Kisah pemandu lori 3 tan jaga mertua

USTAZ ROSLI ABD JABAR | .

SAYA ke rumahnya waktu dia bekerja, isterinya ada dirumah, "saya dah lama berhenti kerja", kata isterinya. Jaga Mak dan adik. Maknya terlantar strok 4 tahun lalu, adik perempuannya sakit mental selepas demam panas ketika usianya 4 tahun.

Anaknya 5 orang, 3 orang telah pun bersekolah, rumahnya agak sempit, namun agak tersusun rapi.

"Saya bersyukur sangat-sangat dapat suami yang bertimbang rasa, dulu adik saya bersama mak tinggal diKampung, setelah dia sakit saya minta izin bawa kerumah, Alhamdulillah suami saya izinkan".

"Pagi-pagi sebelum kerja, suami sayalah yang mengangkat mak ke bilik air, saya mandikan, lepas tu angkat semula ke katil, dah siap uruskan mak barulah dia pergi kerja, petang nanti dia juga yang uruskan mak, barulah dia ke masjid", ceritanya kepada saya.

"Pintu rumah ni sentiasa berkunci, kalau tak adik akan keluar merayau".

Suaminya bukanlah seorang berjawatan, kerja biasa je, pandu lori 3 tan, sewa pengangkutan, pendapatan sekadarnya sahaja, tapi dia taatkan Allah, sentiasa ke Masjid dan sering membantu kerja-kerja parti, cuma sejak mak mertua dan adik iparnya yang sakit tinggal di rumah dia sukar untuk hadir ke program PAS yang agak jauh dan terpaksa bermalam.

Bukan mudah untuk seorang suami untuk menanggung beban menjaga ibu mertua dan adik yang sakit. Sebab tu isterinya agak sebak apabila ceritakan kebaikannya "tak pernah dia berkasar, saya pula yang kadang-kadang mengeluh, tapi suami selalu nasihat agar jangan mengeluh agar penat lelah kita jaga mak dan adik dapat pahala." Cerita isterinya.

"Pernah dia marah kat saya, bila saya lambat sikit suapkan susu untuk mak dan tidak menukar pakaian adik saya". Begitu dia mengambil berat terhadap mak saya. "Duit kalau hilang boleh cari lagi, tapi mak kalau dah hilang nanti, takkan boleh diganti," begitulah kata suaminya kepadanya.

Suaminya jenis tak banyak bercakap tapi sering tersenyum, kalau kereta saya berselisih dengan lori 3 tannya sering dia bunyikan hon 3 kali, kod dia lah tu.

"Kalau isteri saya derhaka pada mak dia, saya juga yang berdosa", begitulah katanya bila saya memuji kebaikan dia.

Kekadang isterinya mengeluh juga sebab keluarganya tak seperti dulu, kalau dulu sering juga hujung-hujung bulan bawa keluarga berjalan-jalan, berkelah dan sebagainya, tapi sejak mak mertua dan adiknya yang kini berusia 28 tahun tinggal di rumah, semua kegembiraan itu terpaksa dikorbankan. Itulah yang menyebabkan isterinya kadang-kadang mengeluh. Tapi dialah yang tenangkan dan memujuk isterinya agar sabar dan redha dengan ujian Allah.

"Ustaz pernah ngajar dulu, saya ingat lagi, Ustaz kata, kalau kita kawin, bukan sahaja kita ambil apa yang seronok ketika bersama isteri, tapi kita juga kena ambil apa jua kesusahan dia," katanya ketika kami bersembang selepas kuliah. Saya mampu senyum je, betul itu ucapan saya, tapi saya tidak mengalami situasi seperti dia, tak tahulah, cuma saya berdoa, jika berlaku seperti dia, biarlah saya sekuat dan sebaik dia.

Kopiah hijau kat atas kepalanya macam melekat dengan gam, tak rajin cabut. Dari dulu sampai sekarang, itulah identitinya. T-shirt dia sokmo ada logo bulan, jarang-jarang baju lain kecuali pergi masjid, itupun kuliah maghrib kat tempat dia baru ni, dia pakai baju "Istiqamah Hingga Kemenangan", siap ada gambar TGHH lagi.

"Insya-Allah Ustaz, doakan saya moga sentiasa sabar dan istiqamah sebab mak mertua dan adik saya tu, kalau ikut adat, memang tak ada harapan sembuh, tak tahulah berapa lama lagi saya mesti menjaganya. Kalau boleh biarlah saya jaga sampai akhir hayatnya. Moga saya dan Isteri tak jadi derhaka, hidup di dunia ni dah lah tak senang macam orang lain, bimbang nanti azab pulak kat neraka," katanya.

"Insya-Allah" kata saya. Apa yang saya boleh katakan dia mungkin insan "satu dalam sejuta". Sabar, tabah, taat, lubuk hatinya dipenuhi oleh Allah dengan kasih sayang dan ihsan walaupun dia bukan seorang Ustaz apatah lagi seorang Ulama.

Namun dia seorang pemandu lori yang mampu memandu isteri dan keluarga ke jalan yang diredhai oleh Allah. – HARAKAHDAILY 23/3/2016