Hak jagaan, agama anak-anak: tangani secara berhemah

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF | .

MENELITI segala komentar mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam isu perebutan hak jagaan anak-anak di antara Viran Nagapan (Izwan Abdullah) dan bekas isterinya, Deepa Subramaniam, pada 10 Februari lalu ternyata ia satu isu kontroversi yang boleh mengocakkan keharmonian di dalam masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama.

Berbagai-bagai pihak memberikan pandangan berbeza ke atasnya, sesetengahnya memuji jalan tengah yang diambil oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes ini dengan memberikan hak jagaan ke atas Shamila (Nur Nabila) berusia 11 tahun kepada Deepa dan hak jagaan ke atas Mithran (Muhammad Nabil) kepada Izwan berasaskan pilihan Shamila dan Mithran sendiri.

Pada masa yang sama, banyak juga pihak, khususnya pembangkang, pertubuhan keagamaan dan pertubuhan bukan kerajaan, yang menyatakan tidak senang mereka dengan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut kerana ia dikatakan gagal menyelesaikan masalah sebenar yang berlaku di dalam isu ini, termasuklah isu penentuan agama anak-anak Deepa dan Izwan.

Ini kerana Mahkamah Persekutuan tidak membuat sebarang keputusan mengenai penentuan agama Shamila dan Mithran yang telah diIslamkan oleh Izwan pada 4 Januari 2013 setelah Izwan sendiri memeluk Islam pada 26 November 2012, dengan Mithran dibawa tinggal bersama Izwan sejak dari 9 April 2014 manakala Shamila pula menetap bersama Deepa.

Isu kontroversi seperti perebutan hak jagaan anak-anak ini tidak sepatutnya dipolitikkan untuk kepentingan sempit mana-mana pihak seperti tindakan DAP mempolitikkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Disember 2015 membabitkan pertikaian di antara Indira Gandhi Mutho dan bekas suaminya Pathmanathan Krishnan (Muhammad Riduan Abdullah).

Di dalam kes membabitkan cabaran Indira Gandhi ke atas keabsahan tindakan Muhammad Riduan mengIslamkan tiga anak mereka pada 2 April 2009 setelah Muhammad Riduan sendiri memeluk Islam pada 11 Mac 2009, keputusan Mahkamah Rayuan adalah isu keIslaman atau tidak seseorang merupakan bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Mahkamah Rayuan sama turut menjelaskan bahawa isu penentuan agama anak-anak ini telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subashini Rajasingam lawan Saravanan Thangathoray yang menyebut bahawa perkataan ‘ibu bapa’ di dalam Perkara 12(4) Perlembagaan  Persekutuan adalah merujuk kepada salah satu daripada ibu atau bapa sahaja.

Ekoran keputusan ini, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran, telah membawa Indira Gandhi berceramah di seluruh negara, termasuklah di Butterworth pada 21 Januari lalu bersama-sama dua lagi pemimpin kanan DAP, iaitu P Ramasamy dan Chong Eng, bagi menjaja kezaliman sistem kehakiman ke atas bukan Islam.

Kekecohan ini sebenarnya tidak perlu kerana Islam adalah agama Persekutuan, dan Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, telah memberi panduan jelas mengenai perkara ini dalam ucapan beliau sewaktu merasmikan Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia Kali Ke-12 di Bukit Gambang Resort City, Pahang, pada 3 Julai 2010 dahulu.

Tegas Perdana Menteri di dalam ucapan beliau itu: “Kehebatan undang-undang Islam di negara ini pada suatu ketika dahulu begitu terserlah keadilannya. Ia terserlah apabila ia turut menjadi peraturan yang dilaksanakan kepada orang-orang Islam dan bukan Islam.

Sesuai dengan prinsip undang-undang Islam untuk memberi keadilan, sudah tiba masanya Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mengorak langkah proaktif dan terkehadapan bagi memikirkan apakah undang-undang atau kaedah yang sesuai diamalkan di Mahkamah Syariah bagi memutuskan pertikaian yang melibatkan pihak-pihak Islam dan bukan Islam.”

