Dr Mohd Fuad: Tukar sekolah demi ilmu agama

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

Dr Fuad juga aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

AHLI Jawatankuasa Kerja PAS Pusat ini sanggup bertukar empat buah sekolah semata-mata untuk mempelajari pendidikan Islam ketika di bangku sekolah rendah lagi.

Dari Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Anam Segamat beliau berpindah ke SK Parit Lima Muar. Kemudian beliau berpindah pula ke SK Sungai Balang dan SK Parit Nawi sehingga darjah enam sebelum ke Sekolah Tinggi Muar.

Bagi Dr Mohd Fuad Mohd Salleh, perpindahan tersebut dilakukan bagi menyelaraskan antara pendidikan akademik dan agama kerana kerajaan negeri Johor pada ketika itu tidak menetapkan waktu khas untuk pelajaran agama.

Namun, beliau terpaksa tabah serta menyesuaikan diri dengan keadaan itu bagi memotivasi diri sendiri dalam mendapat siraman dan keberkatan ilmu agama.

Anak kedua daripada 10 adik beradik itu merupakan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah turut berjaya dalam kegiatan kokurikulum di sekolah.

Ketika di sekolah menengah, beliau menyertai persatuan Bahasa Melayu dan  aktif menulis sehingga artikelnya pernah disiarkan dalamsebuah akhbar di tanah air.

Selain aktif dalam pertandingan deklamasi sajak, beliau juga   mewakili sekolah sehingga berjaya ke peringkat  daerah  dalam pertandingan perbualan Bahasa Inggeris. Bukan itu sahaja, beliau juga mewakili daerah dalam pertandingan musabaqah al-Quran.

Dilahirkan pada tahun 1963 di Muar, beliau mendapat pendidikan menengah sehingga tingkatan lima di Sekolah Tinggi Muar sebelum melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara (ITM), kini dikenali Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ketika di institusi pengajian tinggi itu pada 1981, beliau mula mengenali PAS dan mendekati parti itu pada 1982 secara rasmi walaupun masih belajar dalam kampus lagi.

Lebih awal lagi,  Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat ini mengenali PAS pada tahun 1979 kerana ayahnya merupakan Setiausaha Cawangan dan Bahagian Umno yang merupakan lawan PAS dalam setiap pilihan raya.

Golongan mahasiswa pada ketika itu cukup lantang menentang setiap dasar kerajaan yang dilihat menzalimi rakyat seperti peristiwa Baling ketika negara dalam ancaman komunis.

Antara pimpinan pelajar yang paling menonjol  ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang  seterusnya menyertai Umno selepas meninggalkan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada bulan Mac 1982.

Langkah itu tidak diikuti oleh Mohd Fuad walaupun beliau menyertai Abim sebagai langkah pertama penglibatan beliau dalam arena politik Islam di negara ini.

Walaupun mantan ketuanya menyertai parti pemerintah, namun beliau memilih untuk kekal dalam Abim. Malah beliau pernah menolak tawaran untuk menyertai parti Melayu itu.

Bagaimanapun beliau mengambil keputusan menyertai PAS selepas melihat sendiri perkembangan politik ketika itu apabila berlaku pertembungan antara Islam dan sekular.

"Saya tidak nampak Abim boleh memberi banyak sumbangan di dalam politik walaupun  ada sumbanganya dalam masyarakat Sebab itu saya terlibat secara aktif bersama PAS hingga hari ini," kata beliau yang merupakan tenaga pengajar di Universiti Selangor (Unisel), Shah Alam sejak tahun 2011.

Menceritakan lebih lanjut mengenai pendidikannya, beliau memperolehi Diploma Pentadbiran Awam dari ITM  pada 1984 dan terus berkhidmat di Lembaga Pertubuhan Peladang (Peladang) sebaik sahaja tamat pengajian.

Cita-cita untuk menuntut ilmu tidak terhenti walaupun telah mempunyai pekerjaan tetap. Beliau pernah memohon cuti untuk sambung belajar, namun permohonannya tidak diluluskan. Justeru beliau terpaksa cuti tanpa gaji semata-mata hasrat beliau untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Beliau juga pernah berada tiga tahun di Amerika Syarikat sewaktu mengikuti ijazah sarjana muda dalam bidang perakaunan di Westwern Michigan Universiti dan Edinboro University of Pennsylvania.

Bapa kepada lapan orang cahaya mata itu menceritakan,  beliau pernah mencari rezeki di negara berkenaan selama setahun

Kerjaya pertama selepas sekembalinya ke tanah air ialah pensyarah sambilan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pensyarah penuh selepas menamatkan ijazah sarjana (Master) dari Universiti Putra Malaysia dalam bidang sumber manusia.

Pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PHD) dalam bidang yang sama tetapi pengkhususan dalam bidang pengurusan konflik UKM itu berkhidmat dengan UTM sehingga 2010 sebelum menyertai Unisel.

Datuk kepada tiga orang cucu ini bercita-cita untuk memiliki tanah yang luas bagi merealisasikan aktiviti masa lapangnya  yang gemar bercucuk tanam, selain bermain badminton dan memancing.

Ia merupakan hasratnya selepas bersara. Malah ketika  berpindah dari rumah sewa sebelum ini pun, beliau sanggup membawa sekali tanamannya dalam sebuah pasu besar walaupun terpaksa berulang alik beberapa kali. - HARAKAHDAILY 11/3/2016