Tenang berhadapan provokasi

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

DATUK Takiyuddin Hassan tidak memilih PAS kerana idola, sebaliknya beliau memilih parti Islam itu selepas memahami dasar perjuangan PAS yang Islamik serta boleh diterima oleh semua pihak.

Setiausaha Agung PAS ini turut memilih PAS kerana pendirian perjuangannya yang dipacu oleh dua asas utama dalam sistem perundangan Islam iaitu al-Quran dan Hadis.

"Saya memilih PAS bukan kerana idola, tetapi kerana asas perjuangannya," katanya ketika ditemui pada sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Menurutnya, sebelum menyertai PAS beliau melakukan pelbagai kajian serta meninjau pendapat  tentang dasar organisasi PAS daripada pelbagai sumber. Setelah segalanya meyakinkan, akhirnya PAS menjadi pilihan kalbunya.

Ahli Parlimen Kota Bharu ini melihat di Malaysia, organisasi yang berteraskan prinsip Islam sama ada dari sudut politik, sosial dan ekonomi hanyalah PAS. Justeru, pengamal undang-undang ini memilih PAS.

Beliau yang lebih mesra dipanggil 'Datuk Taki' sebenarnya merupakan anak kelahiran Kampung Kemelong, Sik, Kedah. Namun beliau berhijrah ke Kelantan pada 1985 dan terus menetap dan menjadi 'rakyat' Kelantan sehingga kini.

Menceritakan zaman persekolahannya, semenjak di bangku sekolah lagi beliau merupakan  seorang pelajar yang aktif dengan kegiatan di luar darjah tidak kira semasa di sekolah rendah atau sekolah menengah.

Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu Lima, Sik, beliau kemudiannya melanjutkan pengajian menengahnya di Maktab Mahmud, Alor Star sehingga tingkatan tiga  dan seterusnya ke Kolej Islam Klang (kini dikenali Kolej Islam Sultan Alam Shah).

Kejayaan cemerlang beliau di dalam Sijil Tinggi Pelajaran (STP) membolehkan beliau menyambung  pengajian ke Universiti Malaya dalam bidang perundangan.

Ketika berada di  Universiti Malaya, beliau bergiat dengan pelbagai kegiatan politik mahasiswa sehingga pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pada tahun 1983.

Selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-undang, di Universiti Malaya pada tahun 1986, beliau tidak terus terjun dalam bidang politik, sebaliknya memilih untuk menimpa pengalaman kerja serta membina asas kehidupan terlebih dahulu biar kukuh.

Beliau mengakhiri zaman bujang bersama Datin Hariza Yusoff yang merupakan seorang pendidik serta dikurniakan lima orang cahaya mata.

Pekerjaan pertama beliau sebagai 'fresh graduan' ketika itu adalah Majistret di Kota Bharu, kemudiannya di Pasir Mas, Kelantan sehingga beliau ditawarkan menjadi Rakan Kongsi di sebuah firma guaman terkenal di Kota Bharu pada tahun 1989.

Sebagai pengamal undang-undang, beliau memainkan peranan penting dalam memberi nasihat khususnya kepada PAS Kelantan dan juga kerajaan negeri dalam beberapa kes saman di mahkamah.

Antara kes yang berjaya diselesaikan seperti kes Petisyen Pilihanraya pada tahun 2004 yang dianggap terlalu rumit untuk dirungkai oleh banyak pihak. Semasa itu PAS hanya memenangi 24 kerusi Dun dalam Pilihanraya Umum 2004, manakala BN/Umno memenangi 21 kerusi (kemudiannyanya menjadi 23 (PAS) dan 22 (BN/Umno) selepas Pilihanraya Kecil Pengkalan Pasir).

Menurutnya walaupun tidak terus terlibat dengan mana-mana parti politik selepas menamatkan pengajian kerana menjadi penjawat awam, beliau ketika itu telah bergiat aktif dalam badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Menyentuh penglibatannya dalam politik, beliau menyertai PAS pada tahun 1985. Setelah itu beliau diamanahkan dengan pelbagai jawatan antaranya Setiausaha Pemuda PAS Kelantan (semasa Datuk Husam Musa menjadi ketua) diikuti sebagai Ketua Pemuda PAS Kelantan.
 
Kemudian beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan Negeri, Setiausaha Perhubungan dan Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan. Di peringkat PAS Kawasan beliau pernah menjadi Setiausaha Kawasan dan Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Kota Bharu.

Bermula dengan Pilihanraya Umum 1999, beliau  diamanahkan bertanding di Dun Bunut Payong dan memenanginya selama tiga penggal berturut-turut iaitu 1999, 2004 dan 2008. Beliau turut dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Kelantan mulai 1999 sehinggalah beliau bertanding dan memenangi Parlimen Kota Bharu pada Pilihan raya Umum 2013.

Pelbagai tanggungjawab terpaksa dipikul olehnya sehingga terpaksa melupakan beberapa hobi beliau sebelum menjadi orang penting dalam masyarakat iaitu membaca.

Selain menelaah bahan bacaan terutama jurnal-jurnal perundangan dan isu semasa, beliau amat mengemari aktiviti sukan sejak alam persekolahan lagi. Penglibatannya dalam organisasi sukan khususnya bolasepak membawa beliau menjawat sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak tahun 2014 (di bawah kepimpinan KDYTM Tengku Mahkota Pahang sebagai Presiden) di samping Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM) lebih dari 10 tahun.

"Hobi saya membaca, tetapi dengan banyak tugas, ia tidak tertunai. Keduanya ialah sukan. Sekarang ini saya terlibat dalam beberapa persatuan sukan sebagai pentadbir, tidak lagi bermain," jelas beliau sambil tersenyum.

Baginya, jawatan Setiausaha Agung PAS bukanlah secara ‘bidan terjun’ diberikan kepada Takiyuddin kerana sebelum ini beliau telah 'dilatih’ selama lima tahun sebagai Penolong Setiausaha Agung dibawah Datuk Mustafa Ali. Beliau juga adalah Pengarah Muktamar PAS sejak 2009 sehingga yang terakhir tahun 2015 yang lalu.

Beliau menganggap semua pengalaman kehidupan berkenaan merupakan ramuan terbaik bagi beliau menghadapi situasi panas politik negara. Maka tidak hairanlah, beliau sentiasa tenang dan bersahaja tatkala ‘dihurung’ ramai wartawan dengan mengajukan pelbagai soalan provokasi kepadanya. - HARAKAHDAILY 17/3/2016