Tegas Perdana Menteri lagi di dalam ucapan sama: “Justeru, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia perlu proaktif, mengambil inisiatif agar prinsip undang-undang Islam untuk memberi keadilan, dapat dirasakan dan dihayati oleh orang Islam dan bukan Islam supaya mereka merasai dan menyelami keindahan undang-undang Islam yang sebenar.”

Tambah Perdana Menteri: “Saya amat berharap agar pegawai syariah proaktif berijtihad dalam pentafsiran hukum syariat yang fleksibel (tidak qat’ie) agar dapat mengembalikan keyakinan umum terhadap keunggulan undang-undang Islam sebagai undang-undang yang menjamin keadilan dan kemaslahatan umum kepada semua pihak tanpa batasan bangsa atau gender.”

Berdasarkan kepada penegasan ini maka jelas bahawa Perdana Menteri mengharapkan agar Mahkamah Syariah memainkan peranannya bagi memutuskan pertikaian yang melibatkan pihak-pihak Islam dan bukan Islam. Perdana Menteri juga jelas mahukan orang Islam dan bukan Islam dapat merasai dan menyelami keindahan undang-undang Islam yang sebenar.

Segala penyelesaian ke atas pertikaian yang melibatkan pihak-pihak Islam dan bukan Islam seharusnya mengambil kira penegasan Perdana Menteri ini. Setelah lebih lima tahun ucapan Perdana Menteri ini dibuat sepatutnya pengurusan tertinggi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah melakukan sesuatu yang konkrit bagi menyahut seruan Perdana Menteri ini.

Fatwa amat penting dalam negara Islam dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 pada 23-25 Jun 2009 telah memutuskan bahawa “apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan adalah secara langsung beragama Islam”.

Sebab itulah juga maka usaha untuk meminda Akta Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 bagi menyelesaikan isu ini perlu dibuat secara lebih berhati-hati dan tidak secara terburu-buru.

Sepertimana yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, pada 12 Februari lalu, kerajaan akan membawa pindaan kepada tiga akta ini ke Parlimen pada Jun ini. Sementara pengumuman ini dialu-alukan, ia seharusnya dirujukkan untuk pertimbangan dan persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu dahulu kerana soal ini menyentuh kuasa mereka.

Pernah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 pada 1 Julai 2002 umpamanya membincangkan pindaan kepada Akta Penjagaan Budak 1961 Hak Sama Rata Kepada Ibu-Ibu Pemakaian Kepada Orang-Orang Islam dan memutuskan bahawa pindaan kepada akta ini bertentangan dengan hukum Islam.

Sejak kebelakangan ini, terdapat tanda-tanda bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam isu perebutan hak jagaan anak-anak di antara Izwan dan Deepa ini turut cuba dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu sedangkan perkara ini sepatutnya tidak berlaku jika semua pihak boleh menghormati undang-undang negara seperti diputuskan oleh mahkamah.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, umpamanya begitu cepat sekali menanyakan di dalam kenyataan media yang dibuat olehnya pada 11 Februari lalu apakah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini maka anak perempuan di bawah jagaan Deepa masih boleh mengamalkan agama Hindu yang dikatakan dianutinya.

Timbalan Setiausaha Agung DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, di dalam kenyataan media yang dibuat olehnya pada 12 Februari pula menyifatkan keputusan ini tidak dibuat mengikut undang-undang dan prinsip keadilan sejagat kerana, dakwanya, mengikut Akta Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976, anak-anak Izwan dan Deepa mempunyai hak untuk dibesarkan di dalam agama Hindu.

Kedua-dua kenyataan Teresa Kok dan P Ramasamy ini terus sahaja diikuti oleh kenyataan Deepa sendiri yang dilaporkan di dalam portal berita The Malaysian Insider pada 14 Februari 2016 sebagai bersumpah bahawa anak-anaknya akan kekal beragama Hindu, sedangkan kenyataan sebegini tidak sepatutnya muncul jika beliau tidak dirangsang tetapi diberikan kefahaman yang sebenar ke atas undang-undang negara seperti diputuskan oleh mahkamah.

