Ibtisam Zahra’ produk untuk anak-anak muslimah

IZWAN ABDUL HALIM | .

 

MENURUT pemerhatiannya sukar untuk menemui pakaian menutup aurat dengan harga yang berpatutan dan selesa terutama bagi keperluan anak-anak perempuan. Walaupun sebenarnya belum mempunyai anak perempuan, tetapi padanya pendidikan berkaitan aurat mesti diterapkan sejak kecil.

Detik itulah yang menerbitkan idea dan tekadnya untuk mengeluarkan produk sendiri. Akhirnya lahirlah tudung untuk kanak-kanak Muslimah dengan jenama Ibtisam Zahra’.

Bagi Zainirah Aziz (Gambar kanan), usahanya itu adalah satu perjuangan dalam memenuhi segmen fardu kifayah. Malah, beliau mengambil cuti tanpa gaji dari tugasnya sebagai guru selepas melahirkan anak keempat demi memberi fokus kepada minatnya dalam perniagaan.

Pun begitu, hasrat beliau untuk serius kepada perniagaan teruji dengan kesihatan anaknya, menyebabkan tumpuan perlu dibahagikan. Namun, bekas graduan Siasah Syar’iyyah Universiti Malaya ini mencabar diri, beliau bersungguh-sungguh untuk menjayakan perancangannya.

Sambutan menggalakkan terhadap Ibtisam Zahra mendorong kebangkitan semangatnya yang membuak untuk pergi lebih jauh. Tidak memadai dengan peranan agen dalam memasarkan produknya, beliau menyewa pula premis khas. Tetapi sempat bertahan selama dua bulan setelah mengambil kira kekangan dan kos operasi yang kian meningkat atas faktor ekonomi tidak menentu.

Jelas jiwa keusahawan yang telah menyubur sejak di alam persekolahan itu tidak memadamkan cita-citanya. Zainirah mengambil inisiatif menempuh keadaan itu dengan mengadakan jualan pada program-program keramaian.

Malah, beliau tidak membataskan jualannya secara langsung semata, si ibu kepada empat cahaya mata ini meneroka dunia tanpa sempadan. Beliau meluaskan pasarannya dengan menceburi jualan secara dalam talian (online). Rupanya, berniaga secara ‘online’ lebih memenatkan dan berkejaran.

“Kerana ia mengambil masa yang cukup banyak dan memerlukan penumpuan lebih. Tidak semudah yang disangka oleh kebanyakan pihak. Kerja di sebalik jualan ‘online’ hakikatnya memerlukan saya bergerak seperti sotong. Prosesnya ada banyak.

“Saya perlu ada stok. Perlu ada gambar yang cantik, saya perlu ‘edit’ gambar,
muat naik gambar, menulis, mempromosi. Melayan pelanggan dengan memikirkan ayat ‘close sale’ yang sesuai. Silap gaya, pelanggan diam menyepi.

“Saya perlu mengepos barang, menambah stok barang dan pelbagai lagi tugas lain. Terutamanya bahagian pemasaran dan jualan, sangat meruntun waktu yang banyak,” ujar Zainirah.

Sehingga hari ini, isteri kepada Jurulatih Teknikal Telekom itu cekal gigih merangka pelbagai strategi untuk membawa perniagaannya melepasi fasa-fasa kritikal tiga tahun pertama.

Mereka yang berminat mendapatkan produk beliau atau menjadi rakan perniagaannya dipelawa mendapatkan info lanjut di laman facebook atau instagram Ibtisam Zahra’ atau menghubungi beliau menerusi WhatsApp 013-3087827. – HARAKAHDAILY 4/3/2016