Al-khairi mahu ke pasaran Makkah

IZWAN ABDUL HALIM | .

EMOSI Mohd Khairi Salleh terusik apabila para jamaah umrah yang baharu sahaja selesai bertawaf dilihatnya meminum Pepsi dan Coca Cola.

Dari tekad untuk mengubah landskap budaya itulah tercetusnya idea menghasilkan minuman berkarbonat kurma pegaga yang menjadi produk utama perniagaan beliau kini.

Hasrat Khairi, beliau mahu menjadikan produknya itu sebagai minuman sihat yang menjadi alternatif kepada peminum tegar Pepsi dan Coca Cola.

Apatah lagi ia adalah dari campuran berasaskan makanan sunnah termasuk habbatus sauda’, buah tin dan juga madu.

Malah, minuman yang dikeluarkan dengan jenama ‘Al-Khairi’ dalam botol plastik itu juga mesra kepada pengidap diabetis kerana menggunakan serbuk stevia sebagai pemanis menggantikan gula.

Pun begitu, beliau pada masa ini belum mampu untuk memasuki pasaran Negara Arab khususnya Makkah dan Madinah kerana kapasiti kilang yang kecil dan dijalankan secara manual, selain syarat eksport juga menetapkan minuman mesti ditinkan.

Namun, keazamannya itu tidak pernah bubar dan kesungguhan Khairi berbayar apabila minuman tersebut semakin meluas dijual menerusi rangkaian 250 pengedar terutama di utara tanah air dan Selangor.

Dengan lapan pekerja, kilangnya kini berupaya mengeluarkan sehingga 2,000 karton minuman kurma pegaga sebulan.

Menurut Khairi, penglibatan beliau dalam perniagaan adalah kerana ia merupakan sebahagian dari pada sunnah Rasulullah SAW, selain boleh memberi pekerjaan pada orang lain.

Ujarnya, beliau mahu menumpu kepada pengeluaran dan pemasaran produk minuman dan makanan Muslim kerana menyedari ia masih kurang untuk bersaing dengan produk lain di pasaran.

Tegas beliau, usahawan Muslim perlu mengambil tanggung jawab ini dan berani mencabar pasaran sehingga lama kelamaan diterima juga.

Kerana katanya, pasaran ditentukan oleh permintaan pengguna sebagaimana kemampuan telah dibuktikan produk jenama Muslim jenama Pertima dan Hilal yang telah memasuki arus perdana.   

Dalam menjalankan perniagaannya, Khairi selaku pengurus syarikat turut mendapat dorongan dan suntikan idea dari pengurus kilang pengeluaran, Jam Jam Jalil yang berpengalaman bersama Kohilal, serta mempunyai produk sendiri iaitu jus kurma jenama Sahyas.

Selain minuman kurma pegaga, di bawah rangkaian Al-Khairi Marketing juga boleh didapati produk minyak rambut buah keras Al-Khairi dan pelbagai minuman berkarbonat jenama Raudhah.

Khairi mengalu-alukan mereka yang berminat untuk berkecimpung bersama khususnya sebagai pemborong negeri atau stokis daerah atau pengedar dengan menghubunginya di talian 019-474 1766 atau alamat No.1, Taman Serindit, Jalan Sungai Ular, 09000 Kulim (belakang JPJ Kulim), selain premis No.11, Persiaran 1 Kulim Avenue, Taman Teknologi Tinggi Kulim, 09000 Kulim, Kedah. - HARAKAHDAILY 24/3/2016