamdulillah saya rasa bersyukur kepada Allah SWT dikurniakan hidayah dan petunjuk memeluk Islam. Saya banyak mengenali Islam dari kelas-kelas agama dan pengajian diadakan beliau.

“Ayahanda Tuan Guru mengajar fiqah solat, sejarah Islam dan lain-lain lagi. Dia menggambarkan Islam adalah agama yang cukup-cukup indah. Saya ucap banyak-banyak terima kasih kepada semua yang telah mendidik dan membantu saya terutamanya kepada suami dan keluarga Tuan Guru,” ujar Aisyah Lim menghampar ketenangan dirinya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga angkatnya dan kawan-kawan yang banyak menolong dan memberi tunjuk ajar kepada dirinya.

Katanya, hanya Allah sahaja yang dapat membalas pekerti mulia mereka dan berharap hubungan silaturrahim mereka kekal sehingga akhirat. – HARAKAHDAILY 15/2/2016