Saudagar fotostat paduan mahir dua sahabat

IZWAN ABDUL HALIM | .

BERTUKAR dari satu perniagaan kepada perniagaan lain sebenarnya bukanlah meninggalkan kegagalan.

Hakikat sebenarnya adalah menempuh pengalaman dan ilmu berkenaan selok belok dan kerencaman dalam perniagaan.

Paling penting adalah jiwa usahawan yang tidak pernah putus asa, sebaliknya terus berusaha dan meneroka.

Semangat itulah ditunjukkan Abdul Samad Abd Aziz yang kini mengusahakan perniagaan mesin fotostat sama ada perkhidmatan jual beli, sewaan, alat ganti dan seumpamanya.

Walaupun perniagaan dan perkhidmatan ini lazimnya didominasi kaum lain di negara ini, namun beliau yakin untuk berjaya dengan menyematkan perjuangan Sahabat Nabi, Abdul Rahman Auf sebagai sumber inspirasinya.

Dahulunya beliau pernah mengusahakan perniagaan makanan, berniaga ‘steamboat’ di tepi jalan, berniaga air di bazar Ramadan, berniaga kerepek dan kuih raya, menjual buku-buku agama serta terlibat dengan industri takaful.

Namun, pengalamannya dalam perniagaan terdahulu itu telah memahirkan beliau dengan pemasaran.

Digabungkan pula dengan kepakaran sahabatnya, Uwais Al Qarni Kamil yang pernah berkhidmat dengan syarikat mesin fotostat selama 4 tahun, akhirnya mereka sepakat menubuhkan syarikat Saudagar Copier Solutions.

Paduan itu ternyata berhasil, dari hari ke hari perniagaan mereka kian berkembang dan berupaya berurus niaga dengan banyak kedai, kilang industri, pejabat kerajaan dan swasta.

Menurut Samad, beliau bersyukur ke hadrat Allah kerana terus istiqamah menjayakan minatnya berniaga sejak dari muda dan membawa perkenalan dengan Uwais hingga tercetusnya perniagaan bersama itu.

Ujarnya, walaupun tidak memiliki modal perniagaan yang banyak, syarikat mereka dapat memenuhi permintaan dibuat pelanggan dalam menguruskan jual beli, sewaan atau perkhidmatan penyelenggaraan berkaitan.

Mereka sedia pergi lebih jauh dan memikul cabaran dalam bidang perniagaan tersebut, mereka turut mewujudkan fanpages facebook Saudagar Fotostat untuk berinteraksi dengan lebih ramai pihak.

Orang ramai yang berminat berurus niaga dan menggunakan perkhidmatan Saudagar Copier Solutions boleh menghubungi mereka di talian 012-9329457 (Abdul Samad) atau 014-3622500 (Uwais) selain kedai mereka beralamat di No.5C, Jalan 8A, Lembah Jaya Selatan, 68000 Ampang, Selangor. – HARAKAHDAILY 25/2/2016