Asnah Hashim: Bekas guru besar berjiwa seni

MOHD SABRI SAID | .

Cikgu Asnah (kiri) sentiasa bertukar fikiran dengan rakan-rakan.

SIAPA pun tidak menduga Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang yang juga bekas guru besar, Asnah Hashim mempunyai jiwa seni yang mendalam.

Sewaktu di zaman remaja beliau bergiat aktif dalam Persatuan Belia 4B di kampungnya Sungai Ara. Beliau pernah berlakon drama pentas dan bergerak bersama persatuan belia yang dianggotainya. Drama 'Uda dan Dara' merupakan antara drama pentas lakonannya.

Bukan hanya aktif di pentas drama, beliau juga aktif di padang. Semasa di  Sekolah Rendah  Kebangsaan Sungai Ara dan Sekolah Inggeris Bayan Lepas beliau menyertai acara bola jaring, lari 100 meter dan 400 meter. Minat terhadap sukan diteruskan sewaktu beliau meneruskan pengajian menengah di Sekolah Menengah St George, Balik Pulau dan seterusnya bakat tersebut terus digilap semasa belajar di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka (MPPM).

Beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh, Seberang Perai Selatan pada 1970 selama dua tahun. Kemudian beliau ditempatkan ke Sekolah St Xavier selama 15 tahun.

Kerjayanya sebagai pendidik semakin mencabar apabila beliau dilantik sebagai Penolong Kanan 2 di Sekolah Rendah Bayan Lepas dan seterusnya sebagai  Penolong Kanan 1 di Sekolah Convent Lebuh Light dan Penyelia Petang di Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor.

Sebelum bersara pada tahun 2002, wanita yang mesra disapa Cikgu Asnah ini memegang tanggungjawab sebagai guru besar di  Sekolah Kebangsaan Seri Tanjung serta Sekolah Kebangsaan Jelutung. Beliau bersara dari arena perguruan semasa berkkhidmat di Sekolah Kebangsaan Teluk Kumbar.

Menyentuh penglibatanya dalam bidang politik, beliau bermula dalam Umno sewaktu bersama Belia 4B. Namun beliau melihat ada sesuatu yang tidak kena dengan Umno setelah berlakunya perpecahan parti itu pada 1987 sehingga lahirnya Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.

Pertandingan dua kumpulan dalaman Umno waktu itu merebut jawatan presiden antara Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh manakala timbalan presiden Datuk Musa Hitam mencabar Ghafar Baba.

Pada Pilihan Raya Umum ke-8,  suaminya,  Mohd Nor Samad dicalonkan mewakili Parti Melayu S46 bertanding menentang Dr Rahman Abas yang kini Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Dun Bertam.

Bermula daripada situlah  berputik perasaan cintakan PAS apabila beliau melihat sendiri kesungguhan, keikhlasan dan ketabahan muslimat membantu calon S46 yang suatu ketika dahulu merupakan musuh politik PAS.

Dari situlah juga beliau berjinak dengan program PAS, berkawan dengan rakan muslimat PAS serta bertukar pandangan berkaitan hal politik semasa ketika itu.

Selepas bersara dan berkecimpung secara langsung dalam parti gerakan Islam, PAS terus 'meminang' beliau untuk diamanahkan sebagai calon PRU12 menentang calon Barisan Nasional (BN), Syed Ameerudin Syed Ahmad di Dun Bayan Lepas.

Walaupun kalah pada PRU12, beliau terus mendapat mandat sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat pada PRU13 di Dun yang sama.

Kalah menang baginya bukan kayu ukur untuk terus membantu rakyat. Sebaliknya pengorbanan dan semangat yang tinggi paling berharga dalam berpolitik.

Beliau sempat bertindak sebagai Penyelaras Dun Bayan Lepas buat seketika sewaktu berada dalam Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Sehingga  kini beliau terus berbakti dengan penganjuran program kemasyarakatan anjuran PAS kerana baginya prinsip pengorbanan amat penting sebagai seorang pejuang yang mahu melihat perundangan Islam dimartabatkan di Malaysia. - HARAKAHDAILY 3/3/2016