Bermula sekadar suka-suka, kini usahawan muda

IZWAN ABDUL HALIM | .

MEMASAK bukanlah minat beliau yang lebih suka mengemas, tetapi dorongan sahabat-sahabat terdekat banyak mempengaruhinya untuk mencuba.

Begitulah detik seorang remaja, Amiratul Awatif Ghazali atau lebih mesra dengan panggilan Amie ketika mula ‘terjebak’ dalam perniagaan.

Sekadar suka-suka membuat ‘trifle’ yang ditiru resepinya dari internet, tanpa dijangka beliau kini sedang berdiri sebagai seorang usahawan muda, serta menjadi tenaga pengajar kelas memasak kanak-kanak, selain menulis buku resepi.

Selepas ‘trifle’, beliau menghasilkan pula pelbagai jenis coklat yang mendapat tempahan memberangsangkan sebagai ‘doorgift’, hadiah hari jadi, hantaran pertunangan atau perkahwinan dan sebagainya.

Tetapi hasratnya lebih kepada untuk memudahkan kerja sahabat-sahabatnya yang kesibukan dan paling utama adalah menyediakan mereka dengan pilihan terjamin bersih dan halalnya.

Menurut Amie, beliau memulakan perniagaannya itu dengan modal hanya RM200 dan amat bergantung kepada tempahan di mana beliau lebih memfokus kepada ‘doorgift’, hantaran dan ‘dessert’.

Katanya, cabaran dalam menyiapkan tempahan yang banyak hinggakan beliau pernah tidak sempat tidur dan makan kerana dilakukan seorang diri.

Hanya apabila tidak mampu disiapkan atau kesuntukan masa, barulah beliau meminta tolong daripada ibunya.

“Pengalaman yang tak boleh dilupakan, pernah saya dapat tempahan 300 ‘marshmallow’ dan apabila siap, pelanggan tiba-tiba membatalkan. Silap saya sebab tak ambil deposit. Lepas tu selalu beringat ambil deposit walaupun dengan teman-teman,” ceritanya.

Hasrat Amie, beliau mahu mengembangkan lagi perniagaannya itu dan akan menggunakan khidmat agen untuk jualan ‘trifle’ di sekitar Gombak.

Beliau juga mahu menjadikan kelas “Cookids With Chomie” yang dianjurkannya diperluaskan di kebanyakan pra-sekolah atau ketika musim-musim cuti persekolahan.

Tempahan boleh dilakukan dengan menghubungi Amie atau WhatsApp talian 013-6280281 atau menerusi laman facebook ‘Chomie Choc’ juga instagram ‘Chomiechoc’. – HARAKAHDAILY 9/3/2016