Malahan, agak mengejutkan apabila Nancy sendiri dipetik sebagai berkata di dalam laporan akhbar The Star pada 15 Februari lalu bertajuk “Nancy: Let children choose religion at 18” (“Nancy: Biar anak-anak pilih agama pada usia 18 tahun”) bahawa anak-anak Izwan dan Deepa perlu dibiar memilih sendiri agama mereka setelah mereka mencapai usia 18 tahun.

Kenyataan Nancy ini mengingatkan kita kepada kenyataan wartawan The Malay Mail On Line bernama Boo Su-Lyn yang menulis di dalam rencana bertajuk “Children And Religion” (“Kanak-Kanak Dan Agama”) pada 16 Januari lalu bahawa bayi tidak perlu didaftarkan dengan mana-mana agama dan perlu diberi kebebasan untuk mendaftarkan agama mereka setelah matang, dan ini kononnya akan mengatasi masalah penukaran agama kanak-kanak.

Bagaimanapun, sudah tentu Nancy tidak berkongsi pandangan Boo Su-Lyn ini, apatah lagi kerana Nancy adalah beragama Islam manakala Boo Su-Lyn sendiri telah, di dalam satu lagi rencana beliau di dalam portal berita The Malay Mail On Line bertajuk “Why I left the faith” (“Mengapa Saya Meninggalkan Kepercayaan”) pada 7 November 2014, membuat pengakuan terbuka bahawa beliau meninggalkan agama Kristian dan menjadi seorang ateis pada 2012.

Walau apa sekalipun, setiap kenyataan mengenai isu ini perlulah dibuat secara berhemah. Sekalipun Mahkamah Persekutuan tidak membuat keputusan mengenai penentuan agama anak-anak Izwan dan Deepa, apa-apa keputusan mengenai isu ini nanti diyakini akan selari dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subashini, iaitu bahawa pengIslaman secara sepihak anak-anak adalah sah mengikut Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan bersifat provokasi hanya akan mengocakkan keharmonian di dalam masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama. Orang Islam umpamanya boleh sahaja menyebut bahawa disebabkan anak Deepa beragama Islam dan, disebabkan Deepa menetap di Negeri Sembilan, maka adalah menjadi satu kesalahan kepada Deepa atau sesiapa sahaja, di bawah Fasal 5 Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam) (Negeri Sembilan) 1991, untuk mendedahkan anaknya (yang di bawah umur 18 tahun) kepada pengaruh-pengaruh Hindu (suatu agama bukan Islam).

Fasal 5(1) Enakmen ini menyebut bahawa “Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, memaksa, menghasut, menggalakkan, atau membenarkan seorang yang beragama Islam di bawah umur lapan belas tahun- (a) supaya menerima ajaran dalam suatu agama bukan Islam; atau (b) supaya mengambil bahagian dalam apa-apa istiadat, perbuatan menyembah, atau aktiviti keagamaan suatu agama bukan Islam; atau (c) supaya mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti yang dianjurkan atau dikelolakan oleh atau yang dijalankan untuk faedah atau kepentingan suatu agama bukan Islam atau apa-apa badan atau institusi yang berkaitan dengan suatu agama bukan Islam.”

Sebagai hukuman ke atas perlakuan yang dimaksudkan pula, Fasal 5(2) Enakmen ini menyebut bahawa “Mana-mana orang yang melakukan suatu kesalahan di bawah subseksyen (1) hendaklah, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.”

Sebab itulah maka isu hak jagaan dan penentuan agama anak-anak ini tidak boleh dipolitikkan dan perlu ditangani secara sangat berhemah. – HARAKAHDAILY 23/2/2016

Penulis ialah Ketua Kluster Perpaduan Ummah dan Politik, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), dan Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia