Musuh PAS tetap Umno

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

POLITIK itu adalah suatu seni yang serba kemungkinan. Jika kita tanya orang politik, jawapannya semua boleh. Sebab itu politik juga disebut sebagai “arts of possibilities”.

Jika hari ini kawan, belum tentu esok tak jadi lawan. Jika hari ini musuh, boleh jadi esok yang disuluh bukan lagi musuh.

Itulah serba ringkas karenah politik dalam bahasa yang paling mudah dapat saya coretkan. Justeru, apakah sikap yang sama harus diiktiqadkan oleh Parti Islam Se-Malaysia, PAS? Bagi PAS sebagai badan siasah Islam, tentu sekali tidak.

Namun PAS tertakluk kepada pelakunya juga. Mungkin saja dari kalangan pelaku-pelaku dalam PAS sama ada hari ini atau semalam mengambil sikap untuk mengutamakan kepada sifir politik semata-mata. Suasana inilah yang harus difahami oleh setiap ahli, penyokong atau pendokong PAS.

Mahu tidak mahu, PAS perlu diterajui oleh mereka yang benar-benar faqeh dan faham hukum dan mampu memahami helah gendang dalam politik. Pada pengamatan saya, itulah yang sedang berlaku hari ini. Jika tanggapan saya ini salah, ahli-ahli PAS bebas saja membuat perubahan dalam pemilihan sewaktu tiba muktamar kelak.

Saya cuba berlaku adil kepada penyokong-penyokong PAS yang masih menyimpan rasa gundah bila PAS tidak lagi menjadi anggota pakatan dalam gagasan Pakatan Rakyat, PR. Diakui betapa sejarah telah memaparkan PR adalah satu-satunya gabungan politik yang mampu memecahkan penguasaan Barisan Nasional BN di Malaysia. Itu fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan.

Pun begitu, sejarah itu boleh saja berulang dalam suasana yang berbeza. BN mungkin saja lumpuh sebagaimana lumpuhnya mereka di tangan PR. Dalam suasana tiada lagi PR, fakta ini tidak mustahil berlaku dalam suasana yang berlainan.

Mengambil kira politik itu serba kemungkinan, senario ini harus juga diambilkira oleh para penyokong PAS dengan apa yang sedang diusahakan oleh pimpinan PAS hari ini. Jika dapat saya ulangi dalam penulisan ini, lawan PAS tetap parti United Malay National Organisation - Umno dan BN.

PAS memusuhi Umno dan BN bukan sekadar kerana penyelewengan dan kedurjanaan yang dilakukan. PAS menentang mereka kerana PAS yakin, kita ada alternatif lebih baik dari apa yang dilaksanakan Umno dan BN hari ini. Apa yang PAS sedia tawarkan adalah apa yang ditetapkan dalam al-Quran dan Sunnah.

Jika ada kelemahan pada PAS, itu bukan kerana al-Quran dan Sunnah itu yang lemah. Yang lemah dan yang kurang itu adalah individu dalam PAS itu sendiri. Itulah yang sedang diperbaiki semasa ke semasa oleh PAS.

Jika ada yang menganggap PAS lah yang memecahkan PR sekaligus memberi hayat kepada Umno dan BN, saranan saya halusilah setiap fakta dan situasi lalu dengan penuh cermat dan keterbukaan.

PAS menentang Umno dan BN bukan setahun dua atau sepuluh dua puluh tahun ini saja. PAS menentang Umno dan BN bukan saja atas faktor isu dan hal-ehwal semasa semata-mata. Itulah pendirian PAS yang harus difahami oleh rakyat. Agenda kita tetap menggantikan Umno dan BN. – HARAKAHDAILY 23/3/2016