Pak Do Barat dan sisi kehidupan rakyat marhaen

DR AZMAN IBRAHIM | .

Tragedi seorang wanita berusia 37 tahun yang maut dalam keadaan tragis dengan badannya hancur digilis kenderaan dalam kejadian langgar lari di Kampung Anak Ikan, Jabi pada dinihari 1 Mac, 2 hari lepas sangat menyedihkan.

Semalam PAS Dun Jabi mengunjungi bapa Allahyarham yang dikenali sebagai Jusoh Sulaiman atau mesra dipanggil Pak Do Barat berusia 76 tahun di Kampung Anak Ikan, Jabi.

Kunjungan yang mengungkap sisi pilu kehidupan rakyat marhaen yang tak diketahui ramai.

“Ambo duduk sorang loni, anak mati kena tepoh (langgar) mmaring…” sayu luahan Pak Do Barat kepada kami.

Walaupun Allahyarhamah mangsa kemalangan maut tersebut dimaklumkan adalah insan istimewa yang mempunyai sedikit kurang upaya dari segi mental, tetapi sekurang-kurangnya dia menjadi peneman Pak Do Barat selama ini.

Dalam usia yang lanjut sebegitu, ditambah pula Pak Do Barat mempunyai kecacatan di bahagian mata serta tinggal bersedirian di rumah, kehidupan seharian yang dilalui Pak Do Barat sangat menyentuh hati kami.

Rumah tempat tinggal beliau hanya cukup syarat untuk dipanggil rumah. Jauh untuk nak diistilahkan sebagai kediaman yang selesa.

Kerja beliau dari muda lagi mengambil upah mengupas kelapa atau ‘koyok nyior’ mengiku istilah orang Besut dengan pendapatan yang tak seberapa. Mudah untuk difahami akan kesukaran hidup yang dilalui Pak Do Barat.

Atas semangat bukan sekadar mata memandang, tapi biarlah sama bahu memikul, PAS Jabi mengambil inisiatif dengan bantuan para dermawan untuk menyediakan bantuan bulanan sekadar yang termampu kepada Pak Do Barat.

Biarlah, walaupun Pak Do Barat dikenali di Kampung Anak Ikan sebagai penyokong tegar parti dacing. Simpati kita atas dasar kemanusian dan rasa bersama kita sesama manusia. Kebajikan tanpa sempadan politik amalan kita.

Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kami. - HARAKAHDAILY 3/3/2016

Penulis ialah Pengarah Majlis Tindakan Dun Jabi merangkap Ketua Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu.