Dekorasi kek ‘first class’ dari dapur rumah

IZWAN ABDUL HALIM | .

BAKAT terpendam yang ada dalam dirinya langsung tidak disedari. Berdetik hanya sekadar minat dan mengisi keluangan masa, selain beroperasi dari dapur rumah sendiri, kini menjadi perniagaan yang semakin berkembang.

Segalanya bermula ketika bermusafir ke bumi asing kerana mengikuti Allahyarham suami, Karim Sulaiman yang bertugas di London pada tahun 1996. Kesempatan itu dimanfaatkan Siti Hawa Mohd Ariff untuk belajar asas pembuatan dan dekorasi kek.

Menyedari minat Hawa yang semakin membunga itu, suaminya terus mendorong beliau untuk mempertingkatkan lagi kemahiran setelah pulang ke tanah air. Sambil menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan mengambil tempahan dari rumah, beliau belajar lagi secara khsusus untuk membuat dekorasi kek hari lahir dan majlis perkahwinan.

Sambutan luar jangka dari tempahan-tempahan yang diterimanya merangsang usaha Siti Hawa untuk meneroka pasaran lebih luas. Sejak lapan tahun lalu, beliau mengambil pula tempahan biskut khususnya untuk hari raya. Ramai yang menjadi pelanggan tetapnya membuat tempahan kuih raya untuk dihantar kepada anak-anak mereka di Mesir dan London.

Hawa tidak berpuas hati sekadar itu, jiwa usahawan yang kian berputik menyebabkan beliau mengatur langkah lebih ke depan dengan memanfaatkan kelebihan teknologi maklumat apabila mengiklankan perniagaannya menerusi internet.

Kini pengguna di alam maya boleh mengikuti beliau dan membuat tempahan dengan membuat kunjungan ke laman facebook “Dimplecake”. Terpanah mata melihat setiap hasil tangan Siti Hawa daripada pelbagai warna warni dan bentuk dekorasi yang menghiasi kek dibuatnya. Tidak puas sekadar menyantap mata, pasti timbul rasa keterujaan dan keinginan untuk menjamu kepelbagaian kek tersebut.

Menurut Siti Hawa, beliau mengutamakan kebersihan dan menggunakan bahan-bahan berkualiti dalam pembuatan setiap kek dan biskut dihasilkan agar rasanya segar dan sedap tanpa menggunakan pengawet.

“Saya ingin meluaskan perniagaan kek ini kerana ia buatan Muslim, pastinya segar, halal dan taiyyiban. Saya akan berusaha membuat kek yang paling sedap dari dapur rumah tanpa perlu pelanggan membelinya dari kedai untuk keraian dan perayaan,” ujarnya.

Para pembaca dan peniaga yang berminat menjadi pelanggan dan rakan niaga beliau boleh menghubungi Siti Hawa di talian 017-3332011 atau 03-61786162 selain menerusi alamat No.18, Jalan SG 6/6, Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor. – HARAKAHDAILY 18/2/2016